Tuesday, 7 June 2011

:: Mahathir tiada bergigi... teringin nak makan jering... kata warga marhaen...







SELASA, 7 JUN 2011


Bila Mahathir Teringin Nak Makan Jering




WAH wah.. wahhhh...Mahathir kita sudah sihat rupanya, sudah dapat bercakap dan bersuara. Sudah keluar dari IJN, bila? Hari ini dia memberi komen tentang barisan kepimpinan baru Pas. Selamat segar, Dok! Biasalah nadanya, sebagai seorang penentang Islam Pas nombor satu penuh sinis dan sindir menikam kalbu. Inilah kehebatan Mahathir kita dia boleh tembak orang selamba saja.

Kali ini dia membuat perbandingan orang Pas dengan memilih pelapik kepala, songkok dan kopiah. Kata Mahathir puak ulama dikalahkan puak songkok hitam. Maksud beliau puak songkok hitam ialah puak yang menyokong Anwar Ibrahim. Mahathir sangat alergik terhadap kedua-duanya, kepada Pas dan Anwar. Dialah yang memecatkan Anwar sehingga Melayu jadi huruhara sehingga hari ini dan Umno terus menyentak-nyentak.

Kata Mahathir dengan kemenangan puak songkok hitam ia memberi kemenangan besar kepada Karpal Singh. Jauh tilikkan dan sindiran beliau. Mat Sabu yang berlawan dengan Nasharudin Mat Isa dan Tuan Ibrahim Tuan Man, Karpal Singh yang menang, bukan orang Pas ataupun Umno. Inilah bidasan orang politik veteran bernas dan berkias menyenakan hati. Sebenarnya juga inilah permainan politik.

Apa dimaksudkan Mahathir kita ni, dengan menangnya puak profesional maka Karpal Singh tidak perlu bimbang lagi dengan Pas yang hendak tegakkan Islam di negara ini. Mahathir cuba memberi fahama bahawa pemimpin yang menang hari ini bukan mempunyai cita-cita Islam.
Dalam kata lain mereka akan membentrakan harapan Pas untuk menubuh negara Islam.

Jadi kerana itu Karpal Singh tidak payah lagi menjadikan dirinya mayat untuk dilangkahi oleh orang-oang Pas yang hendak daulatkan Islam. Kerana orang Pas pun sudah tidak terhingin lagi hendak membangun Islam. Kalau orang Pas masih nakkan Islam mereka tidak pilih Mat Sabu. Sebelum ini Karpal Singh begitu vokal menentang negara Islam versi Pas sehinggakan sanggup mati demi menghalang Islam Pas tertegak.

Wah Mahathir... mudah membuat penilaian dan menghina tahap keimanan Mohamad Sabu dan barisan kepimpinan Pas yang baru. Kita juga tidak tahu rupa-rupanya Mahathir mengikhtiraf kepimpinan Pas selama ini sebagai kepimpinan Islam.

Bila Mahathir beranggapan begitu, rupa-rupanya Mahathir tidak kenal dengan 'sengoti' siapa dia Mohamad Sabu yang dipanggil imam dari kalangan pengikutnya. Apakah istilah 'imam' itu bukan zahir dari rahang Islam. Itulah Mahathir kerana jarang ke Iran maka perkataan imam pun tidak difahami apa ertinya.

Jelas juga Mahathir tidak mengenali organ Pas sedalam-dalamnya. Dia masih mamai barang kali ingatkan Pas macam Umno. Ubat bius di IJN masih belum hilang. Di dalam Pas untuk pengetahuan Mahathir ia bukan dipimpin oleh satu saf, kepimpinan mentadbir dan mencatur jihad saja, tetapi ada dua lapis lagi. Dalam Pas ada Dewan Ulama dan Majlis Syurag Ulama. Kedua institusi inilah yang menjaga Pas dan menjadi roh kepada perjuangan Pas. Adapun individu tertinggi mengusai institusi ini ialah al Mursyidun.

Mereka yang menduduki kedua institusi ini bukan sebarangan. Mahathir sendiri walaupun sudah menjadi PM selama 22 tahun belum tentu dapat duduk dalam institusi ini kalau dia tertakdir menyertai Pas satu hari nanti. Mereka yang menganggotai institusi ini bukan hanya kerana mereka memakai kopiah puteh dan tutup mereka, tetapi yang beramal dengan segala ilmu-ilmunya.

Ertinya Pas tidak boleh ditadbir atau dibawa mengikut arah dan kompas keyakinan seseorang. Pas harus dipandu dan ditetapkan kiblat perjuangan oleh kedua institusi ini. Apabila Mahathir dengan muda menyangkakan bahawa Pas telah merombak cita-cita Islam, sebenarnya Mahathir mendangkalkan ilmu siasahnya sendiri.

