Friday, 14 August 2009

:: Bukan Dato' Onn - 1

Kepada Yang Bukan Dato’ Onn… Siri Selempang Merah (1)

Aug 14th, 2009 | By webmaster | Category: Hasmi Hashim, Team PerakExpress

OLEH Hasmi bin Hashim

Sebelum ahli-ahli Umno akar umbi itu turun ke Dataran Pengaram petang ini, dan melaungkan “Anwar pengkhianat bangsa!”, saya perlu ceritakan tentang inspirasi perjuangan Dato’ Onn Jaafar—nama yang selalu diingatkan kepada saya sejak kecil. Sebuah sisi sejarah yang barangkali tidak ahli-ahli Umno itu tahu, selain kepatuhan melulu kepada pemimpin-pemimpin yang mahu meneruskan angkara murka.

Petang itu, Dato’ Onn bersama beberapa pengikutnya menahan pasukan lelaki Melayu yang kemudiannya dikenali sebagai “Selempang Merah” daripada meneruskan niatkan ke bandar Pengaram. Kata orang tua-tua, habis sudah orang-orang Cina dibunuh dalam amukan itu—“Perang Parang Banjar”. Peristiwa itu juga dikenali sebagai “Perang Banjar.”

“Hai orang-orang Semerah!” laung Dato’ Onn apabila melihat pasukan Selempang Merah sudah ramai berkumpul di hadapannya.

“Hai orang-orang Semerah, tak usahlah diteruskan untuk menyerang bandar Pengaram…” kata Dato’ Onn lagi.

Mereka memang menuju ke Batu Pahat, untuk membunuh segala Cina—sebagai satu tugas balas dendam kepada pengganas Komunis yang sebelumnya dikatakan telah membunuh orang-orang kampung; orang-orang Melayu.

“Keluarga saya sudah dikepung…”

Rupa-rupanya di Batu Pahat, di kediaman Pegawai Daerah (Dato’ Onn ketika itu adalah pegawai daerah Batu Pahat), sepasukan orang-orang Cina—ada juga yang menyatakannya sebagai pengikut Komunis—telah mengepung keluarga Dato’ Onn. Mereka dikatakan mengugut agar Dato’ Onn bertemu dan menahan “orang-orang Semerah” daripada meneruskan niat menyerang dan membunuh segala Cina di Batu Pahat.

Rundingan pun berlangsung. Sejak kecil saya mendengar nama seperti Panglima Salleh, atau Kyai Salleh. Dia adalah orang yang sama, walaupun ada panggilan “Penglima”, ada panggilan “kyai”. Orang tidak menyebutkan nama Chek Jam. Ada yang memanggilnya dengan nama Cek Ijam. Dia juga orang yang sama, walaupun panggilannya berbeza.

Ada tiga watak penting di sana. Dato’ Onn. Ada Salleh, dan ada Ijam.

Memang di kalangan pemimpin Umno, baik di Batu Pahat, baik di Parit Sulong mahupun di serata daerah berdekatan, mereka selalu mendendangkan nama Panglima Salleh sebagai pejuang—yang membangkitkan semangat orang-orang Melayu agar menuntut bela. Agar, dikatakan, membela nasib bangsa.

Orang melupakan nama Chek Jam—seorang alim, kaum Banjar. Hanya sebelum Pilihanraya Umum lalu, apabila saya menyelusuri rumah orang tua-tua meminta restu untuk bertanding sebagai calon Keadilan bagi kawasan Semerah, barulah terbuka cerita. Cerita tentang Chek Jam.

Orang alim ini pernah berguru dengan Tok Janggut, di Kelantan. Dia jualah yang mengajarkan apa yang dikenali sebagai “ayat empat”: empat yang Quran bagi tujuan perang. Menimbulkan rasa yakin diri, kalau ayat itu dibacakan. Memang ada cerita yang menyatakan bahawa dengan amalan Ayat Empat, maka pengamalnya akan kebal! Wallahu-alam

Sejak di zaman kanak-kanak, apabila saya mendengar cerita orang tua-tua bagaimana keberanian ‘tentera’ Selempang Merah, saya terkagum. Kadang, tercetus di dalam hati saya, saya mahu menjadi pejuang dan penglima gagah berani berperang sepertimana datuk nenek moyang kami.

