Monday, 17 August 2009

:: Bukan Dato' Onn - 2

Kepada Yang Bukan Dato’ Onn… Siri Politik Melayu (2)

Aug 17th, 2009 | By webmaster | Category: Hasmi Hashim, Team PerakExpress

OLEH Hasmi bin Hashim

Kalau lelaki-lelaki berselempang merah yang bersatu sepertinya sebuah rejimen tentara meneruskan serangan ke bandar Pengaram, dikhuatiri keluarga Dato’ Onn anak-beranak habis dibunuh—barangkali dibakar hidup-hidup di rumah mereka oleh segelintir Cina yang dipercayai Komunis, yang, mengepung sejak dini hari.

Sepuluh batu di belakang, di Pekan Semerah, sudah ‘banjir’ pekan sebatang itu dengan apa yang saya dengar sebagai “darah Cina.”

Cek Ijam ada di sana, kala Dato’ Onn merayu agar jangan diteruskan niat membunuh segala Cina di Bandar Pengaram.

Salleh pun muncul tiba-tiba, dari celah-celah, apabila berlangsung proses yang seperti sebuah negosiasi dan rundingan dengan Dato’ Onn. Ketika Salleh muncul, Cek Ijam mendengar seketika. Kemudian dia ‘mengundur’, melangkah agak ke belakang daripada tegaknya mula-mula yang tak jauh daripada di mana Dato’ Onn berdiri—sementara dialah yang dikatakan mengepalai secara rahsia ‘perang’ itu.

Sejak itu, Salleh mula diangkat sebagai jagoan Melayu Semerah; Melayu Batu Pahat.

Nama Salleh disebut sebagai “Panglima.”

Nama Cek Ijam tersorok. Tak pernah terdengar, sehinggalah umur saya 32 tahun… begitu lama bukan? ~ Tapi, tugas membawakan sesuatu yang benar, takkan pernah punya tarikh hujungnya.

“Tak boleh putus air sembahyang sepanjang bertempur,” kata Cikgu Baharum. Disensengkannya lengan baju, kiri-kanan.

“Kalau putus?”

“Kalau putus, terjun dalam parit dan niat ambil air sembahyang semula…” jelasnya lagi. Sepanjang jalan menuju bandar Batu Pahat dari Semerah, dilintangi parit-parit seperti anak sungai setiap sebatang. Ada juga yang agak besar seperti di kampung saya sendiri, Parit Kuda, yang tak sampai sebatu jauhnya dari paya bakau dan Selat Melaka. Begitulah di setiap kampung di daerah kami dipisah-pisahkan oleh parit-parit. Satu kampung: satu parit.

Tak boleh buat apa-apa yang salah dan berdosa. Misalnya? “Misalnya mencuri,” Cikgu meneruskan cerita.

Ada… ada seorang kawannya yang teringin sangat hendak makan durian. Ada buah yang mereka nampak tepi jalan yang bukan milik mereka.

“Diambilnya buah durian itu,” tambah Cikgu, “dikopek dan dijamah…’jangan-jangan kata aku’.”

“Apa jadi?”

Saya sebenarnya sudah mendengar akibat buruk yang dikatakan balasan ‘tunai’ Tuhan. Tak tunggu-tunggu. Di situ juga ditimpa bencana.

“Dia jamah seulas… bukan seulas sangat, tapi hanya secebis dan hanya di hujung bibirnya dirasa durian itu…”

“Apa jadi?”

“Manis bukan main, kata kawan aku…”

“Apa jadi?” saya mendesak.

“Apa jadi? Tummm!”

“Berdentum bunyi tembakan… peluru lintas kena bibir. Depan mata. Aku nampak. Bibirnya berdarah, luka,” cerita Cikgu Baharum lagi.

Kawannya luka pada bibir… bibir yang tadinya menjamah durian yang bukan miliknya, yang bukan lagi manisnya. Dia telah dianggap mencuri… mengambil yang bukan haknya.

Berdentum dada saya mendengar dan membayangkan bagaimana peluru itu melintasi tak jauh daripada di mana Cikgu Baharum berdiri.

Memang, ada yang mati—ada kes di mana lelaki Selempang Merah terbunuh ditusuk peluru Komunis.

“Dia curi basikal ketika kami menyerang di Pekan Parit Jawa beberapa hari sebelum itu… disorokkannya basikal itu dalam semak. Bila-bila, katanya, dia hendak datang dan ambil semula—tak siapa tahu. Tapi tak sempat. Mati ditembak tak lama selepas itu,” tegas Cikgu dengan biji matanya sedikit berair, merah.

