Saturday 20 November 2010

:: Mohon tempat di "Asian University for Women"



Rosmah Mohon Tempat Di Asian University Untuk Pelajar Wanita

KUALA SELANGOR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata beliau akan memohon tempat di Asian University for Women, di Bangladesh untuk pelajar wanita negara ini yang kurang berkemampuan.

"InsyaAllah kalau ada peluang, saya akan cuba tempatkan empat ataupun lima wanita dari negara ini yang tidak berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran ke Asian University for Women. "Ini adalah mustahak bagi pelajar wanita negara ini bertukar-tukar fikiran serta mengenali amalan budaya kaum-kaum di negara lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Istiadat Konvokesyen Kelima Unisel di Kampus Bestari Jaya di sini, Sabtu.

Asian University for Women ditubuhkan di Bangladesh tiga tahun lepas dan menampung pelajar dari negara-negara seperti Vietnam, Afghanistan, Bhutan dan Palestin.

Rosmah, yang juga Penaung Program Permata Negara, telah menerima jemputan untuk berucap pada Persidangan Antarabangsa mengenai Pendidikan Wanita di universiti itu Januari depan.

Jemputan itu disampaikan Cherie Blair, isteri bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair ketika membuat kunjungan hormat ke atas Rosmah di Sri Perdana, Putrajaya baru-baru ini.

Rosmah juga berkata beliau menerima jemputan untuk menyampaikan ucaptama mengenai 'Teaching Competency in Management and Education' di Riyadh pada Januari depan.

"Saya juga akan pergi ke Chen Zen Dis ini untuk berucap mengenai peranan kaum wanita dalam pembangunan negara dan ekonomi," katanya. - BERNAMA


..................................................


Sekadar renungan:

1. Walaupun cakap beralas..beliau semacam memintas peranan YB Menteri Pelajaran dan YB Menteri Pengajian Tinggi.


Friday 19 November 2010

:: Berhajatkan harta milik Presiden Sukarno ?



Bayar ribu dapat juta

Posted on the November 19th, 2010 under Berita, Jenayah, Luar Negara by johnjimat


SEREMBAN: Terpengaruh untuk mendapatkan harta yang dikatakan milik bekas Presiden Sukarno, enam rakan sepejabat kerugian RM16,000 yang mereka laburkan kononnya untuk mencairkan harta bekas pemimpin nombor satu Indonesia itu.

Seorang daripada mangsa yang mahu dikenali sebagai Shamsul, 30-an, berkata, segalanya bermula apabila dia bersama rakan diperkenalkan mengenai pelaburan pencairan harta Sukarno itu oleh seorang lelaki berusia 40-an di sebuah restoran di sekitar Bandar Baru Nilai, di sini, pada 13 Oktober lalu.

Menurutnya, lelaki itu memberitahu pewaris harta yang kononnya berjumlah AS$3.2 bilion (RM10 billion) itu adalah anak Sukarno yang dibawa ke negara ini ketika masih kecil dan dia kini dalam proses mendapatkan semula harta berkenaan yang didakwa berada dalam kawalan Bank Negara Malaysia (BNM).

Bagaimanapun, kami diberitahu harta itu perlu dicairkan terlebih dulu dan memerlukan bantuan daripada pelabur atau digelar jemaah untuk menyalurkan kos pelepasan mencecah puluhan ribu ringgit.

Kos itu dianggap sebagai pelaburan untuk memastikan kelancaran proses pencairan harta berkenaan antaranya membabitkan urusan polis, kastam, imigresen dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Selepas harta itu dicairkan, setiap pelabur akan menerima pulangan balik pelaburan sebanyak lima kali ganda termasuk bonus yang didakwa mencecah jutaan ringgit dalam tempoh hanya seminggu, katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, pada masa yang sama pelabur juga diminta tidak mendedahkan hal berkenaan kepada sesiapa kerana semua urusan adalah sulit.

Shamsul berkata, untuk meyakinkannya dan rakan lelaki itu turut menunjukkan dokumen didakwa surat asal Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) yang menyatakan terdapat perjanjian antara Kerajaan Malaysia dan White House (kediaman rasmi Presiden Amerika Syarikat) serta FBI (Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat).


Selain itu, lelaki berkenaan turut menunjukkan slip pemindahan wang sebanyak RM250 juta dari sebuah bank di London ke akaun bank tempatan yang dikatakan milik pewaris harta terbabit bertarikh 12 Oktober 2010, katanya.

Shamsul yang terpengaruh dengan kata-kata lelaki itu kemudian bersetuju membayar kos pelepasan dengan memasukkan wang berjumlah RM2,500 ke dalam akaun bank seorang lelaki dipercayai orang kanan sindiket terbabit.

Namun, janji yang diberikan berkaitan pulangan balik pelaburan termasuk bonus dalam tempoh seminggu ternyata palsu semata-mata dan gagal diperoleh sehingga ke hari ini, katanya yang membuat laporan polis.

Menurutnya, selain dirinya, lima lagi rakan sepejabatnya turut membuat pelaburan dengan jumlah berbeza-beza antara RM2,000 dan RM3,000 yang menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira RM16,000.

Saya percaya selain kami berenam, ramai lagi individu termasuk di negeri lain turut terpedaya dengan helah licik sindiket ini. Saya membuat pendedahan ini supaya orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak turut menjadi mangsa, katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa dan berkata seorang lelaki berusia 30-an dipercayai orang kanan sindiket berkenaan ditahan pihaknya di sekitar Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor, minggu lalu.

Kami merampas sebuah komputer riba dipercayai milik ketua sindiket berkenaan dan beberapa slip atau resit bank.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis sedang memburu dalang sindiket yang berasal dari Muar, Johor, katanya.

Menurutnya, siasatan awal pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket berkenaan bergiat aktif sejak beberapa bulan lalu dan turut memburu mangsa di beberapa negeri lain.

Sehubungan itu, kami meminta mangsa yang turut terpedaya supaya tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya, katanya.

Sumber : Harian Metro


:: Penggodam Malaysia ditahan di Amerika


Penggodam M'sia ditahan 'curi' 400,000 kad kredit
Nov 19, 10 10:42am

Seorang penjenayah siber Malaysia dikatakan berjaya menggodam rangkaian komputer Rizab Persekutuan Amerika Syarikat dan mencuri hampir setengah juta nombor pemegang kad kredit dan debit, kata pejabat Peguam Negara di New York.

cyberterrorism
Lin Mun Poo, seorang warga negara Malaysia ditahan 21 Oktober lalu selepas memasuki Amerika Syarikat dihadapkan di mahkamah juri, semalam. Beliau dituduh atas kesalahan menggodam Bank Pusat Amerika di cawangan Cleveland, Ohio dalam beberapa serangan menggodam untuk mencuri lebih 400,000 nombor kad kredit.

Beliau juga didakwa kerana memecah beberapa sistem pertahanan komputer di negara itu.

Poo yang kini dalam tahanan untuk perbicaraan dikatakan amat cemerlang dalam kerjayanya di beberapa institusi kewangan, mengambil kontrak untuk mengukuhkan sistem pertahanan komputer, termasuk menjual dan memperdagangkan maklumat," kata pejabat Peguam Negara Amerika.

internet media and print media
Pasukan perkhidmatan perisikan Amerika memberkas Poo yang berusia 32 tahun itu beberapa jam selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy di New York.

“Ejen perisikan merampas komputer bimbit Poo yang mengandungi ribuan data akaun kewangan dan maklumat peribadi yang dipercayai diperolehnya menerusi kegiatan penggodaman," katanya.

Ketua perkhidmatan perisikan Amerika, Brian Parr, berkata antara kegiatan Poo yang dikesan ialah memecah masuk sistem pertahanan kontraktor Pentagon yang 'mengandungi maklumat logistik ketenteraan yang amat sensitif'.

- AFP



Wednesday 17 November 2010

:: Kaum Sikh...patuhi 5K



Perlu patuhi 5K
Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my
2010/11/14


Foto


Lelaki Punjabi harus akur elemen penting keagamaan termasuk tidak potong rambut, bergelang besi dan seluar pendek seperti cawat

PASTINYA etnik ini marah apabila ada individu memanggil mereka sebagai Benggali. Namun, tidak ramai yang tahu sejarah hidup mereka. Sebagai kelompok minoriti berjumlah kira-kira 126,000 orang di seluruh negara, sebenarnya banyak sejarah penting mengenai mereka boleh diketengahkan untuk pengetahuan umum.

