Saturday, 19 June 2010

:: Pehin Sri Taib Mahmud... terpaksa meminta kepada rakyat

Guna kuasa undi dengan bijak

by Rosemaria Buma

Generasi untung jika undi diguna untuk jamin kesejahteraan rakyat, negeri: KM

BEKENU: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menegaskan bahawa rakyat Sarawak harus bijak dan berhati-hati menggunakan kuasa undi yang ada di tangan mereka untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan juga negeri ini.

RASMI: Taib meletakkan papan tanda K-Masjid sebagai perasmian projek K-Masjid di Masjid Al Mutaqqin, Bekenu semalam.

RASMI: Taib meletakkan papan tanda K-Masjid sebagai perasmian projek K-Masjid di Masjid Al Mutaqqin, Bekenu semalam.

Katanya, undi bukan soal pakai duit dan sebagainya tetapi undi adalah suatu frasa untuk menentukan nasib seluruh generasi rakyat di negeri ini terjamin.

“Justeru saya terpaksa meminta kepada rakyat di seluruh negeri ini agar bijak menggunakan satu-satunya kuasa yang ada di tangan mereka.

“Bila kita pandai guna undi, seluruh generasi akan untung tetapi kalau salah guna undi, seluruh generasi susah, rakyat jatuh dan negeri rosak,” katanya sambil menambah undi rakyat adalah hak rakyat yang paling berharga.

Taib berkata demikian ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di gelanggang bola keranjang Bekenu di sini semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Fadillah Yusof, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (HalEhwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman, Menteri Muda Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Dr Stephen Rundi Utom, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Rosey Yunus, ADUN Lambir Datuk Aidan Wing dan Tan Sri Yaw Tek Seng.

Dalam pada itu katanya, rakyat di negeri ini terutama yang tinggal di kawasan luar bandar mendambakan kesenangan dan keselesaan hidup, amat bergantung kepada kerjasama baik dengan kerajaan.

“Kita tidak banyak kekayaan… lainlah orang kaya boleh memperjuangkan nasib sendiri dengan kekuasaan mereka… tapi kita yang miskin terpaksa menggunakan kekuasaan bersama menerusi program kerajaan untuk mencapai semua kesenangan,” katanya.

“Kalau kerajaan baik, nasib kita pun baik, selamat nasib kita, tetapi kalau kerajaan tidak baik, kita hanya mampu berharap (pembangunan),” ujarnya.

Dalam konteks ini katanya, rakyat harus pandai menilai yang mana bagus sama ada mereka yang menabur janjikah atau mereka yang bagus bekerja.

Oleh itu menurut beliau, rakyat harus faham hanya pemimpin Barisan Nasional (BN) sahaja yang dapat menceritakannya (membangunkan) dan pembangkang hanya tahu membantah dan menyumpah.

“(Terutama) apabila menjelang pilihan raya, semua (pembangkang) nak jadi hero. Dalam wayang bolehlah banyak hero tapi dalam hidup kita, tidak perlu banyak hero kerana banyak masalah yang harus kita selesaikan,” ujarnya dalam nada berseloroh.

Menyentuh tentang pembangunan Bekenu, beliau berkata daerah kecil Bekenu akan dapat membangun dengan pesat sekiranya ia bijak memanfaatkan peluang yang tersedia ekoran pembangunan pesat di bandar raya Miri.

“Bagi Bekenu, kita memerlukan kerjasama rakyat untuk menyusun semula pembangunan bandar ini. Kalau tidak dapat dibuat di tempat lama, kita akan buat di tempat baru dan orang Bekenu sendiri harus menyokong,” katanya.

Dalam pada itu, menyentuh tentang pelan pembangunan tebingan Bekenu yang ditunjukkan kepadanya sebelum majlis bermula, Taib mencadangkan agar sebuah jambatan dibina terlebih dahulu untuk memacu pembangunan di sini.

“Seelok-eloknya, kita buat jambatan dulu untuk kemudahan rakyat yang tinggal di seberang sana untuk bekerja dan sebagainya serta membolehkan kawasan di seberang sana dapat dimajukan setara dengan yang ada di pekan Bekenu ini,”katanya.

Sementara itu pada sebelah tengah harinya, Taib turut merasmikan projek K-Masjid di Masjid Al Mutaqqin, Bekenu.

Menurut Fadillah, dengan pelancaran projek ini, Bekenu turut mencipta sejarah tersendiri sebagai daerah pertama di negeri ini yang mempunyai kemudahan ICT.

“K-Masjid bukan hanya boleh digunakan untuk belajar komputer dan berdakwah secara online oleh mereka yang beragama Islam dan juga saudara baru tetapi turut membantu mereka mengakses apa jua dasar pembangunan yang dilaksanakan kerajaan,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment