Thursday, 28 April 2011
:: Hebatnya murid sekolah rendah...di Teluk Kumbar...
Monday, 25 April 2011
:: Jari dikerat ?
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0426&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm
Misteri 10 jari dikerat 'cantik'
25 APRIL 2011: Para anggota polis membuat siasatan di kawasan tempat di mana 10 batang jari manusia (gambar kecil) ditemui di Taman Seri Putra Emas, Kuang, Kuala Lumpur. - Utusan/AHMAD ZAKKI JILAN
GOMBAK - Kejam! Perbuatan penjenayah terhadap mangsanya semakin sukar dijangka dengan kes terbaru polis menemui 10 batang jari seorang lelaki yang dikerat 'cantik' dibuang atas landasan kereta api berhampiran Taman Sri Putra Emas, Kuang di sini semalam.
Kesemua jari yang dibungkus di dalam beg plastik berwarna putih itu ditemui pada pukul 9.55 pagi oleh pejalan kaki sebelum memaklumkannya kepada kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Difahamkan, jari tersebut telah dilemparkan dari atas Jambatan Jintan tepat ke atas landasan iaitu di Kilometer 363 dari Butterworth ke pekan Kuang.
Siasatan awal polis mendapati, kesemua jari berkulit gelap tersebut diikat menggunakan pita pelekat sebelum dikerat serentak.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, ketika itu pekerja KTMB terbabit hanya menyedari lima batang jari di dalam beg plastik tersebut.
Bagaimanapun katanya, selepas diperiksa, polis mendapati terdapat lima lagi jari yang disyaki dikerat dari dua belah tangan milik seorang lelaki.
"Kita turut menemui sehelai baju T berwarna hitam berbelang putih dengan kesan darah dan sehelai seluar slack," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Friday, 19 November 2010
:: Berhajatkan harta milik Presiden Sukarno ?
Bayar ribu dapat juta
Posted on the November 19th, 2010 under Berita, Jenayah, Luar Negara by johnjimat
SEREMBAN: Terpengaruh untuk mendapatkan harta yang dikatakan milik bekas Presiden Sukarno, enam rakan sepejabat kerugian RM16,000 yang mereka laburkan kononnya untuk mencairkan harta bekas pemimpin nombor satu Indonesia itu.
Seorang daripada mangsa yang mahu dikenali sebagai Shamsul, 30-an, berkata, segalanya bermula apabila dia bersama rakan diperkenalkan mengenai pelaburan pencairan harta Sukarno itu oleh seorang lelaki berusia 40-an di sebuah restoran di sekitar Bandar Baru Nilai, di sini, pada 13 Oktober lalu.
Menurutnya, lelaki itu memberitahu pewaris harta yang kononnya berjumlah AS$3.2 bilion (RM10 billion) itu adalah anak Sukarno yang dibawa ke negara ini ketika masih kecil dan dia kini dalam proses mendapatkan semula harta berkenaan yang didakwa berada dalam kawalan Bank Negara Malaysia (BNM).
Bagaimanapun, kami diberitahu harta itu perlu dicairkan terlebih dulu dan memerlukan bantuan daripada pelabur atau digelar jemaah untuk menyalurkan kos pelepasan mencecah puluhan ribu ringgit.
Kos itu dianggap sebagai pelaburan untuk memastikan kelancaran proses pencairan harta berkenaan antaranya membabitkan urusan polis, kastam, imigresen dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Selepas harta itu dicairkan, setiap pelabur akan menerima pulangan balik pelaburan sebanyak lima kali ganda termasuk bonus yang didakwa mencecah jutaan ringgit dalam tempoh hanya seminggu, katanya ketika ditemui semalam.
Menurutnya, pada masa yang sama pelabur juga diminta tidak mendedahkan hal berkenaan kepada sesiapa kerana semua urusan adalah sulit.
Shamsul berkata, untuk meyakinkannya dan rakan lelaki itu turut menunjukkan dokumen didakwa surat asal Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) yang menyatakan terdapat perjanjian antara Kerajaan Malaysia dan White House (kediaman rasmi Presiden Amerika Syarikat) serta FBI (Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat).
Selain itu, lelaki berkenaan turut menunjukkan slip pemindahan wang sebanyak RM250 juta dari sebuah bank di London ke akaun bank tempatan yang dikatakan milik pewaris harta terbabit bertarikh 12 Oktober 2010, katanya.
