Showing posts with label perkahwinan. Show all posts
Showing posts with label perkahwinan. Show all posts

Sunday, 6 November 2011

:: Utamakan biras... ketepikan isteri...




Keluarga Didi


ARKIB : 06/11/2011

Suamiku gilakan biras

PEMBACA tentu biasa mendengar atau membaca kisah suami gila nak kahwin lagi atau bermadu, tetapi lain pula masalah yang saya hadapi apabila suami bercinta dengan ahli keluarga sendiri.

Pelik bunyinya.Tetapi itulah sebenarnya berlaku membuat saya makan hati berulam jantung.

''Bayangkan hati siapa tak sakit bila suami memberikan lebih perhatian kepada kakak iparnya daripada saya isterinya yang sah. Bukan saya mereka cerita atau cemburu buta seperti suami saya Az tuduh, tetapi itulah yang saya hadapi sejak lebih tiga tahun berkahwin.'' Itu cerita Norfarah dalam emelnya panjang lebar.

''Pada mulanya saya tak sedar perangai Az, sebab kami berkahwin cinta sama cinta, walaupun tak memakan masa yang lama seperti orang lain, setakat lapan bulan memadai. Kami dikenalkan oleh saudara Az sendiri yang kebetulan kenalan pejabat lama saya.

''Memikirkan Az lelaki yang baik, tak banyak kerenah dan tidak begitu mengawal pekerjaan saya, maka terfikir tentulah dia berfikiran terbuka dan matang, tambahan perbezaan umur kami lebih sembilan tahun cukup sesuai dia jadi suami bertanggungjawab kepada saya yang baru berusia 25 tahun ketika itu.

''Tetapi setelah berkahwin dan tinggal sebumbung baru saya sedar dan ternampak kelakuan Az sebenar. Dalam banyak hal Az banyak minta nasihat kakak iparnya iaitu biras saya, kak Zee, berbanding saya mahupun ibunya sendiri.

''Bukan setakat cari rumah sewa, beli perabot, balik kampung, pergi makan angin, hinggakan benda remeh-temeh pun dia akan tanya pendangan kak Zee dulu dan bukan saya.

''Pada awal perkahwinan saya pun ada minta pandangan kak Zee sebab hormatkan dia kerana dia lebih tua, tetapi bukan sepanjang masa, hinggakan hospital mana nak bersalain, cari bidan, beli pakaian bayi semua kak Zee yang pilihkan. Ini sudah lebih! Bukankah saya isterinya?

''Az banyak bantu kak Zee anak beranak sejak dia ditinggalkan oleh suaminya (abang Az) yang berkahwin lain. Sejak itu Az jadi tempat kak Zee bergantung, termasuklah sewa rumah, makan minum dan sekolah anak-anak. Kerana itulah juga Az lambat kahwin hingga membimbangkan ibunya.

''Namun kalau benda tak baik, terbau juga busuknya. Hubungan mereka terlalu akrab, setiap pagi Az mesti ambil kak Zee di rumah dan hantar ke tempat kerja. Petangnya Az ambil dan hantar balik rumah. Sedangkan saya pergi kerja sendiri, walhal tempat kerja saya dengan Az tak sampai 2 km. Sementara jarak tempat kerja kak Zee lebih 5km. Sebenarnya anak sulung kak Zee boleh hantar dan ambil emaknya. Tapi kak Zee tak mahu naik motor.

''Kerana terlalu ambil berat kebajikan kak Zee saya disuruh pergi sendiri ke klinik semasa hamil. Masa mengidam saya teringin nak makan di restoran, tapi Az tak mahu bawa sebab kak Zee nasihatkan jangan membazir wang dan jangan terlalu ikutkan selera orang mengidam, itu semua mainan fikiran. Maka Az kata saya mengada-ngada. Sakitnya hati!

''Sepanjang hamil saya banyak bersabar sebab bimbang kesihatan terganggu. Ketika balik kampung dalam pantang jiran beritahu kak Zee selalu tidur di rumah kami. Bila saya tanya, Az beri alasan kak Zee tolong bersihkan rumah yang berdebu.

''Malam pertama balik ke rumah selepas habis pantang kak Zee datang tidur di rumah katanya takut anak saya menangis sebab beralih rumah. Tapi alangkah terkejutnya saya lihat mereka berdua tidur depan televisyen, seorang atas sofa seorang lagi tersandar di kerusi. Bila saya tanya kak Zee kenapa tak tidur di bilik, katanya bilik panas walaupun ada kipas angin.

''Sebagai isteri saya punya firasat hubungan mereka berdua memang tak baik, tetapi Az nafikan, malah mendakwa saya cemburu dan suka buruk sangka. Lepas kejadian malam itu kak Zee tak datang ke rumah saya lagi.

Bekerja

''Anak kak Zee tiga orang, seorang dah bekerja, dua lagi masih sekolah. Kak Zee bekerja, dia boleh sara anaknya. Kerana sewa rumah Az yang bayar. Sedangkan saya terpaksa sara diri sendiri dan anak, termasuk bayar upah orang jaga anak.

''Bila minta duit dari Az dia beri RM50 seminggu, alasannya tak ada duit sebab kena bayar sewa rumah, ansuran dua kereta selain bil air dan elektrik. Saya tak minta dia belikan kereta untuk saya, kami boleh pergi kerja bersama.

''Apa yang saya masak semua tak sesedap masakan kak Zee hingga menjilat jari. Begitu juga kalau balik kampung sentiasa kak Zee ikut sama pergi dan balik. Bila saya tanya kenapa kak Zee tak balik kampung dengan anak-anaknya. Az marah takut kak Zee kecil hati.

''Kerana jiwa semakin tertekan saya pernah beritahu keadaan ini kepada mertua, macam biasalah mertua saya tak percaya, kerana Az baik pijak semut tak mati

''Mertua saya pernah duduk beberapa hari di rumah kami. Tapi peliknya Az sentiasa ada di rumah, tak pulak dia terburu-buru hantar dan ambil kak Zee di pejabat atau menemannya ke pasar. Kerana mertua saya puji masakan saya, dia pun makan cukup berselera.

"Lagi pelik, kak Zee tak pulak datang rumah kami atau telefon Az meminta bantuan.

''Sebenarnya saya melahirkan isi hati saya ini kerana tak tahu pada siapa nak bercerita, nak cerita pada emak, dia jauh di kampung, mertua pula tak percaya. Akhirnya saya jadi buntu, masalah saya tak ada penyelesainya dan hidup saya macam orang mati beragan. Pernah saya terfikir apa kurangnya saya apa lebihnya biras saya yang berumur lebih 45 tahun itu. Kami suami isteri hanya pada namanya sahaja tinggal sebumbung, tetapi tidak ada kemesraan, kami membawa haluan sendiri.'' Demikian cerita Norfarah yang mendakwa hidupnya seperti telur di hujung tanduk kerana suaminya lebih sayangkan kakak iparnya sendiri.


:: Dahagakan belaian...






Curang akibat dahagakan belaian

BERMULA dengan perkenalan biasa akhirnya Mariam (bukan nama sebenar) jatuh cinta dengan Darus (bukan nama sebenar). Darus yang pandai mengambil hati membuatkan Mariam yang sudah bersuami jatuh cinta dengan lelaki itu. Hatinya sentiasa berasa seronok apabila mereka berjumpa.

Ia ditambah pula dengan keadaan Mariam yang sering makan hati ekoran tingkah laku suaminya, Mustapa (bukan nama sebenar) yang tidak pernah lekat di rumah kerana sibuk dengan urusan kerja. Kehadiran Darus mengisi kekosongan itu.

Disebabkan itu Mariam sering bersendirian. Biarpun ditemani anak-anaknya seramai tiga orang namun naluri ingin di sayangi sentiasa menebal.

Itu kelebihan yang ada pada Darus yang sentiasa bertanya khabar dan sering berhubungan melalui laman sosial di Internet.

Biarpun Darus sudah beristeri dan mempunyai dua orang anak ia bukan penghalang untuk Mariam menjadikannya sebagai tempat untuk meluahkan perasaan dan akhirnya menjadi kekasih.

Dua tahun mereka berhubungan secara bersembunyi, tanpa diketahui oleh isteri dan suami masing-masing.

Akui Mariam, setiap kali dia berjumpa Darus, anak-anaknya pasti menjadi peneman sehinggakan mereka rapat dengan kekasihnya.

"Suami saya hanya pandai memberi wang kepada kami anak beranak. Selebihnya semua saya kena uruskan sendiri,'' ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kata Mariam, biarpun di mata masyarakat mereka bagaikan sebuah keluarga yang sempurna, namun hatinya sering diabai dari dimanja dan disayangi suami.

"Pernah juga saya cuba meluahkan perasaan saya kepada suami namun sikapnya yang ego hanya menyebabkan saya sakit hati akhirnya,"katanya.

