Saturday, 20 March 2010

:: Kisah di SK Rancangan Sepupok

Penderitaan murid akhirnya dapat maklum balas

by Sudang Ajang

Kementerian akan laksanakan Projek Bekalan Air Bersih di SK Rancangan Sepupok dalam RMK-10

MIRI: Setelah 35 tahun berebut kolam dengan rumput, penderitaan murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Rancangan Sepupok akhirnya mendapat maklum balas daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).Kementerian itu dalam kenyataan ringkas yang diemelkan kepada Utusan Borneo kelmarin memberitahu, setakat ini sekolah tersebut telah disenarai pendek dan dimasukkan ke dalam Projek Bekalan Air Bersih Sekolah-Sekolah Luar Bandar.

Pegawai dari Unit Komunikasi Korporat KPM, Emerly Clarice Joannes berkata, satu kajian telah pun dijalankan ke atas sekolah tersebut bagi mengenal pasti tindakan dan perkhidmatan yang akan diberikan.

“Jika tiada sebarang masalah dan halangan, projek bekalan air bersih ke SK Rancangan Sepupok ini dijangka akan dilaksanakan pada 2011,” katanya.

Pada 21 Februari lalu, akhbar ini mendedahkan penderitaan murid-murid sekolah yang terpaksa ‘bersaing’ dengan rumput alga yang tumbuh di kolam kotor untuk mandi dan memberus gigi.

Rumput alga yang tumbuh di dalam kolam itu sukar untuk dihapuskan dan ada antara murid mengalami gatal-gatal kulit kerana rumput dan air kolam yang kotor.

Selain ditumbuhi rumput alga, air kolam yang berwarna kehijauan dan berbau hanyir itu juga turut menyebabkan murid-murid mengalami gatalgatal kulit kerana menggunakan air yang tercemar dan kotor.

Walaupun terletak kira-kira 3.5 kilometer dari pekan Batu Niah, namun apa yang menyedihkan sekolah itu tidak pernah menerima bekalan air paip sejak ia dibina 35 tahun lalu.

Kolam yang lebih besar di sekolah itu terpaksa ditutup kerana pencemaran kumbahan najis manusia, menyebabkan semua murid di situ terpaksa menggunakan sebuah lagi kolam berhampiran yang lebih kecil.

Namun kolam tersebut terpaksa dihadkan penggunaannya kerana ibu bapa mendakwa pernah melihat beberapa ekor buaya di dalam kolam, menyebabkan murid sekolah terpaksa mandi di tebing kolam yang airnya keruh dan hitam.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Napi Madang, 48, ketika dihubungi berkata, beliau berharap ia bukan sekadar janji manis menjelang pilihan raya akan datang.

“Kita berharap projek penyambungan bekalan air bersih itu ditunaikan seperti apa yang dijanjikan. Kita harap ini akan menjadi kenyataan memandangkan hampir empat dekad kita sudah menunggu,” katanya.

Menurutnya, projek berkenaan telah dicadangkan untuk pelaksanaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK- 9) yang dianggarkan bernilai RM5 juta.

“Kita menyeru selepas ini, projek itu tidak ditangguhkan terlalu lama kerana murid-murid di situ sudah lama menderita,” katanya.

Katanya, walaupun negara sudah lama merdeka, namun murid-murid dan guru-guru di sekolah itu masih belum lagi merasai buah kemerdekaan itu.

No comments:

Post a Comment