Monday, 6 June 2011
:: BN vs PR... nak ke Putrajaya... ?
Wednesday, 17 November 2010
:: SPR: 4.2 juta belum mendaftar
4.2 juta rakyat enggan daftar dengan SPR
2010/11/17
Sunday, 29 August 2010
:: Ketua Menteri Sarawak sekadar menguji ?
29 Ogos, 2010 20:18 PM
Adakah Taib Mahmud Sekadar Mahu Menguji?
Oleh Alan Ting
KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Apabila Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata beliau sedia meletak jawatan jika khidmatnya tidak diperlukan lagi, senario politik di Sarawak diselubungi desas-desus bahawa beliau sedang membuat persiapan untuk berundur diri.
Bagaimanapun, beberapa pemerhati politik merasakan bahawa kenyataan Taib itu hanya satu peringatan yang merupakan muslihat sekadar "untuk menguji".
Sejak akhir-akhir ini, Taib, 74, Ketua Menteri paling lama berkhidmat di Sarawak (29 tahun sejak 26 Mac, 1981), menjadi sasaran khabar angin berhubung dakwaan kekayaannya yang melimpah ruah.
"Beliau tidak akan meletak jawatan. Beliau hanya ingin tahu siapa yang bersungut. Kenyataan beliau merupakan satu muslihat untuk mengetahui siapa yang menentangnya," kata seorang penganalisis politik di University of Monash, James Chin.
Chin percaya kenyataan mutakhir Taib itu mungkin ada kaitan dengan khabar angin bahawa SUPP, sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak, mahu beliau berundur memandangkan beliau dilihat tidak lagi diyakini oleh kalangan beberapa kelompok dalam komuniti setempat.
Terdapat desas-desus bahawa SUPP berkemungkinan telah melobi kepimpinan pusat supaya campurtangan untuk berbincang dengan Taib, menyerupai langkah yang dilakukan pada 1980-an ketika parti itu mahu bapa saudara Taib, Tan Sri (kini Tun) Abdul Rahman Yaa'kub, meletak jawatan sebagai Ketua Menteri atau jika tidak, parti itu akan keluar daripada BN.
Rahman kemudian menentang dengan menganjurkan perhimpunan besar- besaran di Sarawak tetapi gagal membuahkan hasil dan akhirnya meletak jawatan namun meletakkan syarat agar anak saudaranya, Taib, dilantik sebagai penggantinya.
Chin berkata kenyataan Taib bukanlah perkara baru dan satu-satunya reaksi segera daripada kenyataan sedemikian adalah pelbagai parti, persatuan, dan badan bukan kerajaan mungkin akan membuat gesaan supaya beliau terus memegang jawatan.
Besar kemungkinan partinya sendiri, Parti Pesaka Bumiputera (PBB) akan meluluskan resolusi menyokongnya dan Taib akan terus menerajui BN Sarawak dalam pilihan raya negeri akan datang, katanya.
Seorang lagi penganalisis politik, Dr Sivamurugan Pandian, percaya bahawa Taib ingin menguji setakat mana kepimpinan pusat akan menyokong beliau ekoran khabar angin yang mahu beliau berundur.
"Beliau mungkin tidak serius dalam hasratnya untuk berundur seperti mana beliau mahu terus memegang jawatan. Apa yang beliau lakukan sekarang ialah untuk melihat sama ada kepimpinan pusat mahu menyokong beliau atau tidak.
Jika kepimpinan pusat tidak mahu menyokongnya, maka beliau (Taib) akan melihat pilihan lain yang ada untuknya. Kemungkinan besar beliau akan melihat situasi yang menguntungkan semua sebagai strategi jalan keluar," katanya.
Bagaimanapun, Dr Sivamurugan berkata siatuasi itu agak sukar untuk ditangani oleh kepimpinan pusat memandangkan ia memerlukan pelan peralihan yang lancar, jika tidak akan mengakibatkan pertelingkahan dalaman yang mungkin melemahkan PBB, tunjang kepimpinan BN negeri.
Dr Sivamurugan berkata sesiapa sahaja yang menggantikan Taib perlu dilihat sebagai berwibawa dan berupaya menyeimbangkan keperluan pelbagai kumpulan etnik di Sarawak, yang mempunyai lebih daripada 40 kumpulan sub-etnik, setiap satunya dengan bahasa, budaya dan gaya hidup tersendiri.
