Wednesday, 16 February 2011

:: Ampang Point banjir...bila hujan 5 minit ?


Sentral: Terperangkap
Oleh Halina Mohd Noor
halina@bharian.com.my
2011/02/16



JALAN berhampiran jejantas di pusat beli-belah Ampang Point dinaiki air.

JALAN berhampiran jejantas di pusat beli-belah Ampang Point dinaiki air.


Jalan berhampiran jejantas di pusat beli-belah Ampang Point kerap banjir

KUALA LUMPUR: Tidak sampai lima minit hujan turun, sudah cukup untuk menenggelamkan jalan berhampiran jejantas di pusat beli-belah Ampang Point dari arah pusat bandar raya sejak dua hari lalu.

Keadaan itu dipercayai mula berlaku sejak Sabtu lalu, menyebabkan kesesakan selama tiga jam bermula jam 5 petang sebaik saja jalan menuju ke jejantas berkenaan tiba-tiba dinaiki air.
Tinjauan Sentral sekitar jam 6 petang mendapati kawasan di situ sesak dengan kenderaan yang tidak dapat melintasi jalan susur ke arah Hulu Klang kerana paras air mula tinggi, manakala pemandu yang melalui jejantas berebut lorong kanan yang paras air lebih rendah.

Sehingga jam 7 petang, empat kereta mengalami kerosakan enjin selepas cuba mengharungi air bagi menyusur ke arah Hulu Klang, manakala dua kereta turut mengalami nasib sama selepas cuba mengharung air bagi menaiki jejantas.

Pemandu kereta terbabit, Aina Rosli, 25, berkata dia tiba di kawasan berkenaan pada jam 5.50 petang ketika hujan baru turun lima minit dan tanpa disedari, air mula bertakung di kawasan berhampiran jejantas.

“Saya dari arah Melawati menuju ke Ampang ketika hujan turun dan apabila tiba di sini, air memenuhi sebahagian jalan menuju jejantas. Enjin kereta mati secara tiba-tiba menyebabkan kami sekeluarga turun untuk menolaknya ke atas jejantas.
“Saya tidak sangka air agak dalam sehingga boleh merosakkan enjin kereta. Banjir berlaku terlalu cepat menyebabkan ramai tidak menyangka paras air agak tinggi dan ini kali pertama saya melihat banjir di situ,” katanya.

Pengguna yang terperangkap dalam kesesakan mendakwa banjir kilat itu dipercayai berpunca daripada longkang tersumbat kerana sebelum ini, jalan berkenaan tidak pernah dinaiki air.

Seorang penunda kereta berkata, kejadian seumpama itu hanya bermula Sabtu lalu selepas hujan turun beberapa minit saja, menyebabkan berlaku kemalangan membabitkan empat kereta.

“Kejadian banjir kilat ini sama seperti Sabtu lalu. Lebih teruk, empat kereta berlanggar antara satu sama lain dan menyebabkan ia mengalami kerosakan enjin selepas dimasuki air.

“Kejadian semalam (kelmarin) menyebabkan kereta terperangkap dalam banjir kilat, malah air juga lambat surut kerana longkang di sini dipercayai tersumbat teruk,” katanya.



Sunday, 13 February 2011

:: Diserang harimau di Hutan Belum.. Grik



Alam haiwan semakin sempit kerana penerokaan tanah oleh penduduk dan pembangunan secara umumnya. Ruang lingkup mencari rezeki yang semakin kurang.. menjadikan haiwan semakin pupus akibat kekurangan makanan dan dibunuh untuk tujuan komersial.. dan antara sebab inilah menjadikan harimau menyerang manusia..


Senduk kayu ketuk kepala pak belang



PARAH...Tambun cedera parah di muka dan kepala diserang harimau.

PARAH...Tambun cedera parah di muka dan kepala diserang harimau.


BEGINI...Tambun menunjukkan ukuran harimau yang menyerangnya.

BEGINI...Tambun menunjukkan ukuran harimau yang menyerangnya.


IPOH: “Harimau itu cuba membaham kepala dan leher tetapi saya memberanikan diri menumbuk kepalanya dengan tangan kanan manakala tangan kiri mencekup mulutnya,” kata Tambun Gediu, 60, lelaki Orang Asli yang cedera diserang harimau di hutan berdekatan rumahnya, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi di Perkampungan Orang Asli Sungai Tiang, Hutan Belum, Grik itu, mangsa yang diserang harimau belang seberat antara 80 dan 90 kilogram itu cedera di kepala, muka, leher, belakang badan dan kedua-dua lutut.