Sekali pandang, mereka tidak jauh bezanya dengan orang India lainnya. Sejarah kemasukan mereka ke negara ini lebih menjurus kepada soal keselamatan, bertindak mengawal ketenteraman negara dengan tugas utama lebih bertumpu di balai polis.
"Sikh sama sekali tidak sama dengan Hindu. Punjabi pula tidak ada hubungan langsung dengan Benggali. Benggali adalah satu kaum dari Banggala di India. Masyarakat perlu faham siapa kami dan apa agama kami"

Santokh Singh
Presiden Khalsa Diwan
Selepas mendekati budaya dan cara hidup masyarakat Sikh di sekitar Ipoh, nyata sekali banyak kekeliruan dan salah faham yang berjaya dirungkai, sekali gus memperlihatkan keunikan kaum Sikh sebagai masyarakat yang sarat dengan budaya serta sejarah tersendiri.

Perkataan Sikh asalnya bahasa Punjabi yang diambil daripada bahasa Sanskrit iaitu Sishya bermaksud pengikut atau penganut.

Di negara kita, majoriti penganut Sikh berketurunan Punjabi, satu masyarakat dari daerah Punjab di utara India yang kini sudah berpecah kepada dua bahagian iaitu di Pakistan dan India.

Namun apa kaitan mereka dengan Benggali? Penghijrahan mereka ke Tanah Melayu ketika itu dengan menaiki kapal dari sebuah pelabuhan di Bangla, India sekali gus semua yang datang dari lokasi itu digelar Benggali.

Hakikatnya, mudah sebenarnya untuk mengenali masyarakat Sikh di negara ini atau di mana negara sekalipun. Wajah orang dari India tetapi mempunyai kulit cerah sedikit berbanding mereka dari selatan India. Paling mudah untuk mengecam mereka ialah melalui identiti pakaian iaitu serban untuk lelaki dan pakaian Punjabi selain selendang di bahu atau sesekali di kepala wanita mereka.

Meskipun kini semakin ramai lelaki Sikh tidak memakai serban tetapi boleh dikatakan majoriti mereka mengenakan tutup kepala itu yang sebenarnya bukan sekadar budaya, sebaliknya salah satu kepercayaan agama yang tidak boleh dilanggar sesiapa saja.

Dalam konteks keagamaan, masyarakat Punjabi yang menganut Sikh ini sebenarnya mempunyai pegangan sangat kuat dan perlu dipatuhi terutama membabitkan lima K iaitu Kes (rambut tidak dipotong), Kirpan (pisau seperti sabit), Kara (gelang besi), Kanga (sikat) dan Kachhera (seluar pendek seperti cawat).

Semua lima perkara itu menjadi kemestian yang perlu dipatuhi dan sentiasa ada di badan masyarakat Sikh. Tidak seorang pun orang Sikh dibenarkan menggunting walau sehelai bulu di badan mahupun di kepala. Jika satu daripada lima perkara itu tidak dipatuhi, penganut Sikh itu boleh dikatakan ‘murtad’ atau terkeluar daripada agamanya.

Meskipun kemasukan orang Punjabi ke Malaysia bermula di Pulau Pinang, kebanyakan perkampungan dan penempatan semula masyarakat itu di sekitar Perak bermula dari Taiping dan kemudian berpusat di Ipoh. Kemunculan banyak balai polis yang mempunyai gurdwara (tempat ibadat) menunjukkan kemunculan mereka turut berkait rapat dengan kerjaya sebagai anggota polis.

Bagi kebanyakan lelaki Sikh, mereka menggunakan hujung nama Singh manakala wanita pula menggunakan Kaur. Ia sebenarnya berkait rapat dengan amalan keagamaan mereka dan tidak semua orang Sikh sebenarnya layak memakai gelaran itu kecuali melalui satu rutin khas yang akan dijelaskan nanti.

“Sikh sama sekali tidak sama dengan Hindu. Punjabi pula tidak ada hubungan langsung dengan Benggali. Benggali adalah satu kaum dari Bengala di India. Masyarakat perlu faham siapa kami dan apa agama kami. Bagi Sikh, Tuhan itu satu,” kata Presiden Khalsa Diwan, Santokh Singh Randhawa.
(Bersambung esok)

Fakta

  • KEBANYAKAN orang Sikh berhijrah ke Tanah Melayu berasal dari lima wilayah di Punjab iaitu Mahja, Malwa, Main Doabia, Doabia dan Potholar Sikh.