Shamsul yang terpengaruh dengan kata-kata lelaki itu kemudian bersetuju membayar kos pelepasan dengan memasukkan wang berjumlah RM2,500 ke dalam akaun bank seorang lelaki dipercayai orang kanan sindiket terbabit.
Namun, janji yang diberikan berkaitan pulangan balik pelaburan termasuk bonus dalam tempoh seminggu ternyata palsu semata-mata dan gagal diperoleh sehingga ke hari ini, katanya yang membuat laporan polis.
Menurutnya, selain dirinya, lima lagi rakan sepejabatnya turut membuat pelaburan dengan jumlah berbeza-beza antara RM2,000 dan RM3,000 yang menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira RM16,000.
Saya percaya selain kami berenam, ramai lagi individu termasuk di negeri lain turut terpedaya dengan helah licik sindiket ini. Saya membuat pendedahan ini supaya orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak turut menjadi mangsa, katanya.
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa dan berkata seorang lelaki berusia 30-an dipercayai orang kanan sindiket berkenaan ditahan pihaknya di sekitar Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor, minggu lalu.
Kami merampas sebuah komputer riba dipercayai milik ketua sindiket berkenaan dan beberapa slip atau resit bank.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis sedang memburu dalang sindiket yang berasal dari Muar, Johor, katanya.
Menurutnya, siasatan awal pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket berkenaan bergiat aktif sejak beberapa bulan lalu dan turut memburu mangsa di beberapa negeri lain.
Sehubungan itu, kami meminta mangsa yang turut terpedaya supaya tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya, katanya.
Sumber : Harian Metro
Friday, 24 September 2010
:: Rampasan kerang di Pantai Remis ?
LUMUT: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Perak sekali lagi membanteras cubaan menyeludup keluar benih kerang dengan merampas sebanyak 319 guni benih kerang seberat kira-kira 12,760 kilogram bernilai RM16,000 di Jalan Pantai Remis-Taiping dekat sini semalam.
Pegawai Pemerintahan Markas Operasi PGM Pangkalan Kampung Acheh, DSP Shaari Ariffin berkata seorang pemandu lori dan seorang kelindan turut diberkas.
Katanya, kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan dalam sekatan jalan pada kira-kira 4.30 petang semalam.
Bercakap kepada pemberita di sini, Shaari berkata lori berkenaan ditahan selepas pihaknya mendapat maklumat daripada orang awam.
"Kedua-dua lelaki tersebut ditahan selepas gagal menunjukkan sebarang dokumen sah berkaitan dengan muatan benih kerang yang mereka bawa dalam lori 10 tan itu," katanya. "Pemeriksaan awal mendapati terdapat 319 guni benih kerang dan setiap guni seberat kira-kira 40 kilogram dengan nilai benih kerang dianggarkan kira-kira RM16,000," kata Shaari.
Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perikanan Peraturan-peraturan Perikanan (Pemulihan dan Kaltura Kerang) 2002 iaitu kesalahan membawa benih kerang tanpa sebarang dokumen atau permit sah.
Shaari menyaran agar orang ramai dapat menyalurkan sebarang maklumat mengenai sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang yang berlaku di perairan negara. -BERNAMA
Saturday, 28 November 2009
:: Kisah Polis tembak pemuda di Perlis ?
Oleh: Perfectwater75
Kisah benar yang diceritakan sendiri kepada saya oleh keluarga tersebut. Saya hanya menyampaikan dan tiada niat untuk melukakan mana-mana pihak sama ada tersurat mahupun secara tersirat…..Seperkara yang harus diambil perhatian, mangsa yang ditembak ialah seorang OKU yang cacat di bahagian kakinya akibat kemalangan jalanraya satu ketika duhulu.
