Kenyataan Akhbar Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat
–8 JANUARI 2010–
Kami mengutuk tindakan pihak tertentu yang menyerang 3 gereja di sekitar Lembah Klang awal pagi tadi. Serangan tersebut adalah satu perbuatan yang dikecam semua agama dan peradaban.
Perbuatan seperti itu tiada tempat dalam mana-mana negara pun di atas dunia ini. Kami percaya ianya berpunca dari politik amarah yang sempit, ditambah dengan unsur provokasi jahat yang semakin menular dan runtuhnya rasa saling hormat menghormati dalam negara kita yang tercinta ini. Setiap rakyat dalam negara ini, tanpa mengira agama, kaum, keturunan dan etnik seharusnya dapat menikmati keamanan spiritual dan fizikal mereka. Seharusnya sebarang perbezaan pendapat dan pandangan tidak terus dilebarkan. Kami yakin sebarang perselisihan dapat diselesaikan dengan menumpukan usaha untuk membawa semua pihak ke meja rundingan.
Oleh yang demikian, seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat dengan tegas meminta supaya individu atau mana-mana kumpulan yang menyebarkan api kebencian dan kekerasan sebegini agar dihukum dengan setimpalnya.
YB DATO SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Ketua Umum PKR
YAB LIM GUAN ENG
Setiausaha Agung DAP
YB DATO’ SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Saya mengecam tindakan pihak tertentu yang menyerang beberapa gereja di sekitar lembah klang. Serangan keji sedemikian merupakan satu tindakan yang dikecam keras al Quran. Agama Islam jelas menggesa umatnya untuk menghormati rumah peribadatan penganut agama lain.
Sehingga kini saya difahamkan sebanyak tiga gereja dijadikan sasaran serangan. Manakala itu aras bawah Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati telah hangus terbakar akibat dari siri serangan tersebut. Saya menyatakan rasa syukur kerana serangan tersebut tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Saya menyeru semua pihak agar bertenang dan jangan sesekali terjerumus ke dalam api kebencian. Sebarang tindakan tidak boleh sama sekali didasari politik perkauman sempit. Saya mempunyai keyakinan kita rakyat Malaysia akan menyelesaikan isu ini tanpa diiringi sebarang konflik. Inshaallah usaha kita untuk mengekalkan keamanan diberkati jua.
ANWAR IBRAHIM Continue reading ‘Kecaman Terhadap Serangan Ke Atas Rumah Peribadatan’
Hari ini seperti yang diketahui, akan ada perhimpunan aman, di beberapa tempat di Kuala Lumpur, anjuran pelbagai pihak. Perhimpunan tersebut diadakan bertujuan membantah keputusan mahkamah tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang beragama Kristian.
Secara prinsip nya saya tidak menghalang sebarang usaha untuk berhimpun secara aman kerana ianya sebahagian dari hak asasi yang dijamin Perlembagaan Persekutuan. Malahan adalah sangat bertepatan dengan hasrat Pakatan Rakyat, demi membina sebuah masyarakat yang bertanggungjawab dan negara demokratik, hak untuk berhimpun serta menyatakan pendirian ini tidak dihalang.
Namun beberapa hari kebelakangan, kita lihat sikap bermuka-muka pimpinan kerajaan apabila isu penggunaan kalimah Allah ini mulai hangat diperdebatkan. Drama ini berteraskan watak yang mahu menampilkan diri sebagai jagoan umat Islam. Tidak salah mahu mempertahankan Islam. Setiap muslim mahu membela agamanya. Akan tetapi yang salah apabila isu ini digunakan untuk meraih laba politik. Yang salahnya apabila api perkauman lebih marak membakar diri ketimbang wacana matang memahami pokok persoalan.
Jika benar mahu membela orang Islam dan Melayu, banteras rasuah dengan iltizam yang jitu, basmi kemiskinan kerana umat Melayu-Islam adalah dari kalangan mereka yang masih mundur, pastikan pengagihan kekayaan yang adil kepada semua demi meninggikan syiar Islam dan perlihatkan keindahan keadilan Islam.
Mengapa perbincangan dan rundingan dibelakangkan dan membiarkan laungan retorika perkauman menghantui tindakan? Sebagai da’i, umat Islam mestilah merangka serta melakukan sesuatu berdasarkan hujah. Kita jangan tenggelam dalam kekaburan sentimen. Kekuatan hujah memberi keyakinan sekaligus memangkin kemantapan usaha dakwah yang berpanjangan.
ANWAR IBRAHIM
No comments:
Post a Comment