Showing posts with label dasar. Show all posts
Showing posts with label dasar. Show all posts

Monday, 6 June 2011

:: BN vs PR... nak ke Putrajaya... ?




Sinar Harian, 5 Jun 2011


Ultra kiasu begitu bernafsu untuk menguasai Putrajaya. Berbagai cara dilakukan walaupun terpaksa mengorbankan prinsipnya. Mereka sanggup lakukan apa juga cara, termasuk strategi terbaharu memikat anak muda Melayu untuk menyertai mereka. Mereka tahu generasi lama, terutama yang lahir sebelum dan awal 13 Mei 1969, tidak akan menyertai mereka. Apatah lagi jika mereka faham perjuangan ‘Malaysian Malaysia’. Maka peluang digunakan untuk memikat generasi muda hari ini yang dikatakan tidak ada lagi perasaan 13 Mei di hati mereka.

Dalam usaha untuk memenuhi nafsu serakahnya, parti ultra kiasu mahu menonjolkan imej sebagai parti untuk semua. Parti ini telah melancarkan portal berita bahasa Melayu - Roketkini. Portal yang memfokuskan kepada berita dan analisis itu khusus untuk menarik sokongan pengundi Melayu, yang selama ini dianggap anti-ultra kiasu.

Roketkini akan menjadi wadah untuk menyampaikan dan membetulkan isu-isu yang dieksploitasi oleh pembangkang untuk memburukkan imej ultra kiasu. Ultra kiasu menuduh Barisan Nasional (BN) yang telah berjaya memanipulasi persepsi palsu bahawa ultra kiasu adalah anti-Melayu. Menurut Setiausaha Agong parti ultra kiasu itu, perjuangan mereka adalah untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum. Benarkah?

Bagi membuktikannya, parti ultra kiasu telah melantik bekas wartawan akhbar, berbangsa Melayu sebagai sebagai editornya. Tahniah kepada editor tersebut. Saya amat mengharapkan editor tersebut, yang saya kenali dapat mempergunakan pengalamannya, bagi menyedarkan umat Islam akan bahayanya ultra kiasu ini.

Jangan duduk di situ, seterusnya bersekongkol untuk menjatuhkan Melayu dan Islam. Benar, saya bersetuju, generasi muda mahu perubahan. Sayapun mahu perubahan. Tidak ada sesiapapun yang rasional suka kepada rasuah, korupsi, penyelewengan dan banyak lagi perkara mungkar. Tetapi jangan lupakan sejarah. Jadikan sejarah sebagai iktibar untuk dijadikan panduan melayari masa hadapan. Masih banyak lagi parti altenatif yang boleh dipilih jika kita tidak suka kepada parti yang memerintah hari ini. Tetapi bukan dengan memilih parti ultra kiasu.

Parti ini terlalu bahaya kepada kita sebagai umat Islam. Ambillah iktibar dengan apa yang berlaku di Singapura. Apabila mereka berkuasa, apa yang terjadi kepada nasib Melayu di bumi Melayu. Melayu terus terpinggir dan tidak dipercayai. Jika ada Melayu yang menentang, akan dibuang jauh-jauh seperti yang berlaku kepada Melayu Singapura, Dr. Lily Zubaidah. Melayu tidak lagi dilantik menjadi presiden. Ultra kiasu lebih mempercayai bangsa lain.

Namun, jika adapun Melayu yang dipercayai, mereka akan mengambil Melayu yang sudah tidak ada darah Melayu, tidak ada semangat Melayu dan apatah lagi semangat Islam. Inilah yang sedang berlaku di sana. Apabila perkara ini berlaku, mudahlah untuk mereka memperkudakan Melayu. Akhirnya, Melayu merempat di buminya sendiri.

Perkara ini telahpun kita nampak di Pulau Pinang, walaupun tidak secara jelas. Mereka tidak boleh lakukan secara terang-terang, kerana dari segi strategi tentunya akan menghilang sokongan. Maka dibuat secara perlahan-lahan dan terancang. Menghimpit dan dihimpit. Akhirnya, Melayu berasa tidak ada lagi ketenangan berada di pulau, maka berhijrahlah mereka ke Tanah Besar. Inilah strategi Yahudi di Singapura. Begitulah cara yang digunakan oleh Yahudi untuk menghalau umat Islam di Palestin.