Tidak hairanlah apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak berkata pada Jumaat lepas beliau akan mengadakan perbincangan 'hati ke hati' dengan Taib berhubung masa depan kepimpinan negeri.
Ini dapat difahami memandangkan PBB merupakan tonggak kekuatan BN di Sarawak dan adalah adil untuk berbincang terlebih dahulu sebelum apa jua keputusan dibuat.
Di peringkat negeri, sudah pun ada gesaan supaya beliau kekal sebagai Ketua Menteri, dengan yang pertama, seperti yang dijangka, dibuat oleh oleh sayap Pemuda PBB, disusuli oleh dua parti komponen BN, Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Hanya SUPP masih belum menyatakan pendirian secara terbuka berhubung kenyataan mutakhir Taib itu. Presiden SPDP Datuk Seri William Mawan Ikom berkata Sarawak masih memerlukan Taib kerana "beliau adalah pemimpin, beliau seorang yang pintar dan mana boleh siapa pun bercakap tentang pengunduran beliau?"
"Ada kalanya beliau agak letih, beliau seharusnya berehat sedikit, tetapi beliau adalah pemimpin (bagi negeri ini). Apa yang kami hadapi (dan) apa yang negeri ini ceburi, kami benar-benar memerlukan beliau kerana beliau adalah penggerak utama dan beliau meletakkan kita semua di peta dunia.
Tidak, beliau tidak akan meletak jawatan dan saya sendiri akan memastikan beliau terus memimpin," kata Mawan, seperti yang dipetik dalam laporan akhbar tempatan.
Presiden PRS Datuk Seri Dr James Jemut Masing juga berkata parti itu akan menyokong Taib selagi beliau mahu memimpin negeri ini.
"Dalam permukiman BN di Mulu baru-baru ini, setiap daripada kami (parti komponen BN negeri) menyatakan pendirian berhubung KM (Taib) untuk mengetuai BN dalam pilihan raya umum akan datang.
Dan PRS tidak mengubah pendiriannya, selagi KM mahu memimpin, kami akan berdiri teguh di belakangnya," kata Masing, yang juga Menteri Pembangunan Tanah Sarawak.
Bagaimanapun, seorang penganalisis politik di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Jeniri Amir berkata menjadi kelaziman bagi pemimpin lain di negeri ini untuk mengisytiharkan secara terbuka bahawa mereka memerlukan beliau memandangkan "semua orang tahu Taib sangat berkuasa dalam politik dan tiada siapa pun yang berani meminta beliau berundur kerana masa depan politik mereka bergantung kepada beliau."
Dr Jeniri berpendapat perbincangan "hati ke hati" Najib dengan Taib perlu digunakan sebagai wadah untuk memberitahu Ketua Menteri mengenai situasi politik di peringkat akar umbi dan Taib juga mendengar "suara hati" dari Sarawak.
Beliau berkata kenyataan Taib mengenai keinginannya untuk berundur pada kali ini adalah ikhlas memandangkan beliau sedar tentang perubahan dalam landskap politik.
"Tanggungjawab ini terletak di bahu beliau, bukan Perdana Menteri atau partinya," katanya.
-- BERNAMA
Sunday, 4 July 2010
:: Pilihanraya ke-13 dah hampir ?
PEKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan empat faktor penting yang mempengaruhi sikap dan keperluan rakyat terhadap parti UMNO sebagai parti yang boleh membela nasib mereka.
Beliau berkata, faktor pertama adalah sama ada rakyat berpuas hati dengan kepimpinan di peringkat nasional, negeri, bahagian dan cawangan tentang sesuatu program yang dilakukan.
Najib yang juga Presiden UMNO berkata, pelaksanaan dasar dan sesuatu keputusan yang diambil itu akan dilihat oleh rakyat sebagai ukuran bagi meningkatkan khidmat kepada masyarakat.
"Faktor kedua pula adalah bagaimana kepimpinan negeri menguruskan soal permohonan tanah, sama ada tanah yang mahu diterokai, soal perumahan dan perkara tertentu," katanya ketika berucap pada mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pekan di sini hari ini.
Najib berkata, faktor ketiga pula melibatkan penilaian masyarakat terhadap pengurusan kepimpinan peringkat akar umbi, cawangan dan bahagian dan rakyat mendapat kepuasan seperti mana penilaian yang dibuat di peringkat nasional.
"Faktor terakhir adalah peranan wakil rakyat yang dipilih melalui pengundian pada pilihan raya umum lalu sama ada mereka disenangi pengundi itu sendiri atau sebaliknya," katanya.