  • Sikh berpegang kepada lima elemen utama dalam kehidupan beragama iaitu disiplin Sikh yang bermaksud pelajar, Guru (pengajar), Gurdawara (tempat beribadat yang juga dianggap sebagai pintu kepada guru), Waheguru (nama Tuhan) dan Guru Granth Sahib Ji (kitab suci kaum Sikh yang mengandungi kompilasi tulisan daripada sembilan guru terdahulu).

  • Ipoh menjadi titik tolak perkembangan Sikh di Malaysia terutama dengan penubuhan sebuah pertubuhan kaum Sikh tertua, malah dikhabarkan paling awal di Asia iaitu Khalsa Diwan.
  • :: SPR: 4.2 juta belum mendaftar





    4.2 juta rakyat enggan daftar dengan SPR


    2010/11/17

    PUTRAJAYA: Masih terdapat 4.2 juta rakyat negara ini yang layak mengundi tetapi enggan berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan mereka mengambil bahagian dalam pengundian.

    Hingga berakhir suku ketiga tahun ini, hanya kira-kira 100,000 atau 2.3 peratus daripada 4.3 juta rakyat yang mendaftar sebagai pengundi menerusi pelbagai saluran termasuk parti politik.

    Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata angka itu masih lagi rendah dan meminta kerjasama semua pihak supaya menggandakan usaha membantu mendaftarkan pengundi baru berkenaan.
    "Dalam laporan suku ketiga tahun ini, 4.2 juta rakyat Malaysia berusia 21 tahun dan ke atas yang belum berdaftar berbanding 4.3 juta sebelum itu.

    "Walaupun ada yang mendaftar, jumlah itu terlalu sedikit dan tidak seperti yang kita harapkan supaya lebih ramai golongan ini mendaftar untuk menentukan masa depan negara," katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.

    Sebelum ini, SPR menganggarkan hampir lima juta rakyat Malaysia yang mencapai usia 21 tahun dan ke atas dijangka tidak dapat mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berikutan keengganan mereka mendaftar sebagai pemilih.

    Dianggarkan kira-kira 15.6 juta rakyat Malaysia berusia 21 tahun ke atas layak mengundi, tetapi sehingga 30 Mei lalu hanya 11.24 juta yang mendaftar sebagai pemilih, manakala baki kira-kira 4.3 juta lagi belum berbuat demikian. Daripada 4.3 juta itu, seramai 1.9 juta atau 43 peratus adalah orang Melayu.

    Wan Ahmad berkata, tidak peka dan mengambil sikap sambil lewa adalah antara faktor mereka tidak mendaftar sebagai pengundi.

    Beliau berkata, mereka juga dilihat kurang rasa tanggungjawab menunaikan hak sebagai warga negara dan tidak peka situasi politik tanah air.

    Katanya lagi, ada juga golongan yang suka menunggu saat akhir menjelang pilihan raya sebelum mendaftar.


    ..............................


    Persoalan remeh:

    1. Bagaimana jika pendaftaran secara automatik dilaksanakan oleh pihak SPR sendiri ?

    2. Bagaimana jika tempat mengundi adalah berdasarkan kepada kawasan yang dilitupi oleh alamat terkini berpandukan alamat yang tercatat pada kad pengenalan ?

    3. Bagaimana jika masa yang mencukupi diberi kepada para pengundi untuk menyemak butiran diri dan tempat mengundi berdasarkan daftar pemilih yang dikeluarkan oleh pihak SPR tersebut ?



    Saturday 13 November 2010

    :: Antik...RM258 juta sahaja





    LONDON - Sebuah pasu antik China dari kurun ke-18 memecahkan rekod dunia apabila dijual pada harga 51 juta pound (RM258 juta) dalam satu lelongan di Britain, kelmarin.

    Pasu antik tersebut ditemui oleh sepasang adik beradik semasa mereka sedang mengemas loteng di rumah mendiang ibubapa mereka di Pinnar, London Barat.

    Kedua-dua mereka terpaksa dibawa keluar dari bilik lelongan kerana terlalu terkejut apabila mengetahui nilai sebenar pasu antik itu.

    Pasu yang dijual kepada seorang pembeli Cina itu dipercayai berasal dari zaman Qianlong yang merupakan zaman kegemilangan seni reka di China, di mana pemerintah pada zaman tersebut amat meminati seni.




    Thursday 11 November 2010

    :: Bela katak gergasi ?




    Budak lima tahun bela katak gergasi

    2010/11/11



    MOHD Muqri seronok bermain bersama katak gergasi yang dijumpai bapanya di belakang rumah di Kampung Chicha Tinggi, Pasir Mas, semalam.