Ceritanya lagi, setiap kali cuti sekolah suaminya hanya akan memberikan wang untuk dia dan anak-anak pergi bercuti. Suaminya tidak turut serta kerana lebih mementingkan urusan kerja.

"Memanglah pada mulanya saya seronok kerana diberikan wang tetapi setelah 15 tahun hidup bersama, timbul rasa bosan. Wang tidak dapat menggantikan dirinya dan memberikan kebahagiaan kepada kami semua,'' ujarnya yang pernah bekerja bagaimanapun diminta berhenti untuk menguruskan anak-anak.

Kini, memandangkan Mariam sudah mempunyai teman baru yang sanggup menjadi peneman, dia nekad untuk meneruskan perhubungan itu.

"Pernah saya menyuarakan untuk meninggalkan Mustapa, tetapi suami saya itu tidak mengendahkan permintaan saya.

"Suami saya seperti robot. Tiada perasaan. Tidak pandai mengambil hati. Sudah lama saya bertahan dan menyimpan perasaan ini,''ujarnya.

Seterusnya, rasa cinta pasangan itu bersatu dalam seribu kenangan manis. Mereka sering berutus pesanan ringkas dan setiap malam Mariam diamuk rindu dendam kepada Darus.

Jika ada kelapangan, pada hujung minggu Darus dan Mariam akan berjumpa di luar. Jika dahulu diringi anak-anak , kini mereka banyak keluar berdua. Anak-anak tinggal di rumah bersama pengasuh.

"Kadang-kadang kami keluar sehingga lewat malam. Namun apa yang hendak dirisaukan, apabila saya balik ke rumah, Mustapa masih belum pulang lagi dari pejabat.

"Biarpun begitu saya sendiri tidak pernah bertanya mengenai keadaan rumah tangga Darus. Apa yang terjadi terhadap isteri dan anak-anaknya.



"Apa yang saya tahu, Darus berada bersama saya selalu dan kami sebenarnya pasangan yang sehaluan dan sejiwa," katanya.

Mariam mengakui, ketika bersama, Darus sedikit pun tidak pernah bercerita mengenai keluarganya.

Sehingga kini ujar Mariam, perbungan mereka berdua semakin rapat sehingga tidak sanggup berpisah lagi.

Ada juga di kalangan rakan-rakan yang menasihatkan agar Mariam berhenti berjumpa Darus sebelum Mustapa mengetahui perlakuannya itu. Namun Mariam tidak mengendahkannya.

Tetapi Mariam masih bersyukur kerana dia masih mampu mengawal perasaannya daripada melakukan hubungan seksual dengan Darus biarpun setiap kali bertemu perasaan batinnya semakin bergelora terhadap lelaki itu.



Saturday, 12 February 2011

:: Tinggal serumah... tiada ikatan pernikahan

Serik kahwin

Oleh SHAMRAN SARAHAN
shamss@hmetro.com.my



Serik kahwin

ALIZA... rakan serumah Anis

ANIS... hanya mahu teman seks.

ANIS... hanya mahu teman seks.


KUALA LUMPUR: Mereka bukan wanita simpanan atau kekasih siapapun. Sebaliknya, golongan ini sekadar inginkan lelaki sebagai teman asmara atau ‘sex buddy’ untuk memenuhi nafsu serakah.

Itulah cara hidup ala Barat yang menjadi sebahagian gaya hidup wanita di negara ini. Golongan ini biasanya duduk sebumbung bersama lelaki pilihan mereka tanpa ikatan perkahwinan sah.

Wanita berkenaan hanya memilih lelaki yang sama-sama tidak inginkan komitmen, tidak mahu bercinta dan berkahwin secara formal. Seks hanya untuk memenuhi naluri dan nafsu.

Gaya hidup bebas dan tidak bermoral ini didedahkan kepada Metro Ahad (MA) daripada sumber yang hanya mahu dikenali sebagai Aliza, 26, dan menetap di sekitar Kuala Lumpur.

Menurut Aliza, dia tinggal serumah dengan Anis, 32, janda berasal dari Sabah yang memilih teman seks untuk memenuhi tuntutan batin.

Katanya, teman asmara Anis dikenali sebagai Rizal, kakitangan swasta yang tinggal di selatan tanah air, dan mereka bertemu seminggu hingga dua minggu dalam tempoh tertentu untuk bersama.

“Anis pernah beritahu saya, dia serik dengan kegagalan dalam perkahwinannya sebelum ini. Sebab itu apabila berkenalan dengan Rizal, dia tidak mahu berkahwin dan lebih senang dengan cara hidup sekarang.