Umat Islam tidak boleh duduk diam melihat keadaan ini. Jika begitulah keadaannya, saya amat mengharapkan supaya Umno segera berubah kerana orang lain dan bangsa lain sudah jauh berubah. Jangan terlalu memperjuangkan bangsa. Umno perlu menukar perjuangannya daripada kebangsaan Melayu kepada Melayu Muslim. Elok juga ditukar nama Melayu kepada Melayu Muslim. Tetapi masih mengekalkan nama Umno, menjadi United Malay Muslim National Organization (Umno), cuma ditambah perkataan Muslim. Mungkin agak sukar, tetapi tidak mustahil. Melayu itu Islam, Islam itu Melayu. Melayu dan Islam sudah sinonim. Lebih cantik dan molek perkataan Melayu Muslim digandingkan kerana ia lebih Islamik dan dapat mengetuk lebih ramai bangsa yang mahukan Islam.

Perlembagaan Umno yang menjunjung bangsa hendaklah diletakkan di tempat kedua. Fasal 3 asas dan tujuan Umno hendaklah diubah kepada Umno adalah sebuah parti politik yang berjuang memartabatkan Islam dan cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara. Jika Umno melakukan sedemikian, saya yakin ramai orang yang akan menyertai Umno, terutama mereka yang berada di atas pagar.

Ingat, parti ultra kiasu kini bercadang untuk bertanding di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan dan Terengganu bagi menguji penerimaan orang Melayu terhadap parti mereka. Sebagai permulaan, mereka berhasrat untuk bertanding di kawasan bandar yang majoritinya adalah orang Cina dahulu, tetapi di negeri majoriti Melayu. Jika berhasil, tidak mustahil selepas ini mereka akan bertanding di kawasan majoriti Melayu di negeri-negeri yang pecahan kaumnya tidak menampakkan majoriti-minoriti, seperti Melaka, Negeri Sembilan dan sebagainya.

Suka saya bertanya kepada sekutunya PAS dan PKR, jika ultra kiasu ingin bertanding di kawasan majoriti Melayu, kerusi siapa yang hendak diambil, PKR atau PAS? Saya tidak pasti sama ada PKR atau PAS sanggup menyerahkan kerusi mereka. Jika diserahkan, terbuktilah bahawa mereka semakin tunduk kepada parti ultra kiasu ini.

Inilah strategi licik parti ultra kiasu ini. Sebenarnya mereka tidak ada pilihan. Parti ultra kiasu ini mesti membuktikan bahawa mereka dapat diterima oleh semua kaum. Pada saya, mereka tidak layak untuk bertanding di kawasan Melayu. Jika mereka benar-benar ikhlas, serahkan kerusi-kerusi parlimen Kuala Lumpur yang majoritinya orang Cina kepada calon Melayu untuk bertanding. Benarkan calon ultra kiasu Melayu bertanding di Bukit Bintang, Kepong, dan sebagainya. Barulah tidak nampak ultra kiasu. Jika tidak, ultra kiasu, tetap ultra kiasu dan tidak boleh dipercayai sampai bila-bila. Sedarlah orang anak muda Melayu.

Diharapkan PAS tidak terperangkap demi masa depan Islam. Berhati-hati jika berkawan dan melayan kawan. Takut tergadai badan. Saya amat mengharapkan supaya kempen kesedaran dilakukan bagi menjauhi umat Islam menyertai parti ultra kiasu yang selalu berkata “langkah mayat aku” (over my dead body) jika mahu menegakkan negara Islam. Apakah kita masih terus bersangka baik?

Ramai yang beranggapan bahawa parti ultra kiasu telah berubah. Mereka bukan seperti dahulu, kuat menentang Islam. Sejak berkawan dengan Pas, mereka sudah berubah. Mula mendekati, memahami dan menerima Islam. Banyak buku dan kitab mengenai Islam telah dibeli dan dibaca oleh pemimpin-pemimpin mereka.

Golongan muda ultra kiasu juga dikatakan jauh berbeza dengan golongan tua yang dikatakan sudah tidak relevan lagi. Atas alasan inilah agak-agaknya mereka mahu mengambil pendekatan pemerintahan Umar Abdul Aziz sebagai panduan mentadbir. Saya pernah juga diberitahu bahawa pemimpin ultra kiasu Pulau Pinang telah mengatakan hasratnya memeluk Islam.

Dalam hati saya berkata: “Alhamdulillah, kerana Pas berjaya mentarbiyyah dan memberikan kefahaman Islam terhadap mereka walaupun hanya berkawan dalam jangka masa singkat”. Persoalannya, adakah semua ini benar? Saya masih tertunggu-tunggu.