Tambun yang ditemui di Wad 4A, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, semalam berkata, ketika kejadian, dia sedang merangkak sambil menyumpit seekor tupai di hutan berdekatan rumahnya sebelum menyedari harimau tiba-tiba muncul dari belakang dan cuba menerkamnya.

Terkejut dengan kemunculan harimau itu, dia lari menyelamatkan diri dan memanjat pokok berdekatan, namun haiwan berkenaan sempat menerkam kakinya menyebabkan dia terjatuh sebelum diserang dan dicakar.

Ketika itu, dia mampu melengahkan haiwan itu itu daripada mencederakannya dengan menumbuk dan menggenggam mulut harimau itu sambil menjerit meminta tolong.

“Nasib baik isteri saya (Han Besou, 50) mendengar jeritan saya kerana rumah kami tidak jauh dari situ. Isteri saya datang dan mengetuk kepala serta badan harimau itu dengan senduk kayu menyebabkan haiwan itu beredar,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Grik, Deputi Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, Tambun dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Grik (HG) kira-kira jam 8.45 malam kelmarin, 12 jam selepas kejadian itu.

Beliau berkata, luka dalaman dialami mangsa di lutut kanan dan kiri menyebabkan dia dipindahkan ke HRPB semalam bagi rawatan lanjut.

“Kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) mengambil masa agak lama mengeluarkan mangsa bagi mendapatkan rawatan berikutan keadaan perkampungan itu jauh terpencil di pedalaman.

“Mangsa dibawa menggunakan bot dari perkampungan itu ke Jeti Awam Banding sebelum dikejarkan ke HG,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon ketika ditemui selepas melawat Tambun mangsa semalam berkata, lelaki itu dalam keadaan stabil dan baru selesai menjalani pembedahan di lutut.

“Mangsa juga akan menjalani proses rawatan lanjut bagi membersihkan luka dialami akibat diserang harimau itu sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Shabrina Shariff berkata, pihaknya menghantar kakitangan ke kampung berkenaan bagi membuat pemantauan dan mengesan jejak haiwan itu.

Menurutnya, perkampungan itu berdekatan dengan kawasan Hutan Belum dan tidak mustahil haiwan terbabit muncul di kawasan berdekatan kerana ia sebahagian habitatnya.

“Bagaimanapun, kami akan memantau keadaan itu dan menasihati penduduk setempat lebih berhati-hati terutama ketika memburu di hutan,” katanya.



Saturday, 12 February 2011

:: Tinggal serumah... tiada ikatan pernikahan

Serik kahwin

Oleh SHAMRAN SARAHAN
shamss@hmetro.com.my



Serik kahwin

ALIZA... rakan serumah Anis

ANIS... hanya mahu teman seks.

ANIS... hanya mahu teman seks.


KUALA LUMPUR: Mereka bukan wanita simpanan atau kekasih siapapun. Sebaliknya, golongan ini sekadar inginkan lelaki sebagai teman asmara atau ‘sex buddy’ untuk memenuhi nafsu serakah.

Itulah cara hidup ala Barat yang menjadi sebahagian gaya hidup wanita di negara ini. Golongan ini biasanya duduk sebumbung bersama lelaki pilihan mereka tanpa ikatan perkahwinan sah.

Wanita berkenaan hanya memilih lelaki yang sama-sama tidak inginkan komitmen, tidak mahu bercinta dan berkahwin secara formal. Seks hanya untuk memenuhi naluri dan nafsu.

Gaya hidup bebas dan tidak bermoral ini didedahkan kepada Metro Ahad (MA) daripada sumber yang hanya mahu dikenali sebagai Aliza, 26, dan menetap di sekitar Kuala Lumpur.

Menurut Aliza, dia tinggal serumah dengan Anis, 32, janda berasal dari Sabah yang memilih teman seks untuk memenuhi tuntutan batin.

Katanya, teman asmara Anis dikenali sebagai Rizal, kakitangan swasta yang tinggal di selatan tanah air, dan mereka bertemu seminggu hingga dua minggu dalam tempoh tertentu untuk bersama.

“Anis pernah beritahu saya, dia serik dengan kegagalan dalam perkahwinannya sebelum ini. Sebab itu apabila berkenalan dengan Rizal, dia tidak mahu berkahwin dan lebih senang dengan cara hidup sekarang.

“Saya pernah persoalkan sampai bila mereka mahu hidup begitu? Anis menegaskan dia tidak bersedia untuk bersuami semula kerana sibuk dengan komitmen perniagaan. Rizal juga berpendirian sama dan tidak ingin berkahwin,” katanya.

