Monday, 21 June 2010

:: Dr.George Chan: Pilihanraya Sarawak.. semua kawasan sukar ditawan

Pilihan raya negeri yang sukar

by Sandy Mark Luna

Setiap pemimpin dalam parti politik perlu rapat dengan rakyat kerana pilihan raya akan datang sesuatu yang sukar dijangka, kata Dr Chan

Dr Chan

Dr Chan

KUCHING: Semua kawasan dilihat sukar untuk ditawan dalam pilihan raya negeri akan datang, demikian akui Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.

Justeru, katanya parti itu akan bekerja lebih keras dan memastikan setiap ahli perlu bersikap lebih liberal dan terbuka pada setiap masa termasuk kerap turun padang.

Katanya, elemen tersebut seharusnya menjadi keutamaan setiap parti politik dan SUPP tidak terkecuali.

Berkomunikasilah dengan rakyat, dan jangan sekadar bergantung kepada orang di sekeliling anda menunjukkan tempat yang mereka mahu anda lawati.

“Kalau mereka tidak menunjukkan semua tempat, tidak bermaksud ia berada dalam keadaan baik kerana kadang-kala ia adalah sebaliknya dan itu penting,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan sempena acara larian anjuran SUPP di Ibu Pejabat SUPP, di sini, semalam.

Dr Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, pilihan raya merupakan sesuatu yang sukar dijangka.

Justeru, katanya setiap pemimpin dalam parti politik perlu rapat dengan rakyat untuk mendengar suara dan kehendak rakyat.

Menurutnya, setiap pemimpin juga tidak boleh bergantung dengan laporan daripada akar umbi semata-mata kerana kesahihannya tidak dapat dipastikan.

Segelintir daripada pemimpin parti, katanya yang telah berada dalam dunia politik untuk sekian lama merasakan mereka tahu segalanya.

“Tetapi, anda tidak (mengetahui segalanya) kerana perubahan masa, cara berfikir dan cara melakukan sesuatu perkara sudah berubah,” katanya.

“Oleh itu, jangan mengambil sesuatu perkara sambil lewa hanya kerana anda fikir anda tahu segalanya,” katanya.

Ketika diminta mengulas adakah SUPP mampu mempertahankan kerusi Pelawan yang disifatkan kritikal pada pilihan raya yang lalu, beliau berkata masih terlalu awal untuk membuat andaian.

“Saya rasa kita perlu mengukuhkan komunikasi dengan rakyat dan berusaha sedaya upaya untuk memberi yang terbaik,” katanya.

No comments:

Post a Comment