Monday, 7 September 2009

:: Wasiat ibu

Mariam meninggal

Oleh Azida Shaharuddin
azida@bharian.com.my


Mariam Johari

Anak kecewa ibu wasiat dikebumi cara Kristian

KOTA TINGGI: "Saya terkilan mak buat wasiat hendak dikebumikan secara Kristian kerana kami langsung tidak tahu menahu mengenai wasiat itu," kata Jelani Sonni selepas mendapat tahu ibunya, Mariam Johari, 88, rakyat Malaysia yang terkandas di Korea Selatan sejak 64 tahun lalu, meninggal dunia, malam kelmarin.

Jelani, 72, berkata beliau mendapat tahu berita kematian ibunya di sebuah rumah kebajikan di Seoul daripada anak saudaranya, Ahmad Onn, kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Katanya, beliau hanya tahu Mariam ada membuat wasiat sebelum menyambut Ramadan, tetapi tidak tahu kandungannya.


Mariam atau nama Koreanya, Kim Soon Ae meninggal dunia kira-kira jam 1.20 pagi waktu Korea Selatan (kira-kira jam 12.20 malam kelmarin waktu Malaysia) ketika tidur selepas kira-kira empat bulan tidak sihat.

Kisah Mariam mula mendapat perhatian apabila akhbar terbitan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) menyiarkan hasratnya untuk mencari tiga anaknya di Plentong, Johor, pada 23 Jun 2007.

Mariam yang dilahirkan di Plentong pada 16 Mac 1921, berkahwin dengan seorang jirannya ketika berusia 11 tahun pada 1932 dan melahirkan empat anak, namun anak keempatnya meninggal dunia beberapa bulan selepas dilahirkan.

GAMBAR Mariam ketika muda.

Ketika Perang dunia kedua, suami Mariam menyertai tentera manakala Mariam dikerah menjadi buruh membina landasan kapal terbang di Senai pada 1943.

Mariam kemudian berkenalan dengan tentera kerahan Jepun dari Korea, Cho Se Won, yang membawanya ke Korea Selatan dan terkandas di negara itu.

Namun, hasratnya bertemu semula tiga anaknya, Ramlah Sonni, 74, Jelani dan Jamnah, 67, akhirnya termakbul apabila Korea Broadcasting System (KBS) membawa Ramlah dan Jelani serta cucunya, Ahmad Onn, 43 dan menantu, Siti Zainab Noor, 37, ke studio KBS di Seoul pada 18 Julai 2007.

Pertemuan kali pertama selama enam hari tidak berakhir di situ apabila Mariam pula dibawa ke Malaysia pada 5 September tahun sama sebelum pulang semula ke Korea Selatan pada 13 September 2007.

Jelani berkata, itulah kali terakhir beliau serta kakak dan adiknya bertemu dengan ibu mereka.

"Sejak itu saya langsung tidak mendengar daripadanya... mahupun daripada keluarga anak tirinya, Ji Yong Un, 53, di Seoul.

"Hanya pada petang 30 Mei lalu, saya mendapat panggilan daripada Mariam menerusi pelajar Malaysia yang menuntut di sana, Yen Mun Wah, yang menyatakan mak ketika itu tenat dan mak turut menyebut ketiga-tiga nama kami.

"Selepas itu tidak lagi ada khabar berita," katanya ketika ditemui selepas berbuka puasa di rumahnya di Taman Kota Jaya di sini.

Jelani kelihatan sedih, namun cuba menyembunyikannya dan kerap kali menyentuh mengenai kenangan bersama ibunya ketika wanita itu pulang ke negara ini, dua tahun lalu, termasuk mendengar Mariam mengucap dua kalimah syahadah.

Ditanya sama ada beliau akan ke Korea membawa jenazah ibunya pulang ke negara ini, Jelani berkata beliau difahamkan kos membawa pulang jenazah itu membabitkan kira-kira RM30,000.

"Lagipun saya tidak sanggup melihat ibunya dikebumikan cara mereka... rela tidak rela, kami redha dan berserah kepadaNya," katanya.

Jelani mengakui beliau dan adik beradik sekeluarga memang mahu ibu mereka dibawa pulang.

"Malah ketika beliau masih sihat lagi. Namun apakan daya, tiada siapa dapat membantu kami membawanya pulang, kerajaan negeri pula sudah banyak membantu kami dan kami turut terhutang budi.

"Kalau pun ada pihak yang sudi membantu membawa jenazah pulang, kami juga khuatir mengundang pelbagai masalah di Pejabat Agama di sini," katanya.

No comments:

Post a Comment