Showing posts with label umno. Show all posts
Showing posts with label umno. Show all posts

Tuesday, 27 September 2011

:: UMNO dan Parti Komunis China (CPC)



UMNO Dikagumi Parti Komunis Cina




KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Kejayaan UMNO bersama-sama Barisan Nasional (BN) sebagai tunjang pentadbiran negara dikagumi pelbagai pihak termasuklah Parti Komunis China (CPC) khususnya dalam mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian negara sejak 54 tahun merdeka.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata hasil kunjungan beliau ke negara kuasa besar tersebut bahawa kerajaan dan para pemimpin China menyatakan rasa hormatnya terhadap kejayaan Malaysia.

“Sewaktu mengadakanperbincangan, menterinya memaklumkan bahawa mereka amat kagum terhadap cara UMNO menangani masalah perkauman dan ingin mempelajari daripada kita bagaimana mengatasi masalah-masalah berkaitan etnik yang wujud,” jelasnya kepada umno-online, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN baru sahaja kembali ke tanah air selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pertukaran dan kerjasama antara UMNO dan CPC di Beijing, 5 Ogos lalu

CPC diwakili oleh Menteri Jabatan Antarabangsa dan Jawatankuasa Pusat, Mr. Wang Jiarui.

“Mereka juga memaklumkan bahawa bukan semua parti politik yang ada atau yang berkuasa dalam negara-negara lain mengadakan MoU sedemikian sebaliknya UMNO dipilih untuk bekerjasama ekoran keteguhan dan kejayaan yang telah dilalui,” kata Tengku Adnan.

Menurut beliau, dengan perjanjian persefahaman ini maka hubungan antara dua parti dapat dipertingkatkan khususnya dalam pertukaran pemimpin di kedua-dua peringkat untuk mengetahui perjalanan masing-masing baik di China atau pun di sini.

“Mereka turut meminta agar UMNO sendiri maklumkan kepada kerajaan untuk meningkatkan persefahaman dalam bidang ekonomi khususnya sosioekonomi bagi dikongsi atau bertukar-tukar pandangan untuk kepentingan bersama.

“Sebagai sebuah negara besar tentunya mereka mempunyai pelbagai masalah dan percaya bahawa kaedah yang diambil dari Malaysia sedikit sebanyak boleh digunapakai dan boleh ditokok tambah untuk disesuaikan dengan pentadbiran negara mereka,” jelasnya.

Katanya, beliau turut menyebut minat UMNO bagi menghantar generasi muda khususnya di kalangan pergerakan Pemuda dan Puteri untuk mempelajari bagaimana CPC melaksanakan program-program mereka.

“Kita turut menyatakan kesediaan kita sekiranya diberi peluang untuk menghantar generasi muda dalam parti belajar bahasa Mandarin,” katanya lagi.

Dalam pertemuan ini, beliau juga turut menerangkan berkaitan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB) di samping dasar-dasar yang telah diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak termasuklah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan gagasan 1Malaysia.

“Saya memaklumkan bahawa keyakinan kita percaya pada konsep kesatuan dalam kepelbagaian iaitu kunci kejayaan UMNO sebagai tunjang pentadbiran negara.”

Sehubungan itu, katanya bagi peringkat permulaan pelaksanaan perjanjian persefahaman ini akan menjadi realiti apabila beliau memberikan laopran kepada badan pengurusan parti dan Majlis Tertinggi.

“Pelaksanaan akan dibuat selepas laporan diberi dengan rangka kerja sama ada melibatkan kedua-dua pemimpin atau generasi muda dalam parti,” terangnya.

Maklumnya lagi, CPC juga telah menyatakan persetujuan untuk turut menyertai forum antarabangsa yang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO, Oktober nanti. – MediaUMNO


http://umno-online.com/?p=17295

Sunday, 15 August 2010

:: DS T.Adnan T.Mansor..UMNO selayak di bawah kaki ?




13 Ogos, 2010 22:42 PM

Umno Minta Rakan Maya Bantu Naikkan Semula Imej Parti



KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Umno hari ini meminta bantuan sahabat maya untuk menaikkan semula imej serta nama parti itu yang sering menerima pelbagai tohmahan oleh pihak tertentu, terutama parti pembangkang.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, sejak lima tahun kebelakangan ini, pelbagai tuduhan telah dilemparkan kepada Umno sehingga parti itu dilihat seperti pertubuhan siasah yang tidak bermoral.

"Umno digambarkan seperti parti yang tidak berakhlak, yang seolah-olah hanya layak diletakkan di bawah kaki...saya sedih dengan keadaan ini.

"Kita tidak minta banyak...kita cuma minta diiktiraf apa yang telah dilakukan parti selama ini, apa yang telah dilaksanakan untuk kebaikan semua," katanya sempena majlis berbuka puasa bersama rakan-rakan Facebook (FB) Media-Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Kira-kira 500 sahabat FB Media-Umno dirai pada majlis itu yang turut dihadiri Setiausaha Kerja Umno Datuk Abd Rauf Yusof.

Tengku Adnan berkata sejak ditubuhkan 64 tahun lepas, Umno banyak menabur jasa dan melaksanakan pelbagai usaha membangunkan negara.

"Kalau Umno tak ditubuhkan pada 1964 itu, kita tidak tahu di pinggir mana kedudukan orang Melayu sekarang," katanya.

Beliau turut meminta rakan Umno yang sering berkomunikasi di ruang maya supaya memperkenalkan Umno, khususnya kepada generasi muda yang belum mengenali Umno, selain menarik lebih ramai golongan itu mendekatkan diri dengan parti berkenaan.

Ruang FB Media-Umno yang wujud sejak 8 Jan lepas, kini mempunyai seramai 4,513 sahabat dan 3,836 peminat.

Tengku Adnan berkata semua sahabat Umno dialu-alukan untuk mengemukakan sebarang cadangan atau pandangan untuk kebaikan parti.

"Walaupun Umno telah lama ditubuhkan, tetapi kita bukanlah sempurna. Kalau ada cadangan, pandangan boleh dikemukakan supaya perjalanan Umno ini lebih baik," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, 11 May 2010

:: UMNO : muda belia 23 tahun

May 11, 2010 (kerabubersuara.blogspot.com)

UMNO BERUSIA 23 TAHUNNYA BUKAN 64 TAHUN.

Umno berusia 64 tahun? Mana mungkin Umno berusia 64 tahun, kerana umno baru ditubuhkan pada 13 februari 1988. Kenapa ada umno baru? Apa sudah jadi dengan Umno lama? Umno lama telah diharamkan oleh Ketua Hakim Negara Tun Mohamad Salleh Abas kerana umno lama merupakan "pertubuhan yang tidak sah".

T...api kenapa orang-orang umno menyambut ulang tahun Umno lama dan bukannya menyambut ulang tahun umno baru iaitu 13 februari. Kalau orang umno menyambut ulang tahun umno pada 13 februari maka umno pada 2010 bukanlah berusia 64 tahun tetapi umno baru berusia 23 tahun.

Ini mesti kerana projek nak memperbodohkan orang melayu masih segar dalam perjuangan Umno baru. Kononnya umno baru inilah yang telah memerdekakan tanah melayu. walhal pada hakikatnya Umno lama atau United Malay National Organisation itu sendiri ditubuhkan bukan hanya kerana mahu memperjuangkan kemerdekaan tetapi tujuan Umno adalah untuk membantah pertubuhan Malayan Union dan bukannya sebagai pejuang kemerdekaan. Buktinya ada dalam buku sejarah PMR.

Selepas umno lama diharamkan, Tun Dr. Mahathir Mohamadlah yang menghidupkan semula umno dan umno yang memerintah hari ini bukannya umno yang telah diperkenalkan Dato Onn bin Jaafar tetapi Umno hari ini adalah Umno milik mutlak Tun Dr. Mahathir Mohamad atau dengan nama lain UMNO BARU. Kerana itulah Tun Dr. Mahathir Mohamad berhak untuk mengata umno ini sudah membusut sampai ke usus kerana Tun Dr. Mahathir Mohamad ini sendiri adalah tuan punya parti ini.

Sebelum berlakunya pengharaman Umno lama, telah berlakunya krisis diantara Team A yang diketuai oleh Tun Dr. Mahathir dan Team B diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah yang dibantu oleh Dato' Seri Utama Rais Yatim yang menjadi bukti umno hari ini adalah umno baru yang berusia 23 tahun dan bukannya 64 tahun. Ini kerana Tengku Razaleigh Hamzah telah menubuhkan parti baru iaitu Parti Melayu Semangat 46 yang meneruskan semangat penubuhan UMNO yang ada pada tahun 1946 selepas Umno lama diharamkan oleh mahkamah. Manakala umno baru yang ditubuhkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan satu tiruan umno lama yang haram itu.

Tapi mengapa orang-orang umno dan kepimpinannya sanggup menjadi gila meroyan yang berkeras mengatakan Umno baru yang ditubuhkan Tun Dr. Mahathir Mohamad ini adalah Umno lama sedangkan jelas dalam sejarah yang Umno hari ini adalah Umno Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kian membusut sampai ke usus ini berusia 23 tahun dan bukannya 64 tahun pada 11 mei 2010. Dan mengapa juga para pimpinan dan penyokong-penyokong Umno terus memilih tarikh 11 Mei untuk meraikan ulang tahun penubuhan umno sedangkan umno hari ini ditubuhkan pada 13 februari dan bukannya 11 mei.

Adakah para pimpinan dan penyokong-penyokong Umno tidak merasa malu dengan menunjukkan sifat-sifat bodohnya itu kepada masyarakat sedangkan masyarakat hari ini sudah pun pandai dan bukannya seperti dahulu yang mudah Umno baru memperbodohkan masyarakat tanpa rasa segan dan silu.

Semoga para pimpinan dan juak-juak Umno baru dapat menerima yang Umno dulu telah pun diistiharkan haram dan Umno baru juga telah pun diistiharkan oleh pemilik parti ini sendiri yang umno baru ini sedang membusut sampai ke usus.

Sedarlah semua, Umno hari ini bukannya berusia 64 tahun tetapi hanya berusia 23 tahun umurnya. Umno baru ini telah ditubukan oleh Tun Dr. Mahathir selepas umno lama menjadi haram. Janganlah terus menipu lagi rakyat ini. Kerana rakyat hari ini bukannya bodoh dan jujurlah dalam pemerintahan dan jangan mengamalkan pemerintahn yang bertuhankan pembohongan dan membodohkan.Rakyat sudah pun tahu pembohongan taraf kelas F ini adalah penyakit gila meroyan.

SELAMAT ULANG TAHUN UMNO YANG KE-23~