Mengenai perkenalannya dengan Anis, Aliza berkata, mereka tinggal bersama sejak 2008. Namun, Anis jarang ada di rumah kerana sibuk dengan perniagaan kosmetik yang diusahakannya bersama sebuah syarikat pemasaran bertingkat (MLM).

“Yang saya tahu, bila Anis ada di rumah, Rizal pun ada bersama. Pernah juga Anis beritahu, dia akan tinggal bersama Rizal jika tidak berada di Kuala Lumpur,” katanya.

Bagi membuktikan kebenaran dakwaan Aliza, wartawan MA cuba memujuk Aliza untuk bertemu Anis. Tanpa mendedahkan identiti sebenar, wartawan sempat bersua dengan Anis bersama Aliza di sebuah restoran berhampiran kediaman mereka di Jalan Bukit Bintang.

Ikuti perbualan ringkas antara Anis dan wartawan:

Wartawan (W): Kenapa Anis tidak mahu berkahwin?

Anis (A): Saya tak kisah apa orang cakap. Lagi baik begini, saya dengan hidup saya, Rizal dengan hidupnya.

W: Bukankah lebih bagus kalau berkahwin, masing-masing boleh bagi komitmen?

A: Laa... saya buat begini pun sebab tidak mahu apa-apa komitmen. Lagipun, saya sibuk dengan kerja, itu saja sudah cukup.

W: Rizal tidak kisah, tidakkah dia sayang kamu?

A: Dari awal lagi saya ingatkan dia (Rizal), jika pilih saya sebagai pasangan, lupakan soal sayang dan jangan fikir hendak kahwin. Saya tidak perlukan semua itu. Dapat ‘tidur’ dengan saya sudah cukup, saya tidak mahu lebih daripada itu.

W: Kenapa Anis pilih hidup macam ini?

A: Amboi... banyak tanya pula? Saya serik dengan perkahwinan pertama. Saya masih ingin berkerjaya dan tidak mahu memikirkan soal rumah tangga. Saya hanya perlukan Rizal untuk temankan saya.

Sepanjang berbual dengan Anis, dia lebih banyak cuba memujuk wartawan menyertai perniagaan MLM yang diusahakannya.

Apabila wartawan cuba mengutarakan lagi beberapa pertanyaan mengenai cara hidupnya, dia hanya mengatakan tiada apa yang perlu dihairankan.

“Ramai rakan saya yang begini. Kami cuma mahu hidup bebas tanpa kongkongan lelaki.

“Perkahwinan bagi saya membebankan. Namun saya tidak nafikan saya perlukan sentuhan lelaki, jadi inilah cara terbaik untuk memilih pasangan, tidak perlu berkahwin tetapi saya dapat apa yang saya kehendaki,” katanya.

Sementara itu di lokasi berlainan, Aliza sempat memperkenalkan wartawan MA dengan seorang pengurus syarikat swasta di Kuala Lumpur yang menjalani hidup sama seperti Anis.

Wanita berkenaan hanya dikenali sebagai Nita, 33, dan tujuh tahun hidup sebumbung bersama teman lelakinya.

Ketika ditanya mengapa dia memilih hidup begitu, jawapan sama diberi iaitu mereka tidak mahukan komitmen perkahwinan.

“Saya bayar kereta, belanja makan dan perbelanjaan lain dengan wang sendiri. Teman lelaki saya pun sama.

“Saya bebas untuk berbuat apa saja, kami tidak perlukan apa-apa ikatan. Yang penting, saya ada teman untuk ‘bersama’,” katanya.

Sempat juga wartawan menyindir gaya hidup bebas ala Barat yang mereka jalani itu bagaikan hidup orang tidak beragama dan tidak sesuai dengan budaya orang Melayu.

Nita hanya tersenyum dan dengan selamba berkata, dia tidak kisah pandangan masyarakat terhadap apa dilakukannya.

“Saya ada wang dan kerjaya bagus. Kenapa saya perlu ambil peduli apa orang cakap, apa yang saya buat adalah hak individu.

“Kahwin pun tidak menjamin apa-apa, lihat sekarang pun ramai pasangan asyik bercerai berai. Lagi bagus begini, sekurang-kurangnya saya dan teman lelaki tidak terikat dan bebas dengan apa yang kami ingin lakukan,” katanya.



Friday, 11 February 2011

:: Anak muda berbahasa.. kepada Tun Dr. Mahathir..



Jawapan anak muda kepada Tun Dr M

Anak muda
Feb 7, 11
1:03pm

Kami adalah golongan muda yang membesar di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad. Dahulunya kami mengenali Tun sekadar sebagai Dr M.

