Tuesday 21 July 2009

:: Ajal dah tiba

Selasa Julai 21, 2009

Keadaan seseorang ketika sampai ajal

HADITH yang diriwayat dari Anas r.a katanya: "Rasulullah s.a.w telah masuk menziarahi seorang pemuda yang sedang berada dalam keadaan hampir mati, lalu bertanya kepadanya: "Bagaimana keadaanmu?". Pemuda itu menjawab: "Aku berharap kepada (rahmat) Allah - Ya Rasulullah! - dan aku takutkan (balasan buruk) dari sebab dosa-dosa ku".
Mendengarkan yang demikian, Rasulullah s.a.w bersabda: "Tidak berhimpun dalam hati seseorang dua perkara itu (harap dan takut) pada saat yang seperti ini, melainkan Allah memberikannya apa yang diharapkan dan menyelamatkannya dari apa yang ditakuti." [Anas r.a]

Pengajaran hadith:

i) Apabila menghadapi ‘sakratul maut’ setiap umat Islam diminta agar sentiasa mengingati Allah dengan bersungguh-sungguh serta berdoa semoga Allah memberi pertolongan kepadanya semasa mengalami penderitaan tersebut.

ii) Kita hendaklah menanamkan perasaan takut terhadap kemurkaan Allah dan mengharapkan rahmat daripada-Nya pada setiap masa apatah lagi di saat-saat genting menghadapi sakratul maut kerana hal ini ada ganjaran dan penghargaan yang besar daripada Allah S.W.T malah dengan adanya perasaan tersebut juga akan menghindarkan kita daripada terdorong melakukan perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah.

:: Sultan Perak: Amaran atau nasihat?

Tiada mahkamah boleh salahkan kerajaan - Sultan Perak
21/07/2009 1:50pm

IPOH 21 Julai — Selagi kerajaan dan mana-mana pihak berkuasa mengurus tadbir kuasa bersandarkan undang-undang dan dilaksanakan secara telus dan terbuka, tidak ada mahkamah yang boleh menyalahkan kerajaan, titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah. Melainkan terdapat di kalangan hakim yang telah hilang integriti atau memilih untuk turut berpolitik atau bersimpati dengan mana-mana kumpulan atau pemikiran politik, titah baginda.

Baginda bertitah ujian utama dan paling berat kepada para hakim adalah memiliki sifat tidak memihak atau tidak berat sebelah terutama daripada segi emosi dan kecenderungan. Oleh itu, baginda mengingatkan bahawa peranan kehakiman yang profesional, berintegriti dan bebas daripada pengaruh mana-mana pihak perlu dipertahankan.
“Para hakim mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan kedaulatan undang-undang dan integriti mahkamah dan jika mereka gagal memenuhi amanah tersebut akan berlakulah ketidakseimbangan. Kesetiaan para hakim adalah kepada keadilan yang bersandarkan undang-undang.
“Dalam memenuhi tanggungjawab tersebut, para hakim adalah terdedah kepada penilaian umum kerana telah dibina mekanisme di peringkat mahkamah yang lebih tinggi, dengan panel hakim yang lebih ramai untuk menyemak sesuatu penghakiman yang dilakukan,”
titah baginda ketika merasmikan Seminar Khas Perlembagaan Persekutuan anjuran pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Sultan Azlan bertitah, pengekalan institusi Raja bukan sekadar memenuhi nilai sejarah dan nilai sentimental bangsa. Baginda bertitah bahawa Raja mempunyai peranan untuk memastikan keberkesanan mekanisme semak dan imbang yang dapat membantu memperkukuh institusi demokrasi.
“Selaku Ketua Negara, Raja berperanan sebagi tonggak kestabilan - sumber keadilan, teras perpaduan - payung penyatuan. Secara tersirat, pengekalan institusi Raja adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan berpaksikan Melayu di tanah air warisan bangsa.
“(Ini merupakan) peranan, tugas dan tanggungjawab Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (dan) demikian juga Raja-raja Melayu yang digariskan berlandaskan konsep Raja Berperlembagaan.
Ini bermakna Raja-raja ada kuasa dan tanggungjawab kenegaraan yang berlandaskan undang-undang namun Beta pernah mengingkatkan bahawa Raja Pemerintah adalah Raja Pemerintah, sama ada secara mutlak atau secara berperlembagaan,” titah baginda.

Sultan Azlan bertitah, perbezaan antara yang satu tidak memiliki batasan kuasa, sedangkan kuasa yang satu lagi berpandukan perlembagaan, tetapi adalah satu kesilapan untuk menganggap kuasa Raja sama dengan Presiden yang tertakluk semata-mata kepada perlembagaan.
“Peranan sebenar seorang Raja Pemerintah itu jauh mengatasi apa yang tersurat di dalam Perlembagaan,” titah baginda.

