'Saya ingat gempa bumi'
Oleh Mohamad Hussin
ALOR SETAR: “Saya ingat gempa bumi kerana gegaran begitu kuat sebelum tiba-tiba lantai simen kelas kami runtuh menyebabkan saya terjatuh,” kata Filza Nadirah Idris, 10, seorang daripada 10 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Gunung di sini, yang cedera selepas lantai simen bilik darjah mereka runtuh secara tiba-tiba, semalam.
Turut cedera dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu ialah seorang guru wanita yang ketika itu sedang mengajar dalam kelas Empat Amanah yang keseluruhannya mempunyai 34 murid.
Sepuluh murid yang cedera membabitkan lima murid lelaki dan lima perempuan. Dua daripada murid perempuan itu patah kaki akibat dihempap batu simen dan almari manakala guru serta lapan murid lagi dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebelum dibenarkan pulang.
Difahamkan, ketika kejadian, semua murid terbabit sedang mengikuti subjek Pendidikan Islam dengan duduk bersila atas lantai kelas.
Tiba-tiba, lantai simen itu runtuh menyebabkan 10 murid terbabit terjatuh ke dalam runtuhan yang membentuk satu lubang besar sedalam hampir satu meter.
Filza Nadirah berkata, dia dan rakan sekelas menjerit ketakutan selain menahan kesakitan.
CEDERA...Filza Nadirah terpaksa berkerusi roda ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, semalam.
“Saya jatuh tertiarap di bawah runtuhan simen dan kayu menyebabkan luka di lutut. Saya menjerit dan menangis sekuat hati ketika menunggu bantuan guru mengangkat kami,” katanya yang ditemui di Unit Kecemasan HSB di sini, semalam.
Muhammad Alif Hakim Abu Bakar yang terseliuh tangan kiri berkata, dia masih trauma dan terkejut dengan kejadian itu.
“Saya bersama rakan sekelas jatuh apabila lantai simen runtuh,” katanya.
Seorang ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu yang enggan nama disiarkan berkata, bangunan itu asalnya sebuah dewan lama yang dijadikan kelas sejak lapan tahun lalu.
“Dewan ini dijadikan kelas kerana sekolah ini tidak cukup kelas untuk menampung pertambahan murid. Sejak tiga tahun lalu, kerja membaik pulih dewan ini dijalankan termasuk menyimen lantai kayu berkenaan.
“Bangunan setingkat itu dibina pada 1950-an dan mulanya menggunakan lantai papan pada ketinggian kira-kira satu meter dari tanah, tetapi sejak beberapa tahun lalu lantai simen dibina di atas papan berkenaan.
“Saya yakin lantai kayu asal dewan itu reput dan perkara itu tidak disedari kontraktor dilantik dan mereka hanya membuat lapisan simen di atas lantai sedia ada tanpa mengkaji kekuatan struktur lantai lama berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Md Noor Daud berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.25 pagi sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar dan Jalan Raja bersama 17 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, sejurus tiba di lokasi, semua murid yang cedera sudah dibawa keluar daripada runtuhan dan dihantar ke HSB untuk rawatan.