Friday, 30 July 2010

:: Jantung tiruan di Malaysia

IJN perkenal jantung tiruan mesra pengguna
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
2010/07/31

ZAMRI  bersama pasukan perubatan Institut Jantung Negara menunjukkan      alat pengawal jantung mekanikal   HeartMate II pada sidang media   di Kuala Lumpur.
ZAMRI bersama pasukan perubatan Institut Jantung Negara
menunjukkan alat pengawal jantung mekanikal
HeartMate II pada sidang media di Kuala Lumpur.

Heart Mate II berupaya mengepam darah 10 liter seminit

KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) mencatat sejarah dalam dunia perubatan Malaysia melalui pengenalan jantung tiruan tanpa nadi dikenali sebagai Heart Mate II, berpotensi digunakan pesakit jantung kronik yang memerlukan sokongan jangka panjang.

Pengarah Urusan IJN, Tan Sri Dr Robaayah Zambahari, berkata IJN sudah melakukan pembedahan menanam Heart Mate II kepada seorang pesakit ‘dilated cardiomyopathy’ (jantung lemah, membengkak dan tidak boleh mengepam darah) berusia 39 tahun tiga minggu lalu.

“Berbanding jantung mekanikal yang digunakan sebelum ini, Heart Mate II lebih mesra pengguna kerana pamnya yang kecil membolehkan ia ditanam ke dalam tubuh pesakit tanpa mengira saiz ruang dada pesakit. Ia juga boleh digunakan pesakit yang memiliki tubuh bersaiz kecil seperti kebanyakan pesakit warga Asia juga pesakit wanita,” katanya.

Heart Mate II adalah sistem bantuan ventrikular kiri yang membantu jantung mengepam darah ke seluruh badan. Ia direka untuk bertahan lebih lama, melebihi lima tahun, justeru, memberi harapan kepada pesakit untuk tidak menjalani pembedahan pemindahan jantung. Digerakkan oleh bateri, Heart Mate II lebih senyap dan menyebabkan ia dikenali sebagai jantung tiruan tanpa nadi.

Sistem Heart Mate II merangkumi pam yang ditanam di dalam dada pesakit dan satu komponen terdiri daripada pam kawalan dan bateri berada di luar tubuh pesakit. Ia juga dihasilkan pengecas bateri dan monitor.

Heart Mate II direka dengan berat kurang satu kilogram dan berkeupayaan untuk mengepam darah sehingga 10 liter seminit. Ini membolehkan pesakit melakukan aktiviti harian dan tidak perlu berada di hospital.

Sebelum ini, jantung mekanikal yang digunakan oleh pesakit jantung kronik adalah seberat sembilan kilogram dan bertahan sekitar dua tahun. Pesakit yang menggunakannya juga tidak boleh mandi dan tidak boleh terdedah kepada hujan.

Pengarah Klinikal Pemindahan Jantung dan Paru-Paru IJN, Dr Mohamed Ezani Md Taib, berkata sistem Heart Mate II tidak menggantikan fungsi asal jantung tetapi bekerjasama dengan jantung asal untuk mengepam darah. Umumnya pada jantung yang sihat, ventrikal kiri mengepam darah ke seluruh tubuh. Namun pada jantung yang sakit, ventrikal kiri tidak kuat untuk mengepam darah secukupnya. Justeru, Heart Mate II ditanam di sebelah jantung asal pesakit bagi membantu menyokong ventrikal kiri dengan menambah kadar aliran darah.

Jelas Dr Ezani, kos keseluruhan untuk prosedur membabitkan Heart Mate II ketika ini masih mahal iaitu sekitar RM500,000 dan pesakit pertama yang menggunakan Heart Mate ditanggung sepenuhnya Kerajaan Malaysia di bawah geran Program Jantung Mekanikal yang dilancarkan pada 2005.

Sementara itu, Mohd Zamri Din, pesakit pertama yang menerima Heart Mate II berkata, dia didiagnosa dengan ‘dilated cardiomyopathy’ pada 2008 dan mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang. Bagaimanapun, bekas pekerja hotel di Langkawi ini kemudiannya dirujuk ke IJN bagi mendapatkan rawatan selanjutnya apabila dia tidak menunjukkan tindak balas kepada rawatan yang diberikan.

Zamri yang ditemui berkata, dia sangat bersyukur dan berterima kasih kerana menjadi pesakit pertama yang menerima Heart Mate II di Malaysia.

Untuk rekod, kegagalan jantung adalah antara masalah jantung yang paling kerap menjadi punca pesakit dimasukkan ke hospital. IJN merekodkan 300 kemasukan disebabkan kegagalan jantung untuk tahun lalu saja. Pesakit yang mengalami kegagalan jantung tahap akhir biasanya disenaraikan dalam penerima organ baru kerana tidak lagi mempunyai harapan untuk sembuh dengan teknik perubatan sedia ada.

Sehingga kini, ada enam pesakit yang sedang menunggu jantung baru di IJN.



No comments:

Post a Comment