Wednesday, 20 October 2010

:: Sg.Rajang...paras air semakin menurun ?




Paras air Sungai Rajang semakin menurun

KAPIT 19 Okt. - Penduduk di sini melahirkan kebimbangan terhadap penurunan paras air di Sungai Rajang kebelakangan ini yang mampu menjejaskan kehidupan harian mereka.

Malah, keadaan itu juga menyebabkan perkhidmatan bot ekspres dari Kapit ke Belaga dihentikan seketika bermula Jumaat lepas kerana paras air yang rendah hingga sukar dilalui.

Difahamkan sejak Empangan Bakun mula menakung air pada 13 Oktober lepas, paras air sungai di sini menurun dengan mendadak dan bertambah teruk dengan cuaca panas yang berterusan.

Pengerusi Persatuan Cina Bersatu (UCA) Kapit, Yong Hua Sying menyarankan supaya kerajaan menyiapkan segera jalan Kanowit-Song-Kapit yang bakal menghubungkan Kapit dengan bandar Sibu.

Ia bertujuan supaya penduduk di Kapit tidak terlalu bergantung kepada pengangkutan sungai dan juga satu alternatif kepada penduduk yang ingin ke bandar.

"Sekiranya paras air sungai semakin menurun, Kapit akan terputus hubungan dengan pekan dan bandar seperti Sibu," katanya di sini, semalam.

Beliau menjelaskan, keadaan paras air yang semakin menurun akan membawa kesusahan kepada penduduk untuk mendapatkan bekalan harian dari bandar Sibu.

"Saya berharap pihak kerajaan mengambil kira keperluan masyarakat di Kapit sebelum keadaan menjadi lebih buruk lagi," katanya.