Baginda turut bertitah semangat utama yang tersirat di sebalik penggubalan Perlembagaan Persekutuan adalah untuk membangunkan sebuah negara merdeka yang stabil, aman, bersatu padu dan makmur, yang akan dicapai melalui ikatan perpaduan dan penyatuan di antara warga yang berlatarbelakangkan pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa.
“Perlembagaan itu digubal sedemikian rupa bagi menjamin berlakunya keadilan, memberikan perlindungan secara saksama baik kepada yang kuat mahupun yang lemah, baik kepada kumpulan majoriti mahupun kepada kumpulan minoriti, baik kepada orang yang memerintah mahu yang diperintah, baik yang melindungi Raja begitu juga yang melindungi rakyat,” titah baginda.

Titah baginda telah tercapai kata muafakat bahawa setiap warga Malaysia itu terjamin diberikan perlindungan secara adil - secara saksama, terpahat kesediaan mengakui hakikat bahawa anak peribumi itu amat jauh ketinggalan daripada segi pencapaian sosio ekonomi, kekayaan, penguasaan harta dan kemahiran.

Oleh itu, baginda bertitah bahawa kebimbangan peribumi perlu difahami dan untuk itu orang-orang Melayu demikian juga bumiputera diberikan jaminan melalui peruntukan-peruntukan tertentu yang memberikan mereka keistimewaan.
“Pada masa yang sama orang-orang bukan Melayu yang telah berhijrah ke bumi ini, yang memperlihatkan kesetiaan kepada Raja dan negara, yang mengamalkan sikap ,”di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”, diberikan perkenan untuk diterima sebagai rakyat Malaysia,” titah baginda.

Sultan Azlan bertitah Perlembagaan Persekutuan dihasilkan atas semangat rundingan, persefahaman, hasrat untuk membina penyatuan rakyat, dengan matlamat membina sebuah negara bangsa yang merdeka lagi berdaulat.

Demi keamanan dan kesejahteraan negara, rakyat hendaklah disemaikan dengan budaya kehidupan yang berlandaskan kepada semangat Perlembagaan - semangat yang menghormati undang-undang serta institusi penguatkuasa undang-undang, titah baginda.

Baginda mengingatkan jika prinsip asas itu tidak dipatuhi lagi dan mahu diketepikan kerana pengaruh budaya luar yang cuba diserapkan, dikhuatiri negara akan terheret kepada satu anarki.
“Akhirnya kelangsungan sejarah negara bangsa, keamanan dan kesejahteraan akan tinggal sejarah,” titah baginda.

— BERNAMA

Sunday 19 July 2009

:: H1N1


Kononnya kita dimaklumkan bahawa penyakit berjangkit ini mudah merebak. Bersentuhan dengan pesakit pun bakal mengundang bahaya. Punca asal penyakit ini bukan dari negara kita, kononnya dari negara luar. Ini membuka ruang yang besar kepada menularnya penyakit ini... selagi warganegara kita berbondong2 melancong atau untuk tugas rasmi ke luar negara dan selagi pihak lain dari luar dibenarkan datang ke negara kita.


Peringkat awal tersebar cerita H1N1 ini, ada negeri yang berusaha menutup kes. Mana2 pihak dihalang dan dilarang membicarakan hal dan perihal H1N1 ini... hanya seorang menteri negeri sahaja yang boleh berkata2 mengenainya... malah pihak hospital dilarang keras membuat kenyataan. Mungkin bimbang tiada pelancong luar yang datang dan mungkin takutkan rakyat dibayangi kebimbangan yang tak menentu... dan banyak lagi kemungkinan lain yang menjadi asas kepada tindakan sedemikian.

Di pintu masuk lapangan terbang tertentu di negeri2 tertentu, ramailah petugas beruniform bertugas melakukan pemeriksaan kesihatan dan ada juga borang2 tertentu yang perlu dilengkapisi.

Akan hal berkaitan pemeriksaan kesihatan ini dan keperluan melengkapisi borang2 tertentu itu kelihatannya agak longgar pelaksanaannya. Ramai penumpang kapal terbang yang "terbocor" dari pemeriksaan tersebut... dan ramai juga yang tidak menyerahkan borang yang telah diedarkan sebelum itu... cumanya sesekali diberikan cecair tertentu ke tapak tangan dan diminta melumurkan cecair itu pada kedua2 tapak tangan.

Ketika ini, samada di lapangan terbang atau di dalam kapal terbang... pastinya ramai yang akan menoleh kepada kita apabila kita terbersin dan terbatuk... dengan pandangan dan jelingan yang sinis... menjadikan kita berasa bersalah yang teramat sangat... seolah2nya kitalah sebagai penyebar H1N1 ini.