(Cerita yang dikutip versinya dari Bapa kepada mangsa sendiri)
Pada pagi 14 November 2009, lebih kurang jam 6 pagi, terdengar orang mengetuk pintu, di rumah saya di alamat No. 2, Jalan Taman Intan, Belakang Istana Raja, 02600 Arau, Perlis. Setelah melihat melalui tingkap bilik, saya dapati mereka ialah polis yang datang untuk memberitahu bahawa anak saya MOHAMAD TAWFIQ BIN NOORZAN (selepas ini disebut sebagai Tawfiq) seorang yang dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) yang bekerja sebagai Pengusaha Kedai Makan di Medan Rancangan Perumahan Awam Arau dan Balai Baru Beseri, Perlis telah membuat laporan di Balai Polis Arau bahawa beliau hendak ‘buat orang’ . Dalam lebih kurang 15 minit kemudian anak saya telah pulang kemudian terus masuk ke dalam rumah tanpa membuka kasutnya dan keluar semula dengan membawa pisau pemotong sayur dalam keadaan marah dan keletihan. Anggota polis yang berada di depan pintu rumah hanya memerhatikan sahaja tanpa mengambil sebarang tindakan awal bagi menghalang anak saya untuk keluar untuk bertemu dengan Rashidi (kawannya yang meninggalkannya di Alor Star). 2 orang anggota polis yang ada menyatakan mereka tidak berani untuk menghalang anak saya yang juga dikenali sebagai ‘Botak’ kerana mereka mengenali kelakuan beliau apabila berada dalam keadaan marah.
Lalu Tawfiq mengambil motosikalnya dan isteri saya masih memujuk Tawfiq supaya tidak meneruskan keinginannya. Jawab Tawfiq “ Jangan ganggu dia!” dia terus membonceng motosikalnya ke arah Guar Sanji. Saya pun keluar mengikut jejaknya dengan kereta pada jam 6.30 pagi dan mendapati motosikalnya ditinggalkan di tepi jalan lalu saya terus menuju ke arah Guar Sanji. Apabila sampai ke Guar Sanji, saya dapati beberapa anggota polis siap dengan sebuah kereta peronda dan sebuah kereta Proton Satria berwarna putih yang saya kenalpasti sebagai kepunyaan salah seorang anggota polis yang telah datang ke rumah saya. Lalu saya memarkir kereta saya. Saya lihat anak saya Tawfiq sudah berada di hadapan rumah Rashidi. Tawfiq memanggil keluar Rashidi dengan berkata “ Hang keluaq, kalau betui hang anak jantan!” Kemudian saya memujuk dia dan mengajak beliau pulang ke rumah tetapi dia menjawab ‘ Abah cakap senang, tak kena kat abah takpa la…abah tau apa, apiq (Tawfiq) yang tau, ni muka nak letak kat mana, apiq botak ni abah. Saya terus memujuk beliau. Dia menjawab, tang lari apiq tak lari, apiq nak selesai juga pagi ni.” La, abah pi balik”. Lebih kurang 6.45 pagi Saya pun mengambil keputusan untuk balik ke rumah untuk mengambil isteri saya dengan harapan dia dapat memujuk anaknya yang sedang marah itu. Lebih kurang, saya terus bertolak ke tempat kejadian bersama isteri..Lebih kurang 7.00 pagi, Saya dapati ada dua kumpulan anggota polis masing-masing berada di tepi jalan. Salah seorang angota polis itu memegang sebatang paip pvc putih. Saya tidak nampak kelibat anak saya berada di tempat kejadian.
Pada masa yang sama, Saya terdengar seorang anggota polis yang saya kenali sebagai Aidil menjerit untuk menanyakan patutkah kita keluarkan Rashidi? Rakan-rakannya menjawab “tak payah”. Selepas itu kami bergerak berjalan kaki sambil mencari kelibat anak saya dan saya terlihat anak saya berjalan kaki menuju ke arah landasan keretapi berhampiran dalam keadaan amat keletihan kerana dia dilihat rebah dan bangun semula dalam setiap beberapa langkah. Saya terus mengekori dalam jarak yang agak jauh tetapi masih nampak kelibat anak saya dan terus mengekori ke arah jejantas lebuh raya Arau. Kemudian kami kembali masuk ke dalam kereta untuk mengekori anak saya. Saya memandu kereta dan memarkir kereta di sebelah atas jejantas lebuh raya Arau. Kami turun dari kenderaan dan meneruskan usaha memujuk anak saya agar tidak meneruskan kemarahannya lagi. Taufiq tidak mengendahkan pujukan saya dan terus berpatah balik.
