Murid-murid tak melepaskan peluang menumpang lori, malah perlu meniti jambatan gantung untuk pulang ke rumah di Kampung Ungga. Kemiskinan, jauh bukan halangan untuk ke sekolah demi memastikan anak mereka mampu membaca, menulis dan mengira PENCARIAN ilmu tidak wajar terhenti dalam apa keadaan sekali pun. Sesukar mana laluannya, jejak ilmu perlu dituruti dan didakap erat sebagai penyuluh lakaran landasan kehidupan yang jauh lebih cemerlang seiring pergerakan masa. Ingatan itu kemas tertanam dalam pemikiran masyarakat di kawasan terpencil pedalaman Sabah. Takdir menetapkan mereka jauh di ceruk negeri, dibaluti pelbagai kekurangan hidup jika pembangunan fizikal dijadikan ukuran, namun tanpa sedikit pun mengabaikan kepentingan misi memburu ilmu.
Menjejak penduduk di Mukim Ulu Tomani, Kemabong dekat Tenom, kira-kira 215 kilometer (km) dari Kota Kinabalu mendapati golongan ibu bapa di daerah terpencil itu jelas gigih berusaha memastikan anak mereka tidak tersisih daripada mendapat pendidikan walaupun hakikatnya perjalanan sehala ke sekolah kira-kira 25 hingga 30 km. Nyata, jarak bukan penghalang asalkan anak mereka berupaya membaca, menulis dan mengira. Ketiadaan jalan raya memaksa mereka mencari alternatif bagi memastikan anak mereka dapat ke sekolah lima hari seminggu. Kemiskinan hidup kerana tidak memiliki ilmu bukan untuk diwarisi, sebaliknya dinoktahkan dengan memastikan anak mereka dapat gambaran awal ke jalan lebih bermakna.
Keadaan sebahagian daripada 14 sulap di kawasan berhampiran SK Kemabong yang dibina penduduk dari 11 kampung. Tidak berpendidikan bukan bermakna tidak berakal. Ibu bapa rata-ratanya dari etnik Murut yang sekadar mengusahakan kebun kecil atau menoreh getah, pintar mencari jalan dengan membina pondok atau ‘sulap’ dalam bahasa Kadazandusun berhampiran sekolah. Kawasan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Kemabong mempunyai 14 sulap dibina penduduk dari Kampung Rundum, Semambu, Kepulu, Ketubu, Kerolok, Patiang Tengah, Ahuron, Abingkoi, Sungi, Salang dan Angkarut, semuanya bermatlamat mahukan anak mereka tiba di sekolah sebelum loceng berbunyi. Papan dan kayu yang diperoleh dari hutan berhampiran sekolah dijadikan bahan utama membina sulap. Berbekalkan kemahiran bertukang, mereka mendirikan sulap berukuran kira-kira 3.5 x 5 meter sebagai tempat berteduh. Dengan tiang setinggi kira-kira 1.5 meter, mereka melengkapkan struktur sulap dengan lantai yang kebanyakannya diperbuat daripada buluh dan berdinding papan.
Murid SK Kemabong terpaksa menuntut ilmu di dalam bilik darjah yang sudah usang. Beratapkan rumbia atau zink, mereka berlindung daripada terik matahari dan hujan semata-mata untuk membolehkan si anak ke sekolah, menimba seberapa banyak ilmu tanpa perlu memikirkan soal kemiskinan keluarga. Senario dua atau tiga keluarga berhimpit menumpang teduh dalam sebuah sulap adalah perkara biasa kerana yang penting, setiap pagi anak mereka dapat ke sekolah yang jaraknya kira-kira 100 meter. Lazimnya, keluarga berkenaan mempunyai kaitan persaudaraan dekat seperti ibu dengan anak saudara, sepupu atau adik-beradik. Kudrat anak-anak yang muda usianya itu tidak seberapa untuk mengatur langkah di laluan kerikil dan bersalut debu berterbangan di sepanjang jalan tidak berturap sepanjang 25 hingga 30 km untuk berulang-alik dari rumah ke sekolah. Kalau pun anak-anak itu mula berjalan ketika matahari terbit sekitar jam 6 pagi, hampir pasti tiba di sekolah ketika matahari hampir terbenam.