Bahkan pernah pada suatu ketika, Perdana Menteri pada kami, hanyalah Tun sahaja. Sewaktu kami membesar, mungkin Tun lah orang pertama yang memperkenalkan kepada kepada perkataan-perkataan seperti 'mega', 'wawasan', 'visi', 'yang pertama' dan sebagainya.

Walaupun kita tidak pernah sampai ke Everest, namun semangat kami pernah bersama-sama menawan puncak dunia. Walaupun kami tidak pernah berlayar mengelilingi dunia, namun semangat kita pernah bersama-sama mengiringi Jalur Gemilang merentas lautan dan benua.

Dari segi umur, Tun boleh dianggap sebagai abang kepada Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat. Kami pula ialah cucu kepada Tun dan Tok Guru.

Usia kami jauh berbeza, pengalaman kita juga tidak setara. Kami mungkin tidak sempat melalui zaman-zaman sejarah lalu yang ditempuh oleh Tun dan Tok Guru, dan seolah-olah tidak layak berhujah dengan Tun.

Namun kami merasakan kami perlu bangkit menyatakan pendapat kami selaku golongan yang akan mewarisi kepimpinan negara daripada Tun dan Tok Guru pada suatu ketika nanti.

Tun seorang yang bijak, lalu Tun suruh rakyat membaca, dan kami pun membaca. Pepatah pun ada mengatakan, banyak membaca , luas pengetahuan. Dan syukur kepada Allah, kami tidak rugi daripada membaca dan mencari kefahaman.

Tulisan ini bukan untuk menyokong mana-mana pihak. Sebagai pihak ketiga, kami keliru pada mulanya apabila Tun mendakwa bahawa Tun menegakkan Islam, dan Tok Guru juga berdakwah memperjuangkan Islam.

Namun mengapakah tidak ada titik pertemuan?

Ada angin, ada pokoknya. Pastinya ada perbezaan yang nyata yang membezakan Tun dan Tok Guru, dan pasti salah seorang berkata benar kerana mesej Islam yang dibawa oleh Rasulullah hanyalah satu, dan semua Nabi dan Rasul termasuk Adam, Ibrahim, Musa dan Isa sebelum baginda membawa mesej Islam yang sama.

Seruan-seruan kepimpinan Tun nampak hebat, tapi kami mendapati ia tidak lengkap. Kami sudah ada segala macam 'mega', namun sehingga ke hari ini, isu-isu utama seperti perpaduan nasional,rasuah, pemerintahan yang tidak adil dan tidak bersih, kemiskinan rakyat dan jenayah masih belum ada penyelesaiannya.

Rumah siap, pahat berbunyi. Kami berpendapat pastinya ada 'missing piece of jigsaw puzzle'.

Rupa-rupanya kami mendapati kehebatan Tok Guru ialah pada politikbeliau yang juga merupakan ibadah kepada Allah swt. Tiada pengasingan antara keduanya.

Ucapan-ucapan pembangunan dan kesatuan kepada kami sebagai rakyat tidak pernah lari daripada peringatan persiapan akhirat. Tun mencanangkan 'Wawasan 2020', namun Tok Guru mendidik kami lebih daripada itu, iaitu 'Wawasan Akhirat'.

Inilah wawasan yang jelas dan lengkap, yang memberikan kami kejayaan dunia dan akhirat. Hari esok belum pasti bagaimana bentuknya bagi kita, namun mati menjadi satu-satunya perkara yang pasti buat kita semua. Sebab itulah setelah memerintah, Tok Guru tidak semakin kaya, bahkan rakyat menjadi lebih kaya daripada beliau.

Tun ada membangkitkan persoalan pengharaman arak di dalam majlis rasmi kerajaan. Kami merasakan tidak perlu Tun selak satu persatu 'kejayaan' nasionalis zaman lalu, cukup sekadar jika Tun menjawab mengapa ada di kalangan pemimpin negara yang masih bergelumang dengan arak pada hari ini?

Kami musykil mengapakah masih ada para teknokrat Melayu Muslim yang masih 'setia' dengan arak pada hari ini? Kami keliru mengapakah masih ada teknokrat Melayu Muslim yang tanpa segan silu mengetuai syarikat-syarikat dan perusahaan judi yang masyhur seantero Asia Tenggara?


Jika Tun benar-benar ikhlas kepada seruan persaudaraan sesama Muslim, mengapakah setelah kami, rakyat, mengundi pemimpin secara sah di dalam pilihanraya, secara tiba-tiba dilantik dan 'ditauliahkan' JKKK Persekutuan di negeri-negeri yang tidak diperintah Barisan Nasional?