Bandingkan pula dengan Umno selama berkawan dengan parti-parti komponennya dalam BN, sekurang-kurangnya saya lihat beberapa menteri kanan bukan Islam memeluk Islam seperti Tun Omar Ong Yoke Lin dan Datuk Leo Michael Toyad. Tahniah, saya tumpang gembira dan bersyukur.

Tertanya-tanya pula saya, mengapa mereka yang tidakpun menyebut atau menjaja nama Umar Abdul Aziz, tiba-tiba boleh pula memeluk Islam. Manakala mereka yang terlalu obsess dengan gaya Umar Abdul Aziz, tidak juga nampak tanda-tanda untuk memeluk Islam. Inilah selalu saya bangkitkan, mesti ada udang di sebalik batu. Slogan Umar Abdul Aziz hanya mahu ‘mencairkan’ hati kita. Wal hal sebenarnya mereka ada agenda lain seperti musang berbulu ayam.

Malangnya, kita tidak pernah mengambil pengajaran. Sekurang-kurangnya belajarlah daripada mentor mereka di Singapura. Sehingga ke hari ini, pemimpin tua ultra kiasu yang tidak lagi menjadi Perdana Menteri, masih lagi berkuasa menentukan hala tuju dan masa depan Singapura. Ultra kiasu Singapura tidak pernah bersangka baik dengan orang Melayu, apatah lagi Melayu di negara kita. Hatta, sehingga ke akhir hayat isteri mentor tersebut masih sempat berpesan supaya jangan percaya kepada Melayu, kerana mereka kuat berpegang kepada Islam

Sebenarnya, ultra kiasu tidak pernah berubah. Perjuangan mereka tetap sama, tidak kira golongan tua atau muda. Malah lebih ultra lagi berbanding dahulu. Apa juga berkaitan dengan Islam akan ditentang habis-habisan walaupun nilai-nilai Islam juga akan kaitan dengan agama mereka. Jika mereka sudah berlembut dengan Melayu, sudah tentu mereka akan cuba menambat hati Melayu dengan memakai pakaitan tradisi Melayu ketika pembukaan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Ini tidak, mereka langsung tidak mahu dikaitkan dengan Melayu.

Kerajaan Kelantan cuba mengharamkan nombor ekor atau loteri. Adakah mereka bersetuju? Fahamkah mereka kepada Islam setelah berkawan dengan parti Islam? Jika tidak percaya, cuba kerajaan Kelantan haramkan arak, judi dan sebagainya adakah mereka akan bersetuju? Jawapannya ini sudah cukup memberikan gambaran sebenar akan ‘belang’ mereka. Tetapi kita tidak pernah serik.

Cuba tanya parti ultra kiasu antara PKR dan Pas, yang mana satukah pilihan mereka? Saya teramat yakin, mereka lebih selesa bekerjasama dengan PKR berbanding Pas. Buat sementara ini, mereka terpaksa menerima Pas kerana pengaruh dan kekuatan Pas masih mencengkam kalangan orang Melayu. Ditakdirkan kekuatan Pas semakin merosot, tunggulah masanya untuk ditendang keluar.

Dalam Islam, memang kita sepatutnya bersangka baik daripada berprasangka, apatah lagi melabelkan mereka. Tetapi tindak-tanduk mereka yang sudah jelas menyatakan penentangan mereka terhadap Islam membuatkan saya ragu-ragu. Mungkin Pas akan bertanya bagaimana pula dengan MCA, Gerakan dan MIC? Tidakkah mereka juga turut tidak bersetuju dengan negara Islam dan dasar-dasar Islam? Jawapannya, mereka juga tidak banyak bezanya, kerana mereka tetap satu dalam tiga atau tiga dalam satu. Saya cuma mengajak kita membuka mata. Ambillah pengajaran setiap yang berlaku.

Apapun sebelum mempercayai orang lain, lebih baik menaruh harapan terhadap saudara seagama. Hassan Al-Banna pernah berpesan, pendirian kita terhadap kepelbagaian kumpulan Islam yang wujud hendaklah berasaskan kasih sayang, persaudaraan, saling bantu membantu dan memberikan janji setia. Agama Allah adalah mudah dan penuh hikmah. Seseorang yang bersikap keras dalam agama, dia akan dikalahkan.




