Showing posts with label sekolah. Show all posts
Showing posts with label sekolah. Show all posts

Thursday, 28 April 2011

:: Hebatnya murid sekolah rendah...di Teluk Kumbar...





FAH HIN (kanan) menunjukkan  motosikal yang dicuri  pada sidang media  di Balik Pulau, semalam.

FAH HIN (kanan) menunjukkan motosikal yang dicuri pada sidang media di Balik Pulau, semalam.


Guna pisau kecil hidupkan jentera untuk bersiar


BALIK PULAU: Meskipun masih di bangku sekolah, dua murid berusia 11 dan 12 mula berjinak-jinak dengan jenayah serta disyaki terbabit dalam tiga kes curi motosikal di sekitar kawasan perumahan mereka di Teluk Kumbar, di sini.
Malah, murid perempuan berusia 12 tahun dan lelaki berusia 11 tahun itu juga mempunyai kemahiran melarikan motosikal tanpa kunci dengan hanya menggunakan pisau kecil.
Difahamkan, selepas mencuri motosikal, murid perempuan itu yang dikatakan menjadi ‘ketua’ akan menunggangnya, manakala murid lelaki akan membonceng untuk bersiar-siar di sekitar taman perumahan mereka.

Apabila motosikal berkenaan kehabisan minyak, kenderaan berkenaan akan ditinggalkan dan mereka akan menyasarkan motosikal lain.

Bagaimanapun, perbuatan mereka yang dikatakan bermula kira-kira dua minggu lalu tidak bertahan lama apabila ditahan polis ketika menaiki sebuah motosikal curi di Taman Sahabat, Teluk Kumbar di sini, Selasa lalu.

Ketika ditahan, murid perempuan itu menunggang motosikal, manakala murid lelaki menjadi pembonceng.
Susulan penahanan kedua-dua murid itu, polis menemui dua motosikal model Honda Wave yang ditinggalkan oleh pasangan terbabit selepas kehabisan minyak di kawasan berhampiran taman mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Lai Fah Hin, berkata pihaknya menerima tiga laporan kehilangan motosikal sekitar kawasan Flet Bandar Baru Perda, Teluk Kumbar, awal bulan lalu.

“Berikutan laporan itu, polis melakukan intipan di kawasan disyaki dan mengesan sebuah motosikal yang dilaporkan hilang, dinaiki sepasang juvana yang lengkap bertopi keledar sambil bersiar-siar.

“Anggota kami menghampiri motosikal berkenaan dan mendapati penunggangnya hanya berusia 12 tahun dan pembonceng berumur 11 tahun serta masih belajar di sebuah sekolah rendah di daerah ini,” katanya.



Thursday, 14 October 2010

:: SK Gunong: Lantai simen runtuh ?





'Saya ingat gempa bumi'

Oleh Mohamad Hussin


'Saya ingat gempa bumi'




ALOR SETAR: “Saya ingat gempa bumi kerana gegaran begitu kuat sebelum tiba-tiba lantai simen kelas kami runtuh menyebabkan saya terjatuh,” kata Filza Nadirah Idris, 10, seorang daripada 10 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Gunung di sini, yang cedera selepas lantai simen bilik darjah mereka runtuh secara tiba-tiba, semalam.

Turut cedera dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu ialah seorang guru wanita yang ketika itu sedang mengajar dalam kelas Empat Amanah yang keseluruhannya mempunyai 34 murid.

Sepuluh murid yang cedera membabitkan lima murid lelaki dan lima perempuan. Dua daripada murid perempuan itu patah kaki akibat dihempap batu simen dan almari manakala guru serta lapan murid lagi dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebelum dibenarkan pulang.

Difahamkan, ketika kejadian, semua murid terbabit sedang mengikuti subjek Pendidikan Islam dengan duduk bersila atas lantai kelas.

Tiba-tiba, lantai simen itu runtuh menyebabkan 10 murid terbabit terjatuh ke dalam runtuhan yang membentuk satu lubang besar sedalam hampir satu meter.

Filza Nadirah berkata, dia dan rakan sekelas menjerit ketakutan selain menahan kesakitan.

CEDERA...Filza Nadirah   terpaksa berkerusi roda ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, semalam.
CEDERA...Filza Nadirah terpaksa berkerusi roda ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, semalam.


“Saya jatuh tertiarap di bawah runtuhan simen dan kayu menyebabkan luka di lutut. Saya menjerit dan menangis sekuat hati ketika menunggu bantuan guru mengangkat kami,” katanya yang ditemui di Unit Kecemasan HSB di sini, semalam.

Muhammad Alif Hakim Abu Bakar yang terseliuh tangan kiri berkata, dia masih trauma dan terkejut dengan kejadian itu.

“Saya bersama rakan sekelas jatuh apabila lantai simen runtuh,” katanya.

Seorang ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu yang enggan nama disiarkan berkata, bangunan itu asalnya sebuah dewan lama yang dijadikan kelas sejak lapan tahun lalu.

“Dewan ini dijadikan kelas kerana sekolah ini tidak cukup kelas untuk menampung pertambahan murid. Sejak tiga tahun lalu, kerja membaik pulih dewan ini dijalankan termasuk menyimen lantai kayu berkenaan.

“Bangunan setingkat itu dibina pada 1950-an dan mulanya menggunakan lantai papan pada ketinggian kira-kira satu meter dari tanah, tetapi sejak beberapa tahun lalu lantai simen dibina di atas papan berkenaan.

“Saya yakin lantai kayu asal dewan itu reput dan perkara itu tidak disedari kontraktor dilantik dan mereka hanya membuat lapisan simen di atas lantai sedia ada tanpa mengkaji kekuatan struktur lantai lama berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Md Noor Daud berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.25 pagi sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar dan Jalan Raja bersama 17 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sejurus tiba di lokasi, semua murid yang cedera sudah dibawa keluar daripada runtuhan dan dihantar ke HSB untuk rawatan.