Dijulang semangat membara mahu mengubah nasib zuriat mereka itulah, ibu bapa sanggup meninggalkan rumah di kampung untuk bersama anak-anak di sulap. Jika kebun getah, jagung, ubi atau pisang memerlukan perhatian, saudara mara terdekat yang memikul tanggungjawab berkongsi hidup di sulap. Sumber kewangan terhad turut membataskan kepulangan anak-anak ini ke kampung halaman. Tambang RM15 seorang untuk menaiki kenderaan pacuan empat bukanlah sesuatu yang murah bagi mereka, justeru hanya cuti persekolahan membawa anak pulang ke kampung dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda milik penduduk yang mengenakan bayaran RM15 seorang. Oleh itu, anak-anak mereka hanya akan pulang ke kampung pada cuti penggal persekolahan.
Bagi memastikan kebun dan rumah di kampung tidak terbiar, ibu bapa bergilir-gilir menghuni di sulap. Sepanjang ketiadaan mereka, saudara terdekat atau jiran membantu memastikan kebun dan kediaman mereka mereka tidak terbiar begitu saja. Ibu bapa yang menetap di kampung dalam jarak di antara dua hingga lima kilometer dari SK Kemabong tidak mempunyai banyak pilihan, selain membiarkan anak mereka menempuh laluan tidak berturap berulang-alik ke sekolah, khususnya dari Kampung Ungga, Kaang dan Malutut. Berbeza dengan kehidupan di bandar atau pekan yang lebih teratur sistem pengangkutan serta prasarananya, anak-anak di pedalaman ini tidak kenal apa itu bas sekolah. Sebaliknya, si kecil semuda tujuh tahun yang baru memasuki Tahun Satu perlahan-lahan menempuh laluan berbukit dan menyeberangi anak sungai dengan meniti titian gantung lima hari seminggu. Kulit yang dibakar terik matahari dan diselaputi debu ketika pulang dari sekolah tidak sedikit pun mematahkan kejituan semangat dan kekentalan di hati mereka untuk menimba ilmu. Namun, sesekali ketika jalan berbukit itu dilalui kenderaan terutama lori, anak-anak kecil itu tidak melepaskan peluang menenggek di belakang lori menjadi penumpang, manakala pemandu lori pula tidak keberatan memanjangkan sifat perikemanusiaan untuk memberi peluang si kecil menikmati sedikit kelegaan daripada menapak sepanjang jalan. Ceria wajah anak-anak ini yang tidak putus-putus bergurau senda sesama mereka sepanjang jalan sewajarnya menerbitkan keinsafan di hati mereka yang jauh lebih selesa kehidupannya.
Pengorbanan ibu bapa meninggalkan kampung halaman untuk menyekolahkan anak dan ketulusan si kecil berlagu riang sepanjang jalan ke gedung ilmu, adalah bukti kesungguhan tertinggi untuk memperbaiki hidup. Tidak keterlaluan jika dirumuskan bahawa golongan serba kekurangan tetapi bersemangat waja ini jauh lebih bijak menelusuri rencam kehidupan dan menghargai kepentingan ilmu berbanding mereka yang memiliki segala-galanya.
Info SK Kemabong:
- Terletak 20 kilometer dari pekan Tenom, Sabah
- 503 murid mendapat pendidikan di sekolah ini
- Sulap (pondok) dibina kira-kira 100 meter dari sekolah
- 14 sulap didirikan di sekitar kawasan sekolah yang dihuni keluarga murid
- Pelajar datang dari 11 kampung berhampiran iaitu, Rundum, Semambu,
Kepulu, Ketubu, Kerolok, Patiang Tengah, Ahuron, Abingkoi, Sugi, Salang dan Angkarut.
- Sekolah ini dibina pada 1970