Monday, 23 May 2011

:: Sekolah vernakular... dan implikasi terhadap bahasa Melayu...





Di mana kiblat kita?

Sinar Harian 23 Mei 2011

Pemimpin ultra kiasu yang pernah ‘menyerang’ saya suatu ketika dahulu mengenai perdebatan anak luar nikah, masih tidak mahu menerima hakikat bahawa sekolah vernakular adalah antara punca kepada kemerosotan atau kelemahan tahap penguasaan bahasa kebangsaan kalangan pelajar bukan Melayu. Lebih berat lagi katanya, bahasa bukanlah punca polarisasi antara hari ini. Puncanya adalah datang daripada ketidakadilan dasar Umno (Barisan Nasional) yang memerintah kerajaan. Pendek kata, pada mereka aspek bahasa dan sekolah perkauman bukanlah penyumbang utama.

Beliau mempertikaikan kajian yang dibuat oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) baharu-baharu ini. Cadangan saya, kalau kita menolak sesuatu fakta, maka kemukakan fakta baharu atau buat kajian baharu untuk membidas kajian terdahulu. Ini tidak, cakap seperti orang tidak sekolah. Elok juga kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat melakukan kajian yang serupa, jika tidak yakin dengan kajian sebelum ini. Jangan terlalu menyalahkan orang lain.

Menyalahkan kerajaan Umno (BN) dan sistem pendidikan menengah kebangsaan yang didakwa gagal memandaikan anak bangsanya menguasai bahasa negara ini tidak akan menyelesaikan masalah. Ultra kiasu tetap ultra kiasu. Adakah beliau tidak sedar bahawa beliau juga produk sekolah menengah kebangsaan. Jika dari kecil beliau mendapat pendidikan sekolah rendah Cina, kemudian belajar di sekolah menengah Cina, masuk universiti Cina, saya yakin, beliau tidak akan mampu bercakap bahasa Melayu seperti adanya sekarang.

Ultra kiasu ini turut menyalahkan pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah rendah dan menengah tidak membolehkan pelajar-pelajar vernakular menguasai bahasa kebangsaan. Sudah tentu dalam hal ini mereka merujuk kepada guru Melayu yang mengajar bahasa Melayu. Jika begitulah keadaannya, saya cadangkan kita biarlah guru Cina mengajar bahasa Melayu. Kita mahu lihat, berjaya atau tidak mereka memandaikan anak bangsanya.

Fakta perlu diiringi dengan penyelidikan (R&D). Paling tidakpun, pergilah buat tinjauan di sekolah vernakular. Uji kebolehan berbahasa mereka. Sila anjurkan pertandingan pidato atau bercerita. Biar kita pakat-pakat dengar bagaimana pelajar sekolah ini berhujah dalam bahasa Melayu. Jangan terlalu menegakkan benang basah.

Berapa ramai ahli politik dan ahli perniagaan Cina apabila disoal dalam bahasa Melayu, terus tiba-tiba beralih kepada bahasa Inggeris atau bahasa ibunda. Jelas-jelas menunjukkan bahawa mereka tidak boleh berbahasa kebangsaan. Sebenarnya, jika dibanci ramai ahli-ahli parti ultra kiasu yang tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik. Bagi mereka agenda nasional tidak penting, yang penting agenda bangsa.

Ultra kiasu berhujah lagi, apa guna menguasai dan lulus bahasa Melayu, jika akhirnya nanti mereka tidak dapat masuk dalam sektor perkhidmatan awam yang rata-rata dibolot oleh Melayu (80 peratus)? Justeru, orang Cina terpaksa menumpukan bahasa yang mempunyai nilai komersial seperti Inggeris dan ibunda. Ultra kiasu sengaja memejam mata bahawa produk sekolah vernakular turut lemah dalam Inggeris. Mereka sengaja tidak mahu membuat kajian kenapa orang Cina tidak berminat menyertai sektor perkhidmatan awam dan berapa ramai telah dilantik memegang jawatan tinggi, tetapi asyik menuding jari kepada kerajaan.

Bagi mereka yang cerdik dan membuat kajian, sosialisasi seseorang itu yang menentukan kemahiran berbahasa dan tahap perpaduan kaum. Jika sosialisasinya perkauman, maka perkaumanlah jawapannya. Parti ultra kiasu janganlah nak menunjuk hebat, cubalah bertanding di kawasan majoriti Melayu dan berkempenlah dalam bahasa Melayu, kita mahu lihat, sejauhmana ahli-ahlinya boleh pergi jauh dengan bahasa kebangsaan ini.

