Wednesday, 16 February 2011

:: Ampang Point banjir...bila hujan 5 minit ?


Sentral: Terperangkap
Oleh Halina Mohd Noor
halina@bharian.com.my
2011/02/16



JALAN berhampiran jejantas di pusat beli-belah Ampang Point dinaiki air.

JALAN berhampiran jejantas di pusat beli-belah Ampang Point dinaiki air.


Jalan berhampiran jejantas di pusat beli-belah Ampang Point kerap banjir

KUALA LUMPUR: Tidak sampai lima minit hujan turun, sudah cukup untuk menenggelamkan jalan berhampiran jejantas di pusat beli-belah Ampang Point dari arah pusat bandar raya sejak dua hari lalu.

Keadaan itu dipercayai mula berlaku sejak Sabtu lalu, menyebabkan kesesakan selama tiga jam bermula jam 5 petang sebaik saja jalan menuju ke jejantas berkenaan tiba-tiba dinaiki air.
Tinjauan Sentral sekitar jam 6 petang mendapati kawasan di situ sesak dengan kenderaan yang tidak dapat melintasi jalan susur ke arah Hulu Klang kerana paras air mula tinggi, manakala pemandu yang melalui jejantas berebut lorong kanan yang paras air lebih rendah.

Sehingga jam 7 petang, empat kereta mengalami kerosakan enjin selepas cuba mengharungi air bagi menyusur ke arah Hulu Klang, manakala dua kereta turut mengalami nasib sama selepas cuba mengharung air bagi menaiki jejantas.

Pemandu kereta terbabit, Aina Rosli, 25, berkata dia tiba di kawasan berkenaan pada jam 5.50 petang ketika hujan baru turun lima minit dan tanpa disedari, air mula bertakung di kawasan berhampiran jejantas.

“Saya dari arah Melawati menuju ke Ampang ketika hujan turun dan apabila tiba di sini, air memenuhi sebahagian jalan menuju jejantas. Enjin kereta mati secara tiba-tiba menyebabkan kami sekeluarga turun untuk menolaknya ke atas jejantas.
“Saya tidak sangka air agak dalam sehingga boleh merosakkan enjin kereta. Banjir berlaku terlalu cepat menyebabkan ramai tidak menyangka paras air agak tinggi dan ini kali pertama saya melihat banjir di situ,” katanya.

Pengguna yang terperangkap dalam kesesakan mendakwa banjir kilat itu dipercayai berpunca daripada longkang tersumbat kerana sebelum ini, jalan berkenaan tidak pernah dinaiki air.

Seorang penunda kereta berkata, kejadian seumpama itu hanya bermula Sabtu lalu selepas hujan turun beberapa minit saja, menyebabkan berlaku kemalangan membabitkan empat kereta.

“Kejadian banjir kilat ini sama seperti Sabtu lalu. Lebih teruk, empat kereta berlanggar antara satu sama lain dan menyebabkan ia mengalami kerosakan enjin selepas dimasuki air.

“Kejadian semalam (kelmarin) menyebabkan kereta terperangkap dalam banjir kilat, malah air juga lambat surut kerana longkang di sini dipercayai tersumbat teruk,” katanya.