    MOHD Muqri seronok bermain bersama katak gergasi yang dijumpai bapanya di belakang rumah di Kampung Chicha Tinggi, Pasir Mas, semalam



    PASIR MAS: Seorang budak berusia lima tahun tanpa menghiraukan perasaan geli atau takut, membela seekor katak gergasi seberat kira-kira 1.3 kilogram yang ditemui ayahnya ketika membersihkan gerai keluarga dekat Chicha Tinggi, di sini.

    Mohd Muqri Ramli, 5, berkata dia sangat menyayangi katak bersaiz badan 0.3 meter yang jarang ditemui dan kini diberi nama timangan `chica'.

    "Saya sayang dan tidak takut digigit walaupun ia besar dan pelik. Katak ini juga tidak melompat seperti katak lain, walaupun saya bermain dengannya setiap hari," katanya ketika ditemui di rumahnya di kampung itu, semalam.
    Mohd Muqri berkata, dia cuba memberi katak terbabit nasi dan roti tetapi katak berkenaan tidak menyentuh makanan berkenaan.

    Bapanya, Ramli Jaafar, 53, berkata katak gergasi itu ditemui dalam keadaan tidak bergerak kira-kira jam 3 pagi berhampiran gerainya sebelum diambilnya untuk dibela kerana kelihatan pelik.

    "Pada hari pertama ditemui, katak itu memiliki berat 1.3 kilogram dan ia adalah katak terbesar pernah ditemuinya walaupun kulitnya menyerupai katak biasa seperti yang selalu kita jumpa di tepi longkang, sungai atau paya," katanya.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Pazil Abdul Patah, berkata katak gergasi itu termasuk dalam spesies Limnonectus sp, yang boleh membesar sehingga 15 sentimeter.


    Monday 1 November 2010

    :: Terowong Berkembar Berapit..Ipoh-Padang Besar ditembusi ?



    Tembusi terowong terpanjang di Asia


    PARA pekerja mengibarkan Jalur Gemilang selepas berjaya meletupkan batu ketika majlis penembusan Terowong Berkembar Berapit bagi PLBE di Padang Rengas, Kuala Kangsar semalam.


    PADANG RENGAS - Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar mencatat sejarah tersendiri apabila bahagian terakhir Terowong Berkembar Berapit (TBB) sepanjang 3.3 kilometer yang dibina di sini berjaya ditembusi semalam.

    Bagaimanapun pembinaan TTB yang merupakan terowong landasan kereta api berkembar terpanjang di Asia Tenggara itu akan siap sepenuhnya pada penghujung tahun depan.

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, sehingga semalam pemaju projek terbabit, MMC-Gamuda JV berjaya menyelesaikan 70 peratus kerja-kerja pembangunan terowong berkenaan manakala bakinya akan dilaksanakan secara berperingkat.

    "Pembinaan terowong ini bermula pada 4 Oktober 2009 menggunakan konsep berkembar dengan satu landasan setiap satu, serta pembinaan sembilan laluan silang antara terowong kiri dan kanan.

    "Baki 30 peratus pembinaan terowong ini merangkumi kerja-kerja pembinaan infrastruktur dan melengkapkan sistem bahkan kita yakin ia dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.



    Saturday 30 October 2010

    :: SMK Bunut Susu: Pelajar diseterika ?

     MUHAMMAD AL- HAKIM   (kanan) menunjukkan kesan parut pada lengan kiri adiknya, Muhammad Fairuz, yang diseterika oleh warden asrama di sebuah sekolah di Pasir Mas ketika ditemui    di rumah mereka di Kampung Anak Keranji, Pasir Mas, semalam.
    MUHAMMAD AL- HAKIM (kanan) menunjukkan kesan parut pada lengan kiri adiknya, Muhammad Fairuz, yang diseterika oleh warden asrama di sebuah sekolah di Pasir Mas ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Anak Keranji, Pasir Mas, semalam.


    Dua beradik melecur diseterika



    MUHAMMAD AL-HAKIM (kanan) menunjukkan kecederaan pada lengan adiknya,
    Muhammad Fairuz akibat diseterika guru mereka ketika ditemui di Kampung Anak Keranji, Slow Machang, Kelantan semalam.