Bagaimana pelajar sekolah vernakular boleh menguasai bahasa Melayu jika hanya diajar tiga kali seminggu, yakni lebih kurang 2 jam seminggu. Kerajaan cuba menambah masa P&P bahasa Melayu di sekolah vernakular tetapi ditolak mentah-mentah oleh Dong Jiao Zong. Hujah mereka mudah, melebihkan bahasa Melayu akan menjejaskan penguasaan bahasa Mandarin. Hari ini mereka menuntut supaya diberikan layanan samarata dan sama rasa, tetapi kurikulum langsung tidak boleh disentuh, apatah lagi mahu menyerahkan bangunan, tanah dan pentadbiran sekolah.

Keadaan akan menjadi lebih gawat lagi apabila baharu-baharu ini Presiden MCA mengumumkan bahawa MCA akan menandatangani Memorandum of Cooperation (MoC) dengan 7 universiti Taiwan melalui Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) and Koperasi Jaya Diri (Kojadi). Universiti tersebur adalah The Chinese Culture University, Feng Chia University, MingDao University, TransWorld University, I-Shou Univesity, the National Taipei University of Technology, and the National Taiwan University of Science and Technology. Menurut presiden ultra kiasu itu, perkara ini perlu dilakukan kerana hanya 1peratus peratus sahaja pelajar-pelajar Cina daripada keseluruhan 86,000 pelajar-pelajar vokasional di negara ini.

Persoalannya, adakah angka ini benar? Jika benar, adakah bilangan yang sedikit ini disebabkan oleh dasar kerajaan atau memang orang Cina itu sendiri tidak mahu memasuki vokasional tempatan, maka peluang ini digunakan sepenuhnya untuk mencinakan lagi orang Cina dengan menghantar mereka ke Negara China. Kenapa perlu ke Taiwan? Tidak ada negeri lain lagikah untuk dikunjungi? Pergilah ke negeri berdekatan, untuk menjimatkan belanja seperti Thailand yang tidak kurang membangunnya atau sekurang-kurangnya ke Korea Selatan. Hebatkan sangatkah Taiwan dalam bidang vokasional? Sebelum ini saya telah sebut, lebih baik pelajar Cina didedahkan dengan persekitaran di luar lingkungan bangsanya, barulah tidak menjadi ultra kiasu.

Alasan kedua katanya adalah selari dengan Progran Transformasi Ekonomi (ETP) di bawah kepimpinan Perdana Menteri untuk melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran. Dalam jangka masa 10 tahun, negara memerlukan 30 juta peluang pekerjaan, 40 peratus daripadanya adalah pekerja mahir. Ditanya sama ada sijil tersebut akan diiktiraf oleh kerajaan atau tidak, senang sahaja jawapan presiden ultra kiasu ini, itu kerja MCA untuk memastikan ia diiktiraf berdasarkan kejayaan beliau mendesak kerajaan mengiktiraf beberapa universiti di China.

Persoalan saya, adakah dengan berada di negara China, mereka akan mempunyai jati diri Malaysia yang kukuh. Apakah agenda mereka di sebalik semua ini, kalau bukan untuk melahirkan lebih ramai lagi ultra kiasu bagi memperkasa agenda bangsa berbanding agenda nasional? Kita amat bimbang jika agenda bangsa terlalu banyak ditonjolkan polarisasi akan semakin meluas, walaupun gagasan 1Malaysia itu yang dijadikan hujah utama dalam mewujudkan perpaduan antara kaum.

Terbaharu, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mencadangkan penubuhan Kolej Kadazan Dusun dan Murut atau Kolej KDM di Sabah. Satu lagi agenda bangsa. Tidak lama lagi selepas itu, tidak mustahil setiap parti komponen BN berasaskan etnik, akan menyuarakan perkara yang sama atas alasan “untuk menjaga bangsanya dalam mencapai matlamat gagasan 1Malaysia”.

Bayang di negara kita mempunyai lebih daripada 50 jenis etnik. Jika setiap etnik, mahukan institusi pengajian sendiri, apa akan jadi dengan sistem pendidikan Malaysia pada masa akan datang? Tidak perlu ditanya kepada setiap etnik untuk mendapatkan persetujuan, kerana sudah pasti mereka akan bersetuju. Inilah akibatnya apabila kita membenarkan universiti berasaskan kaum dan parti-parti politik perkauman beroperasi. Sepatutnya perlembagaanlah yang menjadi terma rujukan dalam melakukan apa jua perkara, terutama soal pendidikan nasional, yang menjadi tunggak pembinaan negara bangsa. Ini tidak, dalam kepala kita hanya ada agenda bangsa.

