4.2 juta rakyat enggan daftar dengan SPR
2010/11/17
PUTRAJAYA: Masih terdapat 4.2 juta rakyat negara ini yang layak mengundi tetapi enggan berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan mereka mengambil bahagian dalam pengundian.
Hingga berakhir suku ketiga tahun ini, hanya kira-kira 100,000 atau 2.3 peratus daripada 4.3 juta rakyat yang mendaftar sebagai pengundi menerusi pelbagai saluran termasuk parti politik.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata angka itu masih lagi rendah dan meminta kerjasama semua pihak supaya menggandakan usaha membantu mendaftarkan pengundi baru berkenaan.
"Dalam laporan suku ketiga tahun ini, 4.2 juta rakyat Malaysia berusia 21 tahun dan ke atas yang belum berdaftar berbanding 4.3 juta sebelum itu.
"Walaupun ada yang mendaftar, jumlah itu terlalu sedikit dan tidak seperti yang kita harapkan supaya lebih ramai golongan ini mendaftar untuk menentukan masa depan negara," katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.
Sebelum ini, SPR menganggarkan hampir lima juta rakyat Malaysia yang mencapai usia 21 tahun dan ke atas dijangka tidak dapat mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berikutan keengganan mereka mendaftar sebagai pemilih.
Dianggarkan kira-kira 15.6 juta rakyat Malaysia berusia 21 tahun ke atas layak mengundi, tetapi sehingga 30 Mei lalu hanya 11.24 juta yang mendaftar sebagai pemilih, manakala baki kira-kira 4.3 juta lagi belum berbuat demikian. Daripada 4.3 juta itu, seramai 1.9 juta atau 43 peratus adalah orang Melayu.
Wan Ahmad berkata, tidak peka dan mengambil sikap sambil lewa adalah antara faktor mereka tidak mendaftar sebagai pengundi.
Beliau berkata, mereka juga dilihat kurang rasa tanggungjawab menunaikan hak sebagai warga negara dan tidak peka situasi politik tanah air.
Katanya lagi, ada juga golongan yang suka menunggu saat akhir menjelang pilihan raya sebelum mendaftar.
..............................
Persoalan remeh:
1. Bagaimana jika pendaftaran secara automatik dilaksanakan oleh pihak SPR sendiri ?
2. Bagaimana jika tempat mengundi adalah berdasarkan kepada kawasan yang dilitupi oleh alamat terkini berpandukan alamat yang tercatat pada kad pengenalan ?
3. Bagaimana jika masa yang mencukupi diberi kepada para pengundi untuk menyemak butiran diri dan tempat mengundi berdasarkan daftar pemilih yang dikeluarkan oleh pihak SPR tersebut ?