Sebaik sahaja melihat keadaan itu, saya dan isteri mengambil keputusan untuk membuat pusingan ‘U’ di atas lebuh raya sehala untuk mendapatkan Tawfiq dengan cuba mengikut kereta peronda polis yang turut bersama di atas jejantas tetapi agak terlambat. Sepanjang berada di atas jejantas, saya dapati tiada sebarang usaha memujuk yang dilakukan oleh anggota polis kepada Tawfiq untuk menyerah diri kepada polis. Ketika itulah saya terdengar bunyi dua kali tembakan secara berturut-turut(bukannya berselang dalam satu tempoh) dan pada ketika itu isteri saya berkata “abah, depa tembak dah anak kita” lalu pengsan. Sesampai saya di tempat kejadian. Kami menghentikan kereta dan bertemu dengan Ketua Polis Balai Arau yang saya kenali panggilan Tuan Jabar dan saya bertanya “ mana anak saya?!”. Beliau(Tuan Jabar) sambil memegang pisau pemotong sayur yang saya kenal sebagai pisau yang dibawa oleh Tawfik (sedangkan ia barang bukti dari tempat kejadian yang belum diproses kerana tiada pasukan forensik polis dilihat berada di tempat kejadian itu) menunjukkan isyarat mulut ke arah tubuh di tepi jalan dalam keadaan tertiarap dan tangan bergari di belakang yang kemudian saya kenali sebagai tubuh anak saya Tawfik.
Pada masa yang sama, saya terdengar suara salah seorang anggota yang saya tidak kenali menyatakan “Kami tembak di kaki”. Kemudian, saya terus bergegas menuju ke arah tubuh anak saya untuk memangku beliau. Isteri saya terus menyelak kaki seluar yang dipakai Tawfik untuk mencari kesan tembakan di kaki. Malangnya tiada sebarang kesan tembakan di kedua-dua belah kaki anak saya. Sebaik saya melihat ke arah badan Tawfik, saya dapati ada satu kesan darah di baju dan terus saya menyelak baju Tawfik dan saya dapati dengan jelas kesan satu tembakan di bahagian dada. Saya berkata “ tadi hangpa habaq kat aku tembak di kaki, tapi pasaipa hangpa tembak di dada?!!” Ni bukan nak bagi cedera tapi memang hangpa nak bunuh anak aku!!!” Saya bertanya lagi ‘ mana dia ambulan,bawa dia pi hospital” Sambil itu, kami memeriksa nadi dan tiada sebarang tindak balas, kemudian saya menyuruh Tuan Jabar mengarahkan anggotanya membuka gari di tangan anak saya. Jadi kemudian, ikatan gari dibuka tetapi hanya sebelah tangan sahaja. Selepas itu, saya lihat keadaan muka anak saya berlumuran dengan darah dan sekali lagi meminta kain untuk mengelap mukanya dengan harapan Tawfik dapat bernafas dengan sempurna kerana saya beranggapan Tawfik masih hidup ketika itu. Tuan Jabar menjerit kepada anggotanya “mana kain?, mana kain?”. Selepas itu, saya melaung sambil bertanya “ pasaipa hangpa biaq tang ni, pasaipa hangpa tak bawa pi hospital, mana ambulan, hangpa mai angkat cepat bawa pi.
Berikutan itu,Tuan Jabar mengarahkan anggotanya membawa masuk kenderaan Polis (Land Rover) yang sedia terdapat di dalamnya pengusung dan plastik hitam pembungkus mayat seolah-olah mereka telah merancang untuk menembak mati Tawfik. Anggota yang ada terus membawa turun pengusung tanpa membuat sebarang pengesahan kematian secara rasmi kerana tiada sebarang kenderaan ambulan dari hospital atau pusat kesihatan yang berdekatan dilihat berada di lokasi kejadian. Sepatutnya perlu ada satu pengesahan status anak saya yang ditembak sama ada masih hidup atau mati tetapi saya lihat tiada seorang pun yang melaksanakan Prosedur Pengesahan Status Kematian tersebut. Kemudian Land Rover Polis terus membawa tubuh anak saya ke Unit Kecemasan Hospital Tengku Fauziah Kangar untuk proses selanjutnya. Saya bersama isteri saya juga mengikut kenderaan polis menuju ke hospital tetapi gagal untuk mengekori kenderaan tersebut kerana ia dipandu laju.