Menurutnya, tsunami politik akan berlaku sekiranya faktor-faktor berkenaan menjadi faktor negatif di mana rakyat tidak menyenangi dengan kepimpinan di peringkat nasional, negeri, parti dan wakil rakyat itu sendiri.
"Justeru, saya menyeru semua pemimpin parti tidak kira di peringkat akar umbi mahupun bahagian harus melaksanakan tanggungjawab mereka demi kepentingan rakyat," katanya. Beliau juga meminta semua cawangan dan bahagian mempermudahkan urusan pendaftaran ahli baru yang ingin menyertai UMNO bagi menunjukkan peranan parti yang sedia membantu dan bersikap terbuka dalam apa jua perkara melibatkan soal rakyat.
Katanya, soal pendaftaran ahli tidak boleh dibuat secara bermusim sebaliknya ia perlu dilakukan secara berterusan dengan menganjurkan pelbagai aktiviti berfaedah yang boleh menarik minat untuk menyertai parti itu.
Dalam pada itu, mesyuarat itu juga mengusulkan usul tergempar apabila menyokong kepimpinan Perdana Menteri yang membuat keputusan tidak meluluskan lesen pertaruhan sukan sempena Kejohanan Bolasepak Piala Dunia.
Usul yang dibawa oleh Pengerusi Biro Agama UMNO Bahagian Pekan, Mohd Arippin Daud itu menyatakan mereka tetap mempertahankan keputusan Perdana Menteri walaupun terdapat pihak tertentu yang mendesak supaya meluluskan lesen tersebut. - BERNAMA
...............................................................................
BN Dan Parti Komponen Perlu Hadapi Pilihan Raya Tanpa Dolak-dalik Lagi - Hishammuddin
BANGI, 4 Julai (Bernama) -- Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata masanya telah tiba bagi Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, membuktikan bahawa kelemahan dan kesilapan mereka yang wujud sebelum ini telah berjaya diatasi.
Oleh itu, BN dan semua parti komponennya kini perlu bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 tanpa dolak-dalik lagi, kata beliau.
Menurut beliau, alasan-alasan klise dan remeh yang sering digunapakai sebelum ini tidak boleh lagi digunakan sebagai faktor penyokong untuk 'lari' dari bertanding dalam pilihan raya.
Katanya, pindaan terhadap perlembagaan (parti) dan transformasi menyeluruh di dalam Umno adalah langkah drastik yang diambil untuk kembali memperkasakan parti, sekaligus membolehkan Umno muncul sebagai parti komponen BN pertama yang berani bertindak sedemikian rupa.
"Kita tidak ada pilihan. Kita kena siap sedia, sampai bila kita nak beri alasan kita tak bersedia? Sampai bila kita nak katakan bahawa kita belum mampu berdepan dengan pilihan raya umum? Sampai bila kita nak katakan bahawa kita masih lagi dibelenggu dengan masalah-masalah yang terpaksa kita hadapi masa pemulihan.
"Tak boleh lagi dah. Masa dah sampai untuk kita bangkit, masa dah sampai untuk kita tunjukkan pada orang ramai bahawa Umno dah insaf, sedar, dah muhasabah diri, dah buat perancangan dan akan lakukan transformasi," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Serdang di sini.
Menteri Dalam Negeri itu menyatakan demikian ketika merujuk kepada kenyataan seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang akan mengusulkan supaya Badan Perhubungan Umno Negeri di lima buah negeri kembali diterajui oleh kepimpinan parti negeri terbabit.
Ini kerana, jelas Ahmad Zahid, keadaan Umno di negeri-negeri berkenaan iaitu Selangor, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah, dan Wilayah Persekutuan telah kembali mantap dan pulih.
"Memang kepimpinan di semua peringkat negeri mesti diteliti dengan sebaik mungkin kerana yang kita nak pastikan ialah kemenangan calon kita dan parti di setiap negeri," katanya.
Ditanya apakah beliau telah bersedia untuk melepaskan jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Terengganu kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, Hishammuddin berkata, aspek itu akhirnya akan ditentukan oleh ahli-ahli parti.
Menjawab soalan mengenai pemulihan ke atas negeri-negeri yang BN tewas, beliau berkata aspek tersebut mencakupi tiga pelan utama iaitu pelaksanaan (program) parti dalam konteks dan agenda kerajaan, transformasi parti serta pencapaian wakil rakyat dan calon yang ingin diketengahkan.