Seperti ultra kiasu yang lain, alasan penubuhan kolej tersebut adalah untuk memajukan masyarakat kaum itu, bersama kaum lain, di bawah konsep 1Malaysia dan juga membawa semangat mengukuhkan perpaduan, supaya tidak ada kaum yang akan merasa terpinggir. Sekali lagi gagasan 1Malaysia menjadi batu galasannya. Malangnya sungguh gagasan ini, dipergunakan untuk mendapatkan sama rata dan sama rasa, bukannya untuk mendapatkan keadilan, kerana makna keadilan itu meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Ditakdirkan nanti, jika diluluskan kolej ini, kaum Iban, Melanau, Dayak dan sebagainya di Sarawak akan meminta diwujudkan kolej atau universiti yang sama. Bayangkan selepas ini, jika orang Asli mendesak kerajaan menubuhkan universiti orang Asli. Sudah tentu pening kepala kita dibuatnya, sebab dari segi hak, mereka lebih berhak. Selepas itu, diikuti minoriti Siam di Perlis, Kedah dan Kelantan bersatu menuntut kerajaan menubuhkan Universiti Siam atas alasan 1Malaysia! Tidakkah haru-biru sistem pendidikan negara kita?

Kewujudan kolej atau universiti hendaklah berdasarkan kepada keperluan bukannya tuntutan. Lambakan universiti berdasarkan tuntutan hanya akan menjejaskan kualiti pendidikan. Cukuplah dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang sedia ada. Sama-samalah kita memperkasa dan memperkuatkannya.

Perlu diingat, semua ini bermula apabila kita meluluskan universiti yang dipunyai oleh MCA, Gerakan, MIC dan NGO-NGO perkauman yang ada. Akibatnya, sudah tentu ada bangsa merasa terpinggir, apatah mereka adalah bumiputera yang sepatunya mempunyai lebih hak. Sedangkan yang lain, bukan bumiputera, bukan sahaja mendapat universiti sendiri malahan idea universiti merdeka telah pun menjadi realiti.

Fahamkah kita apakah maksud universiti itu sebenarnya? Di luar negara, tidak ada universiti berasaskan etnik. Jika adapun adalah ‘kerusi’ atau pusat kajian etnik tertentu. Cuma di negara kita amat pelik dan memelikkan, kenapa universiti berasaskan etnik atau parti politik diwujudkan? Saya cadangkan supaya ‘kerusi’ atau pusat kajian etnik-etnik diwujudkan di IPTA dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang sediakan ada, daripada mewujudkan kolej atau universiti khusus untuk kaum tertentu. Dalam pada itu, masih belum terlambat untuk mengambilalih dan menyerapkan universiti berasaskan parti politik atau NGO perkauman ke dalam pendidikan nasional.

Saya merayu kepada bumiputera Sabah dan Sarawak, janganlah bertindak seperti parti ultra kiasu. Perkauman ultra kiasu hanya akan meruntuhkan negara. Kerajaan pula janganlah terlalu melayan tuntutan ini. Jika beginilah keadaannya, IPTA yang lain akan terjejas teruk pada masa akan datang kerana tidak dapat bersaing dengan IPTS yang sudah tentu lebih gagah dari segi kewangannya dan mendapat sokongan serta dokongan rangkaian antarabangsa.

Setiap kaum akan bermati-matian membantu dan mempertahankan universiti bangsa mereka sendiri. Saya yakin, sudah pasti kekuatan ultra kiasu jauh melebihi kekuatan kerajaan kerana kekuatan kewangan mereka lebih besar. Apatah lagi jika derma mereka di universiti ultra kiasu dikecualikan atau boleh ditolak daripada cukai pendapatan. Universiti mereka sudah menjadi kaya raya.

Saya amat yakin, sebahagian besar cukai-cukai telahpun dialirkan ke sana dan akan dialirkan seterusnya. Ini sudah pasti akan meninggalkan kesan terhadap pendapatan negara. Akhirnya, siapa yang akan rugi? Kedudukan IPTA sudah tentu akan terjejas. Peruntukannya terhad dan perlu dikongsi dengan IPTA yang lain. Berbanding dengan universiti perkauman mereka terus mendapat dana demi dana. Lebih beruntung lagi, kadang kala tanah dan beberapa prasarana lain diberikan secara percuma oleh kerajaan. Tidak perlulah saya sebut nama universiti ultra kiasu tersebut.