    PASIR MAS - Dua beradik antara 11 pelajar yang melecur akibat tindakan melampau seorang guru menggunakan seterika panas bagi mengejutkan mereka supaya menunaikan solat Subuh baru-baru ini.

    Kejadian berlaku di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bunut Susu dekat sini pada 12 Oktober lalu ketika Muhammad Al-Hakim Mat Nawi, 16, dan adiknya, Muhammad Fairuz, 14, nyenyak tidur.

    Dalam kejadian pada pukul 6.15 pagi itu, kedua-dua mereka melecur masing-masing pada tapak kaki dan lengan kiri selepas guru tersebut yang juga warden asrama menggunakan seterika untuk mengejutkan mereka.

    Turut mengalami nasib yang sama ialah sembilan lagi pelajar lain.

    Menurut Muhammad Al-Hakim, biasanya mereka akan bangun pukul 6 pagi untuk bersiap menunaikan solat Subuh.

    Bagaimanapun, pada hari tersebut, sebahagian besar pelajar di dalam dom asrama itu nyenyak tidur.

    "Ketika nyenyak tidur, saya terkejut apabila terasa panas pada kaki.

    "Apabila tersedar, saya nampak cikgu tersebut berdiri sambil memegang seterika panas yang digunakan untuk mengejutkan kami.

    "Ketika itu dalam dom kami ada 14 pelajar tetapi tiga daripadanya telah bangun lebih awal menyebabkan mereka terselamat daripada dikenakan tindakan oleh cikgu tersebut," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Anak Keranji, Slow Machang dekat sini semalam.



    :: Sajak "Melayu"...Usman Awang




    Sajak ini ditulis oleh Sasterawan Negara... Dr. Usman Awang... yang boleh direnung fikir.

    Sajak “Melayu” oleh Usman Awang

    Melayu itu orang yang bijaksana
    Nakalnya bersulam jenaka
    Budi bahasanya tidak terkira
    Kurang ajarnya tetap santun
    Jika menipu pun masih bersopan
    Bila mengampu bijak beralas tangan

    Melayu itu berani jika bersalah
    Kecut takut kerana benar
    Janji simpan di perut
    Selalu pecah di mulut
    Biar mati adat
    Jangan mati anak

    Dalam sejarahnya
    Melayu itu pengembara lautan
    Melorongkan jalur sejarah zaman
    Begitu luas daerah sempadan
    Sayangnya kini segala kehilangan

    Melayu itu kaya falsafahnya
    Kias kata bidal pusaka
    Akar budi bersulamkan daya
    Gedung akal laut bicara

    Malangnya Melayu itu kuat bersorak
    Terlalu ghairah pesta temasya
    Sedangkan kampung telah tergadai
    Sawah sejalur tinggal sejengkal
    Tanah sebidang mudah terjual

    Meski telah memiliki telaga
    Tangan masih memegang tali
    Sedang orang mencapai timba
    Berbuahlah pisang tiga kali
    Melayu itu masih bermimpi

    Walaupun sudah mengenal universiti
    Masih berdagang di rumah sendiri
    Berkelahi cara Melayu
    Menikam dengan pantun
    Menyanggah dengan senyum
    Marahnya dengan diam
    Merendah bukan menyembah
    Meninggi bukan melonjak

    Watak Melayu menolak permusuhan
    Setia dan sabar tiada sempadan
    Tapi jika marah tak nampak telinga
    Musuh dicari ke lubang cacing
    Tak dapat tanduk telinga dijinjing
    Maruah dan agama dihina jangan
    Hebat amuknya tak kenal lawan

    Berdamai cara Melayu indah sekali
    Silaturrahim hati yang murni
    Maaf diungkap senantiasa bersahut
    Tangan diulur sentiasa bersambut
    Luka pun tidak lagi berparut

    Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
    Segala yang ada sanggup diberikan
    Sehingga tercipta sebuah kiasan:
    “Dagang lalu nasi ditanakkan
    Suami pulang lapar tak makan
    Kera di hutan disusu-susukan
    Anak di pangkuan mati kebuluran”

    Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
    Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
    Jangan takut melanggar pantang
    Jika pantang menghalang kemajuan;
    Jangan segan menentang larangan
    Jika yakin kepada kebenaran;
    Jangan malu mengucapkan keyakinan
    Jika percaya kepada keadilan

    Jadilah bangsa yang bijaksana
    Memegang tali memegang timba
    Memiliki ekonomi mencipta budaya
    Menjadi tuan di negara Merdeka!