-- BERNAMA
Monday, 21 June 2010
:: Dr.George Chan: Pilihanraya Sarawak.. semua kawasan sukar ditawan
Pilihan raya negeri yang sukar
by Sandy Mark LunaJune 21, 2010, Monday
Setiap pemimpin dalam parti politik perlu rapat dengan rakyat kerana pilihan raya akan datang sesuatu yang sukar dijangka, kata Dr Chan

Dr Chan
KUCHING: Semua kawasan dilihat sukar untuk ditawan dalam pilihan raya negeri akan datang, demikian akui Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.
Justeru, katanya parti itu akan bekerja lebih keras dan memastikan setiap ahli perlu bersikap lebih liberal dan terbuka pada setiap masa termasuk kerap turun padang.
Katanya, elemen tersebut seharusnya menjadi keutamaan setiap parti politik dan SUPP tidak terkecuali.
“Berkomunikasilah dengan rakyat, dan jangan sekadar bergantung kepada orang di sekeliling anda menunjukkan tempat yang mereka mahu anda lawati.
“Kalau mereka tidak menunjukkan semua tempat, tidak bermaksud ia berada dalam keadaan baik kerana kadang-kala ia adalah sebaliknya dan itu penting,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan sempena acara larian anjuran SUPP di Ibu Pejabat SUPP, di sini, semalam.
Dr Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, pilihan raya merupakan sesuatu yang sukar dijangka.
Justeru, katanya setiap pemimpin dalam parti politik perlu rapat dengan rakyat untuk mendengar suara dan kehendak rakyat.
Menurutnya, setiap pemimpin juga tidak boleh bergantung dengan laporan daripada akar umbi semata-mata kerana kesahihannya tidak dapat dipastikan.
Segelintir daripada pemimpin parti, katanya yang telah berada dalam dunia politik untuk sekian lama merasakan mereka tahu segalanya.
“Tetapi, anda tidak (mengetahui segalanya) kerana perubahan masa, cara berfikir dan cara melakukan sesuatu perkara sudah berubah,” katanya.
“Oleh itu, jangan mengambil sesuatu perkara sambil lewa hanya kerana anda fikir anda tahu segalanya,” katanya.
Ketika diminta mengulas adakah SUPP mampu mempertahankan kerusi Pelawan yang disifatkan kritikal pada pilihan raya yang lalu, beliau berkata masih terlalu awal untuk membuat andaian.
“Saya rasa kita perlu mengukuhkan komunikasi dengan rakyat dan berusaha sedaya upaya untuk memberi yang terbaik,” katanya.
Saturday, 19 June 2010
:: Pehin Sri Taib Mahmud... terpaksa meminta kepada rakyat
Guna kuasa undi dengan bijak
by Rosemaria BumaJune 19, 2010, Saturday
Generasi untung jika undi diguna untuk jamin kesejahteraan rakyat, negeri: KM
BEKENU: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menegaskan bahawa rakyat Sarawak harus bijak dan berhati-hati menggunakan kuasa undi yang ada di tangan mereka untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan juga negeri ini.

RASMI: Taib meletakkan papan tanda K-Masjid sebagai perasmian projek K-Masjid di Masjid Al Mutaqqin, Bekenu semalam.
Katanya, undi bukan soal pakai duit dan sebagainya tetapi undi adalah suatu frasa untuk menentukan nasib seluruh generasi rakyat di negeri ini terjamin.
“Justeru saya terpaksa meminta kepada rakyat di seluruh negeri ini agar bijak menggunakan satu-satunya kuasa yang ada di tangan mereka.
“Bila kita pandai guna undi, seluruh generasi akan untung tetapi kalau salah guna undi, seluruh generasi susah, rakyat jatuh dan negeri rosak,” katanya sambil menambah undi rakyat adalah hak rakyat yang paling berharga.
Taib berkata demikian ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di gelanggang bola keranjang Bekenu di sini semalam.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Fadillah Yusof, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (HalEhwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman, Menteri Muda Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Dr Stephen Rundi Utom, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Rosey Yunus, ADUN Lambir Datuk Aidan Wing dan Tan Sri Yaw Tek Seng.
Dalam pada itu katanya, rakyat di negeri ini terutama yang tinggal di kawasan luar bandar mendambakan kesenangan dan keselesaan hidup, amat bergantung kepada kerjasama baik dengan kerajaan.
