Thursday, 31 March 2011

:: Mengandung... suami-isteri jangan cerewet


http://www.hmetro.com.my/articles/Belasahisterihamilmengidam/Article


Belasah isteri hamil mengidam

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

mfirdaus@hmetro.com.my


Belasah isteri hamil mengidam


KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang hamil empat bulan cedera di kepala dan badan apabila dipukul suaminya selepas dia mengidam buah kelur atau munggai serta lempuk durian dan meminta suaminya mendapatkan dua jenis makanan itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam kelmarin di sebuah rumah di Bandar Baru Sentul, di sini, wanita terbabit yang berusia 28 tahun dipercayai ditumbuk dan ditendang suaminya yang berusia 30-an.

Sumber berkata, ketika kejadian si suami baru pulang dari kerja sebelum mangsa memintanya keluar dan membeli makanan berkenaan kerana dia mengidamkannya serta memberitahu tidak dapat tidur jika tidak memakannya.

“Lelaki terbabit yang berkemungkinan tertekan dengan tugas di tempat kerja dan belum sempat berehat tiba-tiba berang sebelum memarahi isterinya itu.

“Tindakan lelaki terbabit menyebabkan berlaku pertengkaran selama lebih 20 minit sebelum si suami gagal mengawal kemarahan dan menendang serta menumbuk isterinya.

“Walaupun isterinya itu berulang kali merayu dikasihani dan mengatakan bimbang kandungannya itu terjejas, ia langsung tidak dipedulikan.

“Selepas melepaskan geramnya, lelaki terbabit keluar dari rumah dengan meninggalkan isterinya sendirian,” katanya.

Difahamkan, mangsa mula meminta pelbagai makanan dan buah-buahan yang sukar diperoleh di ibu kota kepada suaminya itu kerana mengidam selepas doktor mengesahkan dia mengandung sejak dua minggu lalu.

Sebelum kejadian kelmarin, lelaki terbabit cuba memenuhi setiap permintaan isterinya, namun hilang pertimbangan selepas tidak tahan sikap isterinya yang sering meminta makanan yang pelik dan sukar didapati.

Sumber itu berkata, mangsa yang cedera menghubungi rakannya sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, mangsa hanya dirawat sebagai pesakit luar dan tidak menjejaskan bayi dalam kandungannya.

Selepas berbincang dengan ahli keluarga, mangsa yang bimbang perkara sama berulang tampil membuat laporan di balai polis menuntut tindakan diambil terhadap suaminya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.



Wednesday, 30 March 2011

:: Mahasiswa vs masyarakat ?



Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my


thumbnail


MENGIKUT Kamus Dewan, mahasiswa ditakrifkan sebagai penuntut di universiti yang terpilih daripada ribuan calon untuk menjejakkan kaki di menara gading.

Mereka juga dianggap golongan bijak yang mendapat pengiktirafan dan sentiasa dipuji masyarakat kerana membuktikan kecemerlangan akademik.

Bagaimanapun, adakah kecemerlangan akademik memberi kredit kepada golongan itu untuk melakukan apa sahaja termasuk perbuatan maksiat dan pelbagai isu sosial?

Walaupun bukan semua, keberanian golongan itu semakin menjadi-jadi dan dibimbangi jika tidak dibendung lebih awal, ia boleh menjadi parasit kepada pelajar lain.

Justeru, apakah pandangan masyarakat mengenai senario ini? Masih perlukah warga menara gading ini menerima pujian melangit atau harus ‘ditempelak’ supaya sedar daripada mimpi?

Adakah mereka menjadi mangsa keadaan rentetan sikap masyarakat yang suka mendesak, cerewet dan sentiasa mahu menang?

Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia, Prof Abd Rahim Bakar berkata, dalam konteks membuat penilaian atau penarafan terhadap mahasiswa atau masyarakat, kedua-dua pihak perlu meletakkan asas kepercayaan dan bukan mempertikaikan kelemahan atau kelebihan masing-masing.