Sesampainya saya di Unit Kecemasan HTF, saya merujuk kepada salah seorang petugas yang saya tidak ingat namanya di kaunter kecemasan bertanyakan tentang hal tentang pendaftaran kemasukan sebarang kes melibatkan orang awam ditembak polis tetapi jawapan yang saya terima ialah tiada dan diberitahu pada kebiasaannya kes sebegitu biasanya terus dirujuk ke Unit Forensik HTF. Saya pun terus pergi ke unit berkenaan untuk mengetahui prosedur selanjutnya.
Saya melihat sekumpulan anggota polis sudah berada di perkarangan rumah mayat HTF pada pagi kejadian. Selepas itu, saya bertanya kepada setiap anggota polis yang ada di situ siapa yang menembak anak saya, lalu saya telah ditunjukkan kepada anggota yang menembak anak saya, selepas mengecamnya saya terus ke balai polis untuk membuat laporan polis berkaitan keseluruhan kejadian. Setibanya di IPK Perlis di Kangar, saya telah diganggu privasi ketika hendak membuat laporan polis yang pertama. Terdapat terlalu ramai anggota polis di kaunter laporan yang mengerumuni di meja penerima laporan silih berganti dan membaca laporan yang saya adukan.
Selepas selesai membuat laporan polis, saya terus dipanggil oleh seorang pegawai penyiasat di tingkat dua yang berbaju preman untuk mengambil kenyataan saya. Setelah habis memberikan kenyataan, saya terus ke Unit Forensik HTF untuk melihat dan menuntut mayat anak saya. Ketika itu, saya dimaklumkan sesi autopsi masih belum berjalan kerana menantikan kehadiran Pakar Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Dr. Mohd Suhani bin Mohd.Noor yang terlewat kerana baru menyelesaikan kes di Pulau Pinang lebih kurang jam 5 petang. Saya terkejut bila ditanya oleh pakar yang berkenaan penjelasan prosedur berkaitan oleh Polis sedangkan tiada sebarang taklimat atau sesi penjelasan berkenaan kes anak saya yang ditembak polis ini.
Dari pengamatan saya, banyak prosedur telah dilanggar oleh pihak polis berkaitan proses dan prosedur bedah siasat mayat yang berkaitan kes seumpama ini terutamanya makluman awal kepada pakar forensik tentang masa kejadian berlaku, prosedur imbasan X-ray telah dibuat awal sebelum mendapat kebenaran daripada pakar yang berkenaan menyebabkan prosedur kedua imbasan x-ray dilakukan, makluman pihak polis kepada pakar forensik menyatakan bahawa sesi taklimat dan penjelasan kes sudah diberikan kepada waris si mati sebelum proses bedah siasat dijalankan. Akhirnya, saya memohon kepada Pakar Forensik agar ketelusan dalam proses yang berkenaan. Selepas mendapat jaminan ketelusan daripada pakar forensik tersebut saya pun keluar dari bilik pejabat am di Unit Forensik HTF.
Setelah selesai ‘post-mortem’ si mati, saya dipanggil oleh Doktor Pakar Forensik dan menyatakan keputusan forensik seperti berikut: Sebab kematian pertama akibat tembakan peluru terkena jantung dan mati serta-merta, seterusnya ada kesan trauma pukulan di bahagian belakang tubuh mangsa dan yang ketiga ada kesan gari yang jelas di kedua-dua tangan si mati. Selepas itu saya menunggu proses akhir bedah siasat dan seterusnya kerja memandikan dan mengkafankan anak saya sebelum saya menuntut mayat untuk di bawa pulang ke kediaman saya.
Saya membuat laporan ini kerana mendapati terlalu banyak percanggahan dalam laporan dan kenyataan oleh pihak yang berkenaan dalam siasatan kes ini.
1) Saya memohon ruang keadilan yang saksama diberikan kepada saya dan tidak diganggu emosi oleh rondaan anggota polis di sekitar kawasan rumah saya setiap hari sejak kejadian tersebut.
2) Saya amat terganggu dengan cara mereka mengeluarkan kenyataan yang tidak selari dengan fakta di tempat kejadian. Kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh pihak polis jelas meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada Tawfiq sedangkan dia belum disabitkan sebarang kesalahan dan tindakan polis hanyalah kerana beberapa prosedur yang mereka sendiri tidak patuhi selama menyelesaikan kes berkenaan.