Sewaktu berlakunya tragedi Sauk pada 2001, mengapakah Tun gagal memimpin semua pihak untuk duduk semeja, berdiskusi bagi memperoleh cara terbaik menangani isu keselamatan nasional pada ketika itu?

Sebaliknya beduk perbezaan terus dipalu dan pemimpin parti Islam dituduh bersubahat. Pada ketika Islam dituduh sebagai pengganas di Amerika dan seluruh dunia, Tun menambah api kemarahan masyarakat dunia kepada agama Islam kita.

Adakah ini seruan yang wajar daripada pemimpin utama negara?

Bahkan Barrack Obama yang usianya separuh daripada usia Tun komited mengajak Democrat dan Republican untuk sama-sama menghadapi cabaran nasional yang lebih besar, namun semangat jiwa besar ini gagal Tun jadikan contoh tauladan kepada pengganti Tun.

Antara 'tragedi' terbesar Tun sewaktu menjadi Perdana Menteri ialah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris pada 2002, yang akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun hadapan. Kami di luar negara meggunakan medium bahasa Inggeris, namun kami dukacita melihat nasib bahasa kita ini.

Analoginya, bahasa Melayu kini ibarat peminta sedekah yang hidup melarat di kampung sendiri. Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan hari ini kini acuh tidak acuh dengan mepertahankan keutuhan bahasa kita, kerana sibuk dengan politik dalaman dan mempertahankan kedudukan Uumno yang semakin rapuh.

Buktinya jelas nyata daripada iklan-iklan di jalan raya, kaca televisyen, drama-drama tempatan dan sebagainya. Rakyat pula ditanam dengan pemikiran 'dengan bahasa kebangsaan, anda tidak mampu maju'.

Bahasalah yang menjadi jiwa bangsa Malaysia. Barangkali Allahyarham Tan Sri Dol Ramli ingin menyuarakan pendapat yang sama, namun lidahnya kelu di hujung usia.

Persoalan bahasa Melayu bukan tanda kami ini pro-Melayu atau anti mana-mana kaum, bahkan inilah tanda kami cintakan perpaduan dan mahukan keharmonian negara. Kami mahukan bahasa sepunya yang mampu menjadi menyatukan kami di dalam komunikasi dan percakapan seharian diperkukuh, namun jelas sekali bahasa Melayu semakin rapuh.

Ini berbeza dengan pendekatan Tok Guru yang benar-benar membawa Islam. Walaupun Kelantan bukanlah negeri yang paling kaya, namun negeri Kelantan telah diiktiraf oleh SPRM yang tahap rasuahnya amat kecil. Lain ceritanya dengan barisan kabinet Tun yang sehingga ke hari ini masih dibicarakan dengan tuduhan rasuah.

Walaupun dilemparkan dengan pelbagai tohmahan dan fitnah melalui media-media pro-Tun dan rakan-rakan, namun Tok Guru terus menjadi titik penyatuan masyarakat berbilang kaum di Kelantan dan seluruh negara.

Serban Tok Guru beliau tidak menambah ketakutan kaum India, Melayu dan Cina, bahkan bertambah kasih dan yakin dengan pemerintahan yang bersih dan cekap yang ditunjukkan Tok Guru.

Tun mengilhamkan slogan 'Bersih, Cekap, Amanah', namun Tok Guru lah yang berjaya merealisasikan slogan ini dalam bentuk praktikal di dalam kepimpinan beliau.

Dulunya Tun pernah berkata Rasulullah menyimpan janggut kerana tiada pisau cukur pada zaman tersebut, namun hakikatnya janggut sejemput Tok Guru tidak menjadi penghalang kepada kepimpinan yang adil untuk semua kaum dan agama, dan kami dapat hidup dengan harmoni. Lantas selayaknya Tok Guru digelar Bapa Perpaduan sebenar pada abad ini, kerana kekuatan beliau bukan pada slogan, tapi beliau berjaya untuk 'walked the talk'.

Akhir kata, sebagai anak muda, kami berharapkan agar Tun menyahut seruan Tok Guru Nik Aziz agar menggunakan kebijaksanaan Tun untuk Islam. Apabila Islam ditegakkan, semua kaum dan agama boleh hidup harmoni dan bahagia tanpa sengketa, kerana Islam itu adil untuk semua.

Anggaplah ini sebagai nasihat daripada si adik yang ikhlas mahukan kebaikan buat si abang, lantas kami cucu-cucu yang sedang membesar ini dapat menjadikannya sebagai suri tauladan dalam mewarisi pemerintahan negara yang kita cintai.

Kami sayang Tun dan Tok Guru. Semoga Allah memanjangkan usia Tun dan Tok Guru, untuk menyumbang kepada Islam.