“Kita tidak banyak kekayaan… lainlah orang kaya boleh memperjuangkan nasib sendiri dengan kekuasaan mereka… tapi kita yang miskin terpaksa menggunakan kekuasaan bersama menerusi program kerajaan untuk mencapai semua kesenangan,” katanya.
“Kalau kerajaan baik, nasib kita pun baik, selamat nasib kita, tetapi kalau kerajaan tidak baik, kita hanya mampu berharap (pembangunan),” ujarnya.
Dalam konteks ini katanya, rakyat harus pandai menilai yang mana bagus sama ada mereka yang menabur janjikah atau mereka yang bagus bekerja.
Oleh itu menurut beliau, rakyat harus faham hanya pemimpin Barisan Nasional (BN) sahaja yang dapat menceritakannya (membangunkan) dan pembangkang hanya tahu membantah dan menyumpah.
“(Terutama) apabila menjelang pilihan raya, semua (pembangkang) nak jadi hero. Dalam wayang bolehlah banyak hero tapi dalam hidup kita, tidak perlu banyak hero kerana banyak masalah yang harus kita selesaikan,” ujarnya dalam nada berseloroh.
Menyentuh tentang pembangunan Bekenu, beliau berkata daerah kecil Bekenu akan dapat membangun dengan pesat sekiranya ia bijak memanfaatkan peluang yang tersedia ekoran pembangunan pesat di bandar raya Miri.
“Bagi Bekenu, kita memerlukan kerjasama rakyat untuk menyusun semula pembangunan bandar ini. Kalau tidak dapat dibuat di tempat lama, kita akan buat di tempat baru dan orang Bekenu sendiri harus menyokong,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh tentang pelan pembangunan tebingan Bekenu yang ditunjukkan kepadanya sebelum majlis bermula, Taib mencadangkan agar sebuah jambatan dibina terlebih dahulu untuk memacu pembangunan di sini.
“Seelok-eloknya, kita buat jambatan dulu untuk kemudahan rakyat yang tinggal di seberang sana untuk bekerja dan sebagainya serta membolehkan kawasan di seberang sana dapat dimajukan setara dengan yang ada di pekan Bekenu ini,”katanya.
Sementara itu pada sebelah tengah harinya, Taib turut merasmikan projek K-Masjid di Masjid Al Mutaqqin, Bekenu.
Menurut Fadillah, dengan pelancaran projek ini, Bekenu turut mencipta sejarah tersendiri sebagai daerah pertama di negeri ini yang mempunyai kemudahan ICT.
“K-Masjid bukan hanya boleh digunakan untuk belajar komputer dan berdakwah secara online oleh mereka yang beragama Islam dan juga saudara baru tetapi turut membantu mereka mengakses apa jua dasar pembangunan yang dilaksanakan kerajaan,” jelasnya.
Thursday, 17 June 2010
:: Pilihanraya Sarawak 2010/2011...hari Sabtu
Pilihan raya DUN hari Sabtu
June 17, 2010, Thursday

HANYA BAYANGAN: Taib memberi bayangan mengenai pilihan raya negeri ketika bercakap kepada para pemberita di Wisma Bapa Malaysia, di Kuching semalam.
Bagaimanapun, tarikh lebih tepat pilihan raya negeri seterusnya akan diadakan terus menjadi persoalan apabila beliau tidak mengulas lebih lanjut mengenai perkata tersebut.
“Saya telah memutuskan pilihan raya (akan diadakan) pada salah satu Sabtu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Kempen Jualan Bendera St John Ambulance di Wisma Bapa Malaysia, di sini, semalam.
Taib yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri ketika ditanya jika Sabtu yang beliau maksudkan dalam tahun ini, beliau berkata beliau masih memikirkan perkara tersebut.
Sementara itu, pilihan raya negeri lepas diadakan pada 20 Mei 2006 dengan jumlah calon yang bertanding ialah seramai 158 orang.
Pada pilihan raya tersebut, pengundi berdaftar adalah seramai 892,537 orang.
Manakala, tempoh tamat bagi penggal pilihan raya negeri Sarawak adalah pada tahun depan.
Parti-parti komponen BN adalah seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Tindakan Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).
Pilihan raya 2006 menyaksikan BN tewas sembilan daripada 71 kerusi DUN yang dipertandingkan.
BN tewas di konstituensi Padungan, Batu Lintang, Pending, Kota Sentosa, Engkelili, Maradong, Ngemah, Bukit Assek dan Kidurong.