Selain itu, masa depan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan menjadi semakin suram. Maklum sahajalah, pada mereka bahasa Melayu tidak ada nilai komersial. Buat setakat ini hanya subjek teras sahaja yang diajar dalam bahasa Melayu seperti Kenegaraan Malaysia dan Hubungan Etnik, selebih semuanya diajar dalam bahasa Inggeris dan bahasa ibunda. Ke manakah arah tuju pendidikan negara kita menjelang 2020 nanti? Apakah kita akan berjaya membina sebuah negara bangsa dan masyarakat idaman?




Monday, 2 May 2011

:: Bahasa Melayu dipersalahkan... ?




Di mana salahnya bahasa Melayu?

Sinar Harian 2 Mei 2011

Tidak ramai yang mahu menerima hakikat bahawa sekolah vernakular menjadi punca kepada kelemahan penguasaan bahasa kebangsaan dan masalah interaksi antara kaum dalam mencapai matlamat perpaduan nasional. Sehinggalah kajian terbaharu tahun lalu, membabitkan 159 sekolah di seluruh negara, oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK), mendapati ramai pelajar dari sekolah-sekolah terbabit tidak faham sama ada Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia apabila mereka melangkah ke sekolah menengah kebangsaan dan menjadi dewasa.

Kajian sebelum ini, turut membuktikan perkara yang sama. Pada tahun 1993, lebih 61 peratus pelajar sekolah vernakular tidak mencapai tahap minima penguasaan bahasa Melayu. Perkara ini terus disenyapkan. Tidak seperti isu 1Melayu 1Bumi. Bila terkena pada batang hidung sendiri mereka diam, tetapi bila kena pada orang lain, heboh 1Malaysia. Kajian sebegini sememangnya amat tidak disenangi oleh parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perkauman yang ultra kiasu. Komen-komen dalam Malaysianinsider terus menyalahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Kenapa UMNO dan BN dimangsakan dalam isu ini?

Selama inipun, kerajaan seolah-olah langsung tidak boleh menyentuh sekolah vernakular, walaupun sebahagian besar bantuan diberikan? Setiap kali penambahbaikan dibuat untuk memperkasa bahasa Melayu, akan ditentang habis-habisan. Ternyata, mereka memandang rendah kepada bahasa kebangsaan. Jika pandaipun bahasa Melayu boleh pergi ke mana? Lebih baik menguasai bahasa ibunda atau bahasa Inggeris! Ada juga faedahnya. Mereka tidak fikir langsung soal membina negara. Dalam kepala otak mereka adalah untuk mengekalkan warisan bangsa dan membina kekayaan. Persoalannya, boleh kita bekerja dengan aman, jika negara tidak stabil atau saling bercakaran?

Sudah berbuih-buih mulut saya bercakap dan lenguh tangan menulis. Tetapi setiap kali saya bangkitkan maka melompatlah kumpulan ultra kiasu? Adakah ini bukan bermakna mempertahankan 1Cina 1Bumi? Jangan terlalu menuding jari, takut memakan diri.

Kenapa perkara ini boleh berlaku? Semua sedia maklum bahawa bahasa ibunda adalah bahasa rasmi sekolah vernakular dan diajar dan pertuturkan hampir 24 jam, jika tidak tidur. Manakala bahasa kebangsaan hanya diajar lebih kurang 3 kali seminggu dalam jangka masa 40 minit setiap waktu. Begitu juga dengan bahasa Inggeris. Dengan makna, bahasa kebangsaan ini hanya ‘digunakan’ 2 jam daripada 5 hari persekolahan daripada 120 jam yang ada. Jika dicampur hari cuti Sabtu Ahad, bermakna bahasa kebangsaan hanya digunakan tidak sampai satu peratus seminggu dari 168 jam. Adakah ini wajar bahasa Melayu ‘dilayan’ sedemikian rupa dalam sebuah negara yang mendaulatkannya (Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan)?