Setiap sejarah begitu akan, lazimnya, bercampur dengan tokok tambah asam garam pemanis cerita…

Misteri daripada Panglima Salleh mendapatkan Ayat Empat terjawab oleh seorang tua—namanya Cikgu Baharum. Dia orang Pas pertama di Semerah. Orang yang bekorban begitu banyak untuk menghidupkan Pas. Hari ini pun, setiap petang, dia selalu minum kopi di warong Hashim, di Pasar Pekan Semerah.

Semangatnya tak pernah luntur, walaupun umurnya lebih 70. Sewaktu dia bercerita dan ‘membongkarkan’ cerita tentang Chek Jam, saya tidak dapat membayangkan bagaimana dia siap berdiri-diri, melakonkan gaya Dato’ Onn ketika berucap di hadapan orang-orang Semerah agar tidak terus mara ke Pengaram.

Yang utama, persoalan lama yang membuntui fikiran saya terlerai—dari mana lelaki-lelaki berselempang merah itu mendapatkan ayat pemberani, iaitu Ayat Empat.

“Dari Chek Jam, dan dia dapat daripada Tok Janggut sewaktu berguru agama di Kelantan,” begitu jelasnya. Begitu munasabah, dan tidak mungkin daripada orang lain. Tetapi…

Tetapi Chek Jam mati. Dia dibunuh ketika sembahyang subuh di surau. Ada perbalahan di sana.

“Berita dia,” kata Chek Jam sepertimana diceritakan kembali Cikgu Baharum, “kalau dia nak kalahkan dan bunuh aku, cocok di tapak kaki aku!”

Cikgu Baharum bangun daripada kerusi. Saya masih duduk. Masih mahu mendengar. Katanya, waktu Perang banjar itu tercetus, umurnya baru 16 tahun. Dia sendiri dapat membunuh beberapa orang. Saya juga mendengar, ada anak-anak kecil yang turut dibunuh, karena anak-anak bayi Melayu juga dibunuh… di lambung di di tadah dengan pisau bronet di hujung senapang Komunis.

Kata Cikgu Baharum, “Islam sebenarnya tidak mengizinkan di dalam keadaan apapun, termasuk perang, untuk kita membunuh anak-anak kecil.” Dia sedikit tunduk kali ini. Wajahnya merenung jauh ke luar tingkap. Ada perasaan yang dalam yang dia simpan.

Cikgu Baharum juga mengenang-ngenang kawan-kawannya yang lain, barangkali yang telah melakukan salah dan dosa di dalam Perang Banjar.

“Kau tanyalah Cina-Cina tua di pekan, mereka memanggil perang itu sebagai ‘Perang Banjar’… bukannya ‘Perang Parang Panjang’ macam yang kita tahu sekarang!”

“Kenapa?” tanya saya.

“Sebab Chek Jam itu orang Banjar…” jelasnya lagi.

Maknanya bukan orang Jawa, dan bukan juga orang Melayu biasa yang mengajarkan ilmu perang—sepertimana yang sering dibangga-bangga oleh segelintir pemimpin Umno peringkat daerah. Perang berkenaan, nampaknya sudah menjadi tidak lebih daripada laksana dakyah dan propaganda Umno sekian lama, untuk mengukuhkan parti dan mengikat sokongan orang-orang Melayu.

Cikgu Baharum kembali duduk. Saya di dekatnya. Hampir maghrib.

Kelakuannya seperti riak yang terbayang di mata saya—seperti Dato’ Onn yang baru sahaja selesai bercakap di hadapan orang-orang Melayu. Orang Semerah…

[bersambung…]

Tags:

No comments:

Post a Comment