Dihebahkan bahawa jumlah pesakit semakin meningkat tapi kononnya tersebar luas menyatakan bahawa pesakit yang ditahan di wad mana2 hospital di dalam negara semakin berkurangan. Baru2 ini, seorang kenalan memberi petua dalam menghadapi penyakit H1N1 ini. Beginilah antara mesej yang dihantar:
" Salam tuan. Bagaimana keadaan anak sekarang? Apa tindakan tuan setakat ini? Saya ada juga dapat petua daripada bijak pandai di sini katanya ada dalam quran, untuk penyakit yang berkaitan dengan kuman babi penawarnya air selut. Ambil air selut kat tempat yang bersih seperti di kaki gunung, baca selawat dan fatihah 7 kali, kemudian minum. InsyaAllah. "

Mana2 pihak yang anggota keluarganya disyakki dijangkiti H1N1 ini, akan datanglah pegawai2 dari klinik kesihatan atau hospital terdekat untuk membuat pemeriksaan. Kesemua ahli keluarga yang mendiami rumah berkenaan akan dikuarantin kira2 seminggu... maka akan "berehat" sakanlah kesemua ahli keluarga berkenaan... sebab tak boleh keluar dari rumah... dan rasa rimas serta bosan pastinya menghantui mereka yang berkaitan.

Saturday 18 July 2009

:: Terabaikah kita


Pondok pintar - Jarak dari rumah ke sekolah hampir 30 km
Oleh Hassan Omar
hassanomar@bharian.com.my

Murid-murid tak melepaskan peluang menumpang lori, malah perlu meniti jambatan gantung untuk pulang ke rumah di Kampung Ungga. Kemiskinan, jauh bukan halangan untuk ke sekolah demi memastikan anak mereka mampu membaca, menulis dan mengira PENCARIAN ilmu tidak wajar terhenti dalam apa keadaan sekali pun. Sesukar mana laluannya, jejak ilmu perlu dituruti dan didakap erat sebagai penyuluh lakaran landasan kehidupan yang jauh lebih cemerlang seiring pergerakan masa. Ingatan itu kemas tertanam dalam pemikiran masyarakat di kawasan terpencil pedalaman Sabah. Takdir menetapkan mereka jauh di ceruk negeri, dibaluti pelbagai kekurangan hidup jika pembangunan fizikal dijadikan ukuran, namun tanpa sedikit pun mengabaikan kepentingan misi memburu ilmu.

Menjejak penduduk di Mukim Ulu Tomani, Kemabong dekat Tenom, kira-kira 215 kilometer (km) dari Kota Kinabalu mendapati golongan ibu bapa di daerah terpencil itu jelas gigih berusaha memastikan anak mereka tidak tersisih daripada mendapat pendidikan walaupun hakikatnya perjalanan sehala ke sekolah kira-kira 25 hingga 30 km. Nyata, jarak bukan penghalang asalkan anak mereka berupaya membaca, menulis dan mengira. Ketiadaan jalan raya memaksa mereka mencari alternatif bagi memastikan anak mereka dapat ke sekolah lima hari seminggu. Kemiskinan hidup kerana tidak memiliki ilmu bukan untuk diwarisi, sebaliknya dinoktahkan dengan memastikan anak mereka dapat gambaran awal ke jalan lebih bermakna.

Keadaan sebahagian daripada 14 sulap di kawasan berhampiran SK Kemabong yang dibina penduduk dari 11 kampung. Tidak berpendidikan bukan bermakna tidak berakal. Ibu bapa rata-ratanya dari etnik Murut yang sekadar mengusahakan kebun kecil atau menoreh getah, pintar mencari jalan dengan membina pondok atau ‘sulap’ dalam bahasa Kadazandusun berhampiran sekolah. Kawasan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Kemabong mempunyai 14 sulap dibina penduduk dari Kampung Rundum, Semambu, Kepulu, Ketubu, Kerolok, Patiang Tengah, Ahuron, Abingkoi, Sungi, Salang dan Angkarut, semuanya bermatlamat mahukan anak mereka tiba di sekolah sebelum loceng berbunyi. Papan dan kayu yang diperoleh dari hutan berhampiran sekolah dijadikan bahan utama membina sulap. Berbekalkan kemahiran bertukang, mereka mendirikan sulap berukuran kira-kira 3.5 x 5 meter sebagai tempat berteduh. Dengan tiang setinggi kira-kira 1.5 meter, mereka melengkapkan struktur sulap dengan lantai yang kebanyakannya diperbuat daripada buluh dan berdinding papan.