Dengan scenario sebegini, bayangkanlah apakah bahasa kebangsaan boleh dikuasai? Nampaknya agenda membina negara masih terlalu jauh untuk dicapai walaupun telah lebih 53 tahun kita merdeka. Persekitaran dan sosialisasi politik hidup rakyat negara ini amat berbau perkauman sehingga membantutkan pengamalan dan penghayatan agenda besar negara. Akibatnya, agenda bangsa semakin besar dan besar kepala, manakala agenda negara menuju kepada kepupusan.

Sebenarnya kita tidak ada pilihan dalam membina negara? Jika tidak dipaksakan dan diwajibkan agenda negara ini dihayati, sampai kiamatpun kita akan menghadapi masalah yang sama. Jika saban hari berinteraksi dengan orang sama, bahasa yang sama, sekolah yang sama dan budaya yang sama, media yang sama, di manakah titik pertemuan dan persamaan untuk dicari dalam masyarakat berbilang kaum? Bagaimanakah anak-anak ini boleh mengutamakan agenda negara? Maka tidak hairanlah jika mereka gagal. Kita sengaja menggagalkan mereka. Kita sudah bentuk mereka menjadi ultra kiasu sejak kecil.

Selaku Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, di salah sebuah sekolah menengah yang majoriti pelajarnya datang dari sekolah vernakular di Ampang, masalah ini begitu ketara. Pelajar kelas peralihan, langsung tidak tahu bahasa Melayu mudah. Situasi sebegini tidak banyak bezanya apabila mereka bergerak ke tingkatan 1-5. Janganlah kita sangka bahawa mereka yang tidak berada di kelas peralihan bermakna bahasa Melayu mereka sudah baik!

Apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan baru-baru ini di sekolah saya sebutkan tadi, majoriti pelajar Cina gagal bahasa Melayu. Peratusan kelulusan SPM 2010 turun menjunam sebanyak 10 peratus. Semuanya gara-gara pelajar-pelajar bukan Melayu gagal dalam bahasa Melayu. Apabila keputusan SPM tidak meningkat, sekolah, pengetua, guru-guru dan PIBG disalahkan? Apakah tindakan ini wajar?

Bila ditanya guru sekolah vernakular, mereka menyalahkan guru sekolah menengah kerana tidak pandai mengajar bahasa Melayu. Persoalan saya, apakah yang yang kita lakukan untuk memandaikan mereka dengan bahasa Melayu ketika anak-anak itu masih rebung? Kita teramat sedih mendengar, kerajaan memperuntukan berbilion ringgit untuk penambaikan pengajaran bahasa Inggeris. Terkini, lebih 10,000 guru akan dilatih untuk memandaikan anak bangsa berbahasa Inggeris. Persoalan saya, bagaimana dengan bahasa kebangsaan? Berapa pula peruntukan yang disediakan? Berapa ramai pakar disediakan?

Benar, bahasa Inggeris penting untuk kemajuan, bahasa Melayu pula bagaimana? Manakah lebih penting antara agenda kemajuan dan agenda perpaduan (negara)? Tidak ketinggalan agenda patriotisme? Apakah negara akan maju jika rakyatnya tidak ada semangat sayangkan bumi tercinta ini? Kemajuan seperti ini tidak akan kekal lama.

Saya sudah letih memperkatakan perkara yang sama setiap kali. Bila tulisan ini disiarkan, saya akan dihina, dikecam dan dikeji. Sedangkan kita tidak pernah serius. Kita hanya mahu menjaga hati orang atau menjaga undi. Apabila NGO-NGO atau parti politik menyerang, kitapun menjadi kelam kabut. Akhirnya kita mengalah, mengalah dan mengalah, seterusnya kalah. Masalah terus menjadi masalah sehinggalah ke peringkat pengajian yang lebih tinggi.

Jika tidak percaya, berkunjunglah ke Kolej New Era, Universiti Terbuka Wawasan dan Universiti Tunku Abdul Rahman. Operasinya langsung tidak ada bezanya dengan sekolah vernakular, malah lebih teruk lagi. Universiti Merdeka telah wujud sebenarnya, dengan nama berbeza walaupun kerajaan telah bertindak mengharamkannya.

Tidak cukup dengan itu, mereka masih tergamak terus menekan kerajaan supaya memberi layanan sama rata dan sama sama kepada semua sekolah vernakular, mengikhtiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan banyak lagi. Pendek kata, selagi ada sekolah vernakular, tanpa dilakukan penambaikan secara tegas, selagi itulah terlalu sukar untuk kita mencapai perpaduan dan matlamat membina negara. Tunggu dan lihat akibatnya.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, penulisan ini adalah pendapat peribadi beliau.