Tuesday 23 February 2010

:: Mukhtar Ramli merayu


Bekas Pengarah Urusan AIM bebas tuduhan pecah amanah

KUALA LUMPUR 23 Feb. – Kerugian yang ditanggung oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) 11 tahun lalu apabila bekas Pengarah Urusannya, Mukhtar Ramli bertindak membeli lima jenis saham berjumlah hampir RM3.9 juta bukanlah satu kerugian yang material.

Sebaliknya, kerugian yang dialami hanya dari segi Ahli Lembaga AIM tidak berpeluang untuk membincangkan sesuatu perkara yang begitu penting kepada agensi tersebut.

‘‘Kes ini juga tidak sepatutnya dibawa ke mahkamah tetapi perlu diputuskan di peringkat tribunal dalaman AIM sendiri.

‘‘Sekiranya berlaku sebarang salah laku oleh perayu (Mukhtar) tindakan yang sesuai dan sewajarnya boleh dijatuhkan terhadapnya oleh tribunal tersebut,’’ kata Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ghazali Cha.

Hakim tersebut menyatakan demikian sebelum melepas dan membebaskan Mukhtar daripada hukuman penjara lima tahun setelah disabitkan bersalah atas lima tuduhan pecah amanah.

Keputusan tersebut ternyata menyentuh perasaan isterinya, Zaimah Othman yang mula menangis teresak-esak sehingga terpaksa ditenangkan oleh salah seorang anaknya.

Mukhtar yang masih berada di kandang tertuduh dilihat tersenyum lega.

Hakim Ghazali membenarkan rayuan Mukhtar yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen pada 11 Januari 2007 yang mensabitkannya dengan lima pertuduhan pecah amanah membabitkan dana AIM.

Dana berjumlah RM3,874,000 itu digunakan untuk membeli saham Malaysia Airports Berhad, Saham Asnita, Saham Tabung Ittikal, Saham Dali Al-Ihsan dan Saham Ali Dali Mizan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di antara 5 November 1999 dan 29 Mac 2001 di pejabat AIM, Lot JKR 3179 & 3185, Jalan Ledang Off Jalan Duta di sini.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Dia didakwa buat pertama kali di mahkamah pada 16 Ogos 2002.

Hakim Ghazali dalam penghakiman lisannya turut menyatakan, pihak pendakwaan memikul beban pembuktian yang berat memandangkan Hakim Mahkamah Sesyen sebelum ini tidak mengikut peruntukan yang sepatutnya dalam menentukan prima facie.

Kegagalan untuk membawa Pengarah Kewangan dan Ketua Bahagian Pinjaman AIM bagi memberi keterangan juga memberi impak terhadap kes pihak pendakwaan.

‘‘Tuduhan pecah amanah oleh pihak pendakwaan tidak boleh bertahan kerana pendakwa raya gagal membuktikan Mukhtar telah bertindak dengan curang apabila membuat pembelian saham-saham tersebut yang telah berjaya menambah dana AIM sendiri.

‘‘Oleh yang demikian, berlaku satu salah arah terhadap undang-undang dan perlu diperbetulkan oleh mahkamah ini,’’ kata Hakim Ghazali.

Pada prosiding hari ini, Mukhtar yang menghidap penyakit kanser prostat diwakili dua peguam bela, Mohd. Yaakob Bakanali dan Azmer Md. Saad manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Sementara itu, Mukhtar yang kini menjalankan perniagaan sendiri dan membantu isterinya mengajar mengaji menyatakan, dia gembira dengan keputusan tersebut selepas lapan tahun berjuang untuk menegakkan keadilan.

Dia yang pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Arkib Negara turut menyatakan, kehidupannya agak sukar sejak diberhentikan daripada AIM dan terpaksa bergantung kepada pencen sebanyak RM1,411 sebulan.

Difahamkan pihak pendakwaan mungkin mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini





BEKAS Pengarah Urusan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Mukhtar Ramli (kiri) bersama peguamnya selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan rayuan serta melepaskan dan membebaskan beliau daripada pertuduhan pecah amanah membabitkan RM3.8 juta pada 2007. - Foto Rosdan Wahid

Feb 23, 2010 6:40 pm






No comments:

Post a Comment