Murid SK Kemabong terpaksa menuntut ilmu di dalam bilik darjah yang sudah usang. Beratapkan rumbia atau zink, mereka berlindung daripada terik matahari dan hujan semata-mata untuk membolehkan si anak ke sekolah, menimba seberapa banyak ilmu tanpa perlu memikirkan soal kemiskinan keluarga. Senario dua atau tiga keluarga berhimpit menumpang teduh dalam sebuah sulap adalah perkara biasa kerana yang penting, setiap pagi anak mereka dapat ke sekolah yang jaraknya kira-kira 100 meter. Lazimnya, keluarga berkenaan mempunyai kaitan persaudaraan dekat seperti ibu dengan anak saudara, sepupu atau adik-beradik. Kudrat anak-anak yang muda usianya itu tidak seberapa untuk mengatur langkah di laluan kerikil dan bersalut debu berterbangan di sepanjang jalan tidak berturap sepanjang 25 hingga 30 km untuk berulang-alik dari rumah ke sekolah. Kalau pun anak-anak itu mula berjalan ketika matahari terbit sekitar jam 6 pagi, hampir pasti tiba di sekolah ketika matahari hampir terbenam.
Dijulang semangat membara mahu mengubah nasib zuriat mereka itulah, ibu bapa sanggup meninggalkan rumah di kampung untuk bersama anak-anak di sulap. Jika kebun getah, jagung, ubi atau pisang memerlukan perhatian, saudara mara terdekat yang memikul tanggungjawab berkongsi hidup di sulap. Sumber kewangan terhad turut membataskan kepulangan anak-anak ini ke kampung halaman. Tambang RM15 seorang untuk menaiki kenderaan pacuan empat bukanlah sesuatu yang murah bagi mereka, justeru hanya cuti persekolahan membawa anak pulang ke kampung dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda milik penduduk yang mengenakan bayaran RM15 seorang. Oleh itu, anak-anak mereka hanya akan pulang ke kampung pada cuti penggal persekolahan.
Bagi memastikan kebun dan rumah di kampung tidak terbiar, ibu bapa bergilir-gilir menghuni di sulap. Sepanjang ketiadaan mereka, saudara terdekat atau jiran membantu memastikan kebun dan kediaman mereka mereka tidak terbiar begitu saja. Ibu bapa yang menetap di kampung dalam jarak di antara dua hingga lima kilometer dari SK Kemabong tidak mempunyai banyak pilihan, selain membiarkan anak mereka menempuh laluan tidak berturap berulang-alik ke sekolah, khususnya dari Kampung Ungga, Kaang dan Malutut. Berbeza dengan kehidupan di bandar atau pekan yang lebih teratur sistem pengangkutan serta prasarananya, anak-anak di pedalaman ini tidak kenal apa itu bas sekolah. Sebaliknya, si kecil semuda tujuh tahun yang baru memasuki Tahun Satu perlahan-lahan menempuh laluan berbukit dan menyeberangi anak sungai dengan meniti titian gantung lima hari seminggu. Kulit yang dibakar terik matahari dan diselaputi debu ketika pulang dari sekolah tidak sedikit pun mematahkan kejituan semangat dan kekentalan di hati mereka untuk menimba ilmu. Namun, sesekali ketika jalan berbukit itu dilalui kenderaan terutama lori, anak-anak kecil itu tidak melepaskan peluang menenggek di belakang lori menjadi penumpang, manakala pemandu lori pula tidak keberatan memanjangkan sifat perikemanusiaan untuk memberi peluang si kecil menikmati sedikit kelegaan daripada menapak sepanjang jalan. Ceria wajah anak-anak ini yang tidak putus-putus bergurau senda sesama mereka sepanjang jalan sewajarnya menerbitkan keinsafan di hati mereka yang jauh lebih selesa kehidupannya.
Pengorbanan ibu bapa meninggalkan kampung halaman untuk menyekolahkan anak dan ketulusan si kecil berlagu riang sepanjang jalan ke gedung ilmu, adalah bukti kesungguhan tertinggi untuk memperbaiki hidup. Tidak keterlaluan jika dirumuskan bahawa golongan serba kekurangan tetapi bersemangat waja ini jauh lebih bijak menelusuri rencam kehidupan dan menghargai kepentingan ilmu berbanding mereka yang memiliki segala-galanya.
Info SK Kemabong:

- Terletak 20 kilometer dari pekan Tenom, Sabah
- 503 murid mendapat pendidikan di sekolah ini
- Sulap (pondok) dibina kira-kira 100 meter dari sekolah
- 14 sulap didirikan di sekitar kawasan sekolah yang dihuni keluarga murid
- Pelajar datang dari 11 kampung berhampiran iaitu, Rundum, Semambu,
Kepulu, Ketubu, Kerolok, Patiang Tengah, Ahuron, Abingkoi, Sugi, Salang dan Angkarut.
- Sekolah ini dibina pada 1970