Menurutnya, sikap suka menunjukkan ‘kebenaran’ dan tidak mahu beralah antara punca konflik masyarakat-mahasiswa sedangkan isunya mungkin kecil dan remeh.
“Apabila dua pihak bertembung dan mahu menegakkan hujah masing-masing, wujudlah masalah yang akhirnya membawa pertelingkahan.

“Hanya kerana tidak mahu beralah, dua pihak yang memerlukan sokongan akan berseteru, akhirnya isu kecil menjadi besar. Alangkah rugi�nya sedangkan masing-masing boleh bersatu meningkatkan kejayaan bersama,” katanya.

Isu masyarakat mempersalahkan mahasiswa dan mahasiswa ‘menolak’ pandangan masyarakat bukanlah baru, namun menjadi ketara akhir-akhir ini kerana pembabitan salah laku golongan di menara gading itu kerap terpampang dalam media massa.

Masyarakat beranggapan mahasiswa hari ini semakin runtuh akhlak manakala mahasiswa pula menjawab, bukan semua terbabit dalam permasalahan itu hingga masyarakat boleh menghukum sewenang-wenangnya. Alasannya, masyarakat turut terbabit dalam gejala serupa tapi lebih suka menyalahkan orang lain.

Mengulas senario saling menuding jari ini, beliau berkata, kedua-dua pihak perlu memahami apakah makna sebenar masyarakat dan mahasiswa sebelum meletakkan sesuatu kesalahan di bahu pihak tertentu.

“Masyarakat kelompok terbesar dan mahasiswa juga sebahagian daripada masyarakat yang berhak untuk bersuara.

“Jika mahasiswa menyalahkan masyarakat, ia umpama menyalahkan diri sendiri. Bagaimanapun, ini bukan lesen masyarakat yang terdiri daripada kelompok bukan mahasiswa menghentam golongan itu sesuka hati.

“Dan, bukan bermakna mahasiswa tidak boleh mengeluarkan pendapat untuk memperbetulkan masyarakat. Masing-masing mempunyai hak asalkan perkara disentuh itu ada asasnya dan bukan sekadar ingin menghangatkan lagi suasana,” katanya.

Mengakui masyarakat hari ini ada bersikap terlebih ‘kepoh’, itu bukan ukuran untuk menghukum keseluruhan institusi, begitu juga tidak adil melabelkan mahasiswa rosak sepenuhnya sedangkan hanya kelompok tertentu saja terbabit dengan salah laku.

Pandangan orang, katanya, selalu merujuk kepada jumlah besar dan tambah memburukkan keadaan apabila ada pihak memperbesarkan semua kejadian bagi menarik perhatian.

“Penafsiran yang salah selalunya mengundang padah dan boleh disalah tafsir. Memang melakukan kesalahan itu individu tapi masyarakat atau mahasiswa tidak melihatnya begitu. Dengan kata lain, yang tidak bersalah juga akan terbabit.

“Sedangkan hanya segelintir perlu menerima hukuman, namun habis semua terpalit lumpur. Sebarang tindakan perlu berlandaskan rasional dan jangan menggunakan alasan logik akal untuk melepaskan diri.

“Konflik perlu dijauhi demi membina keharmonian perhubungan serta kekuatan kerohanian,” katanya.

Pendirian masyarakat juga masih mampu bertahan biarpun sentiasa dikritik, berbanding mahasiswa yang rapuh kerana mereka hanya kelompok kecil.

“Jika masyarakat dihentam, mereka mampu bertahan berbanding mahasiswa. Bagaimanapun, ditegaskan, bukan mahu membela atau menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya cuba memberi gambaran pihak mana lebih ketara menanggung risiko dan pandangan skeptikal.

“Dalam apa juga kejadian, jika pembabitan dimulakan satu pihak, ia tetap salah dan perlu bertanggungjawab atas kesalahan itu. Malangnya, sikap individu suka menyalahkan orang lain tanpa mahu memuhasabah diri menjadikan konflik terus berpanjangan.