“Saya pernah persoalkan sampai bila mereka mahu hidup begitu? Anis menegaskan dia tidak bersedia untuk bersuami semula kerana sibuk dengan komitmen perniagaan. Rizal juga berpendirian sama dan tidak ingin berkahwin,” katanya.

Mengenai perkenalannya dengan Anis, Aliza berkata, mereka tinggal bersama sejak 2008. Namun, Anis jarang ada di rumah kerana sibuk dengan perniagaan kosmetik yang diusahakannya bersama sebuah syarikat pemasaran bertingkat (MLM).

“Yang saya tahu, bila Anis ada di rumah, Rizal pun ada bersama. Pernah juga Anis beritahu, dia akan tinggal bersama Rizal jika tidak berada di Kuala Lumpur,” katanya.

Bagi membuktikan kebenaran dakwaan Aliza, wartawan MA cuba memujuk Aliza untuk bertemu Anis. Tanpa mendedahkan identiti sebenar, wartawan sempat bersua dengan Anis bersama Aliza di sebuah restoran berhampiran kediaman mereka di Jalan Bukit Bintang.

Ikuti perbualan ringkas antara Anis dan wartawan:

Wartawan (W): Kenapa Anis tidak mahu berkahwin?

Anis (A): Saya tak kisah apa orang cakap. Lagi baik begini, saya dengan hidup saya, Rizal dengan hidupnya.

W: Bukankah lebih bagus kalau berkahwin, masing-masing boleh bagi komitmen?

A: Laa... saya buat begini pun sebab tidak mahu apa-apa komitmen. Lagipun, saya sibuk dengan kerja, itu saja sudah cukup.

W: Rizal tidak kisah, tidakkah dia sayang kamu?

A: Dari awal lagi saya ingatkan dia (Rizal), jika pilih saya sebagai pasangan, lupakan soal sayang dan jangan fikir hendak kahwin. Saya tidak perlukan semua itu. Dapat ‘tidur’ dengan saya sudah cukup, saya tidak mahu lebih daripada itu.

W: Kenapa Anis pilih hidup macam ini?

A: Amboi... banyak tanya pula? Saya serik dengan perkahwinan pertama. Saya masih ingin berkerjaya dan tidak mahu memikirkan soal rumah tangga. Saya hanya perlukan Rizal untuk temankan saya.

Sepanjang berbual dengan Anis, dia lebih banyak cuba memujuk wartawan menyertai perniagaan MLM yang diusahakannya.

Apabila wartawan cuba mengutarakan lagi beberapa pertanyaan mengenai cara hidupnya, dia hanya mengatakan tiada apa yang perlu dihairankan.

“Ramai rakan saya yang begini. Kami cuma mahu hidup bebas tanpa kongkongan lelaki.

“Perkahwinan bagi saya membebankan. Namun saya tidak nafikan saya perlukan sentuhan lelaki, jadi inilah cara terbaik untuk memilih pasangan, tidak perlu berkahwin tetapi saya dapat apa yang saya kehendaki,” katanya.

Sementara itu di lokasi berlainan, Aliza sempat memperkenalkan wartawan MA dengan seorang pengurus syarikat swasta di Kuala Lumpur yang menjalani hidup sama seperti Anis.

Wanita berkenaan hanya dikenali sebagai Nita, 33, dan tujuh tahun hidup sebumbung bersama teman lelakinya.

Ketika ditanya mengapa dia memilih hidup begitu, jawapan sama diberi iaitu mereka tidak mahukan komitmen perkahwinan.

“Saya bayar kereta, belanja makan dan perbelanjaan lain dengan wang sendiri. Teman lelaki saya pun sama.

“Saya bebas untuk berbuat apa saja, kami tidak perlukan apa-apa ikatan. Yang penting, saya ada teman untuk ‘bersama’,” katanya.

Sempat juga wartawan menyindir gaya hidup bebas ala Barat yang mereka jalani itu bagaikan hidup orang tidak beragama dan tidak sesuai dengan budaya orang Melayu.

Nita hanya tersenyum dan dengan selamba berkata, dia tidak kisah pandangan masyarakat terhadap apa dilakukannya.

“Saya ada wang dan kerjaya bagus. Kenapa saya perlu ambil peduli apa orang cakap, apa yang saya buat adalah hak individu.

“Kahwin pun tidak menjamin apa-apa, lihat sekarang pun ramai pasangan asyik bercerai berai. Lagi bagus begini, sekurang-kurangnya saya dan teman lelaki tidak terikat dan bebas dengan apa yang kami ingin lakukan,” katanya.