“Hei orang-orang Semerah!” ~ suara Dato’ Onn, yang, seakan terus berkumandang.

Memang berderau sebab mengetahu tentang rahsia Ayat Ampat. Juga daripada mana asal-usulnya. Bukan seperti segala cerita yang terdengar sebelum ini, termasuk yang kadang-kala terdengar di dalam mensyuarat agung Umno cawangan—ada yang menyatakan punca ‘ilmu’ Panglima Salleh adalah daripada isterinya.

Isterinya itu perempuan Tanah Seberang—dari Sumatera kata sesetengah orang tua-tua. Tak boleh jijak tanah. Pantang! Kalau turun ke tanah, perlu berlapik kain merah… Kalau tidak, segala ilmu Salleh pun jadi tawar.

Saya lebih yakin, Ayat Ampat itu datangnya daripada Cek Ijam. Usulnya, Tok Janggut.

Saya lebih percaya ayat itu ayat pemberani untuk tujuan bertempur. Saya lebih percaya segala kebesaran Tuhan daripada segala yang misteri dan tak terjawab dek karena ‘politik-kekuasaan’ manusia yang mahu menggunakan kisah “Perang Banjar” (atau “Perang Parang Panjang”) itu sebagai modal dakyah menyelimuti parti yang penuh dengan busung kebaculan. Berabad-abad.

Saya kata pemimpin Umno bacul. Saya kata, mereka tak pernah berani berhadapan dengan orang yang berkuasa untuk menyetakan kebenaran. Anwar difitnah pada 1998. Mereka lari dari Anwar, walaupun di kalangan orang yang paling rapat dan ‘menjual’ nama Anwar sebelumnya. Mereka tak pernah berani bercakap benar di depan Dr Mahathir Mohammad, sehingga ke sudah… walaupun mereka tahu betapa segala kerosokan ini dilakukan oleh Dr Mahathir ketika itu. Mereka asyik, terus menjilat…

Alih-alih, ada yang coba menghimpun orang-orang Melayu di seluruh daerah Batu Pahat dan serata Johor petang Jumaat, 14 Ogos 2009 lalu. Mereka war-warkan yang akan turun 5 ribu orang. Yang datang, hanya sekitar 500 orang.

Mereka coba membakar dada orang Melayu konon dengan tuduhan ‘durhaka’ kepada Sultan Melayu dan ‘pengkhianat bangsa’. Mereka coba mengumpan kononnya perhimpunan itu juga bertujuan memperingati usaha Dato’ Onn menghimpun orang Melayu demi menuntut kemerdekaan.

Mereka lakukan semua ini tanpa pernah menjawab, siapa yang ‘menggadai’ Temasek ke luar Tanah Melayu… sehingga tak diketahui anak-anak hari ini, dari mana asalnya nama “Teluk Belanga”? Usman Awang, dalam puisinya “Melayu Johor”, yang serangkap begini bunyinya:

Melayu Johor
Telah terlalu banyak kita kehilangan
Sawah ladang bertukar tangan
Pekan dan bandar kita menumpang
Teluk Belanga entah ke mana
Yang tinggal hanyalah pakaian
Sedarah sedaging hampir hilang
Yang ada hanyalah setulang
Selat Teberau kian sempit
Hati rindu jauh tergamit.

Ya..! Siapa pula yang cuai dalam tugas sehingga Malaysia terlepas Pulau Batu Puteh? Lagi, misalnya siapa yang memungut wang ringgit orang Johor, termasuk di kalangan Melayu miskin untuk dimasukkan ke dalam sebuah saham amanah negeri (Amanah Saham Johor:ASJ), yang kemudiannya merudum rugi? Rugi sehingga begitu ramai rakyat yang muflis dan bankrup. Tergadai tanah dan harta benda. Tergadai rumah dan bertabrakan keluarga.

Saya tidak menafikan betapa Dato’ Onn adalah antara manusia yang tentunya mengerti akan makna sebuah kesatuan nusa bangsa—betapa gusarnya hati beliau apabila ahli keluarganya dikepung puak pengganas dan pelampau hari itu.

“Tolonglah! Jangan menyerang sehingga ke Bandar Pengaram… keluarga saya sudah dikepung!” laungnya.

Aduhai, sampai bilakah mampu mereka memesong dan menyembunyikan kenyataan ini? Justeru memang ada beda antara “mencintai bangsa sendiri,” dengan orang “menanamkan kebencian ke atas orang lain.”

Tulis Usman sebagai sirih penangguh cerita:

Anak Johor
Luka di Tanjung Putri
Parutnya di Parit Raja
Muka biar berseri
Mulut biar berbahasa
.

[bersambung…]

No comments:

Post a Comment