“Sentiasa bertoleransi, mendengar pandangan serta teguran dan mahu berubah. Saya percaya jika kedua-duanya boleh berkompromi, hubungan masyarakat-mahasiswa akan harmoni, sekali gus memberi kekuatan kepada negara,” katanya.


Mengikut kajian yang dijalankan Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia, antara faktor terbabit dalam gejala sosial termasuk:

  • Keluarga
  • Kejutan budaya
  • Pengaruh rakan dan persekitaran
  • Kurangnya pendidikan agama
  • Peranan media massa dan teknologi maklumat tanpa sempadan
  • Perasaan ingin tahu dan mencuba

    Antara gejala sosial ‘popular’ termasuk:

  • Seks bebas
  • Pelacuran
  • Jenayah
  • Merempit
  • Pembuangan bayi
  • Dadah
  • Monday, 28 March 2011

    :: Bertuahnya cucu angkat...



    Kebas wang atuk RM65,000


    Oleh Mary Victoria Dass
    maryvictoria@hmetro.com.my

    Kebas wang atuk RM65,000


    JOHOR BAHRU: Dia dijadikan cucu angkat dan ditatang bagai minyak yang penuh, namun segala jasa datuknya dibalas dengan pengkhianatan apabila melesapkan wang pencen milik warga emas itu berjumlah RM65,000.

    Lebih memilukan Yasin Sagi, 80, dari Kampung Majidee Baru, di sini, cucu angkatnya yang dipanggil nama Gemuk, 30-an menipunya dengan mendapatkan cap jarinya ketika menemaninya melakukan urusan di bank.

    Yasin yang mengalami masalah pendengaran berkata, Gemuk tinggal di Stulang, tidak jauh dari rumahnya dan sering mengunjunginya, selain ringan tulang.

    “Dia menggelar saya ‘Atuk’ dan kerana itu saya menjadikannya cucu angkat. Keluarga saya juga menyenangi sikapnya yang tidak berkira selain gemar membantu.

    “Rupa-rupanya itu semua helahnya untuk mencuri duit saya. Kini semua wang hasil titik peluh sepanjang 30 tahun bertugas di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) lesap,” katanya.

    Yasin berkata, dia menyedari Gemuk mencuri duitnya selepas menerima rekod pengeluaran wang di bank antara 23 Disember tahun lalu hingga 4 Januari lalu.

    Menurutnya, sebelum kejadian itu, Gemuk menemaninya ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta sebuah bank di Larkin Perdana untuk membuka buku akaun simpanan bank.

    “Pada 23 Disember, Gemuk membawa saya ke cawangan bank di Jalan Wong Ah Fook mengeluarkan RM2,000 bagi membeli baja. Gemuk kemudian membuat permohonan mendapatkan kad ATM (mesin juruwang automatik) atas nama saya tanpa pengetahuan saya.

    “Saya yang kurang tahu prosedur bank hanya mengikut permintaannya apabila dia meminta cap jari pada satu borang,” katanya.

    Menurutnya, dengan kad ATM itu Gemuk membuat beberapa pengeluaran antara 23 Disember tahun lalu dan 4 Januari lalu, sehingga semua wang pencennya RM65,000 di dalam akaun habis.

    Yasin berkata, dia hanya menyedari wang pencennya licin selepas dimaklumkan menantu, Ungku Chik, 40-an, selepas menerima makluman dari bank mengenai rekod pengeluaran wang menggunakan kad ATM dengan jumlah maksimum RM5,000 setiap hari secara berterusan selama dua minggu.

    “Sejak itu, Gemuk menghilangkan diri. Saya tidak sangka dia menipu dan mencuri duit saya,” katanya. Yasin turut kecewa dengan pengurusan bank berkenaan yang memberi kebenaran kepada individu lain bagi membuat urusan permohonan kad ATM.

    Yasin membuat laporan di Balai Polis Majidee pada 4 Januari lalu dan jurucakap balai polis berkenaan mengesahkan menerima laporan itu.

    “Kami masih menjalankan siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Gemuk menghubungi talian 07-2212999 atau 07-2254422,” kata jurucakap itu.