3) Perlu diingat Si mati Tawfiq ialah seorang OKU kerana kecacatan kekal di bahagian kakinya tidak memungkinkan beliau melakukan kerja yang berat dan apatah lagi dalam keadaan keletihan setelah berjalan kaki dalam tempoh yang lama dilihat tidak mampu mengancam polis.
4) Polis sengaja mereka cerita secara tidak berasas untuk melindungi anggotanya yang tidak mengikut prosedur kes.
5) Polis jelas berbohong bila menyatakan mereka melepaskan tembakan amaran kerana dari pendengaran saya di tempat kejadian jelas dua das tembakan yang dilepaskan polis secara berturut-turut dan bukan diselangi waktu yang tertentu.
6) Polis juga gagal untuk mengambil sebarang tindakan awal membendung kejadian ini apabila menerima laporan yang dikatakan dibuat oleh Tawfiq sendiri di Balai Polis Arau pada awal hari kejadian.
7) Ketiadaan ahli forensik di tempat kejadian menyebabkan banyak barang kes termasuk pisau yang dibawa Tawfiq diusik dan mungkin diubah, jelas tidak mematuhi peraturan dalam melaksanakan prosedur kerja termasuk pengesahan kematian suspek yang ditembak di bahagian dada. Pihak polis dilihat sudah menyediakan kelengkapan untuk membawa ‘mayat’ dan bukannya bersedia menyediakan pasukan perubatan dari hospital atau pusat kesihatan yang terdekat jika tujuan mereka hanya hendak meleraikan amukan suspek. Buktinya mangsa tembakan terus dibawa ke Unit Forensik dan bukannya Unit Kecemasan. SIapa yang mengesahkan kematiannya ‘dalam perjalanan’?
Keadaan tangan yang bergari menimbulkan persoalan sama ada suspek digari sebelum atau selepas ditembak. Ini jelas menjadi keraguan kerana tembakan di dada boleh menyebabkan kematian serta-merta dan apa rasional mangsa tembakan digari selepas ditembak dan dibiarkan tersembam muka di tanah dengan berlumuran darah di bahagian muka?Apa juga rasional mangsa ditembak dalam keadaan bergari jika prosedur menggari suspek dilakukan sebelum ‘nyawanya diambil’?
9) Suspek dilihat sudah tidak bermaya untuk melangkah dan rebah beberapa kali sebelum ditembak. Apakah prosedur yang dipatuhi polis untuk menangani kes sebegini? Perlu diingat, suspek berjalan kaki sejauh lebih 50 kilometer dari Alor Star dan tidak berehat. Mustahil suspek mempunyai tenaga ‘superb’ untuk terus bertahan kekuatan fizikalnya untuk meneruskan ‘amukannya’?
10) Kenapa bilangan anggota polis yang lengkap dengan senjata tidak mampu dan gagal menangani seorang yang disyaki hanya membawa sebilah pisau pemotong sayur yang sudah keletihan dan tidak bermaya?
11) Kenyataan awal dari anggota polis yang datang ke rumah keluarga suspek menyatakan mereka tak mampu untuk mengambil tindakan menahan suspek kerana cukup mengenalinya bila berada dalam keadaan marah jelas menyalahi etika professionalisme polis yang bertugas menjaga keselamatan dan keamanan rakyat.
12) Kenyataan akhbar yang dipetik dari makluman polis jelas menjatuhkan maruah keluarga dan suspek sendiri kerana kami sudah dihukum tanpa bicara terlebih dahulu. Soal komersial atau sensasi sepatutnya tidak menjadi keutamaan mana-mana pihak dalam kes sebegini kerana maruah sepatutnya menjadi keutamaan. Polis sepatutnya meneliti keseluruhan fakta sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan bersifat ‘mempertahankan diri’ demi imej dan reputasi pasukan polis. Barulah integriti POLIS DIRAJA MALAYSIA sebagai pasukan yang diamanahkan menjaga ketenteraman awam di Malaysia lebih dihormati.
p/s: Ketelusan semua pihak amat perlu untuk menegakkan keadilan. Kita sama-sama tunggu hasil SIASATAN DALAMAN yang akan dikeluarkan nanti (khabar terbaru menyatakan Menteri KDN telah mengarahkan kes ini disiasat tanpa prejudis demi mengelakkan tanggapan buruk kepada integriti polis)). Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Ar-Ruh Mohamad Tawfiq Noorzan… Aaamiiin…….