Kita nampak, Mahathir kita ini sangat susah hati apabila golongan profesional menang. Kenapa? Kalau orang tidak tahu memang merasakan apa yang dilakukan Mahathir dan pemimpin Umno lain itu satu tindakan yang perlu disokong. Cara Mahathir mengomen menunjukkan seolah dia seorang pemimpin yang komited dengan Islam. Yang berjurus sejak kecil menjujung 'Quran' hingga ke pejabat dan bercita-cita besar untuk menegakkan hukum Allah di atas muka bumi ini! Seorang yang mahu Islam di negara ini ditegakkan atau seorang penentang kepada kerja menghalang Islam wujud di negara ini.

Orang masih tidak lupa siapa Mahathir sebenarnya. Dia adalah bekas PM orang paling bekuasa di negara ini. Selama 22 tahun menjadi pedana menteri. Masa dia menjadi PM Umno tidak pernah sekali pun kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen. Mahathir seorang yang powerful sekali. Dia juga dianggap sakti, keramat dan berani. Barang diminta semuanya diperolehi. Macam Pak Dogol dalam wanyang kulit, dia bersin pun emas akan menggolek ke kakinya.

Dengan kuasa dia telah melakukan apa yang dikehendaki. Paling klasik ialah dia membuang imuniti raja-raja Melayu. Satu tindakan berani yang melambang dan menjadi mahkota keberanian Dr Mahathir seorang perdana menteri sehingga digelar Mahafiraun. Lepas itu dia buang pula para hakim yang tidak sebeulu dengannya.

Sepatutnya dengan keberanian itu Mahathir telah melakukan apa yang dia merasa tidak sempat dilakukan hari ini. Iaitu menghakiskan kekuasaan orang Cina dan India. Atapun menegakkan bukan syiar Islam di negara Islam tetapi perlaksnaan hukum termasuk hukum hudud. Tetapi sayang seribu kali sayang bulu ketiak Cik Minah panjang...

Melihat cara Mahathir kita mengkritik kepimpinan Pas seolah dia adalah pejuang Islam tulen mengalah Osama Ben Ladin. Kita nak tanya Mahathir kenapa semasa berkuasa dulu beliau tidak melaksanakan apa yang teringin hari ini. Kenapa? Tidak ada gunanya Dok kalau kita ingin makan jering relong setelah gigi kita bergonjang dan gigi kacip dan geraham sudah tercabut. Kalau setakat gonyel gonyel (kunyah) telan sudah tidak ada umppp lagi.

Makanya pada saya apa yang disuarakan Mahathir itu tidak lebih daripaa hendak menunjukkan bahawa dia masih sihat, masih sengar dan masih boleh berkata-kata. Ibarat orang berahi jering relong kalau tak dapat mamah pun hidup bau haringnya pun cuku. Sebenarnya kalau dikatakan dia obses kepada Islam, obses kepada Melayu ia hanya lakonan sahaja, sebab semasa dia berkuasa, dia mengabaikan segala ini malahan dalam sudut tertentu dihinanya dan ditentangnya mereka yang ingin laksanakan Islam.

Sesunguhhan sebahagian daripada mala petaka yang dihadapi negara ini termasuk penghakisan kuasa politik Melayu dan timbulnya liberalisme dalam agama Islam adalah hasil didikan dan ajaran Al Mahathir Ibnu Mohamad Iskandar.




Monday, 6 June 2011

:: BN vs PR... nak ke Putrajaya... ?




Sinar Harian, 5 Jun 2011


Ultra kiasu begitu bernafsu untuk menguasai Putrajaya. Berbagai cara dilakukan walaupun terpaksa mengorbankan prinsipnya. Mereka sanggup lakukan apa juga cara, termasuk strategi terbaharu memikat anak muda Melayu untuk menyertai mereka. Mereka tahu generasi lama, terutama yang lahir sebelum dan awal 13 Mei 1969, tidak akan menyertai mereka. Apatah lagi jika mereka faham perjuangan ‘Malaysian Malaysia’. Maka peluang digunakan untuk memikat generasi muda hari ini yang dikatakan tidak ada lagi perasaan 13 Mei di hati mereka.

Dalam usaha untuk memenuhi nafsu serakahnya, parti ultra kiasu mahu menonjolkan imej sebagai parti untuk semua. Parti ini telah melancarkan portal berita bahasa Melayu - Roketkini. Portal yang memfokuskan kepada berita dan analisis itu khusus untuk menarik sokongan pengundi Melayu, yang selama ini dianggap anti-ultra kiasu.

Roketkini akan menjadi wadah untuk menyampaikan dan membetulkan isu-isu yang dieksploitasi oleh pembangkang untuk memburukkan imej ultra kiasu. Ultra kiasu menuduh Barisan Nasional (BN) yang telah berjaya memanipulasi persepsi palsu bahawa ultra kiasu adalah anti-Melayu. Menurut Setiausaha Agong parti ultra kiasu itu, perjuangan mereka adalah untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum. Benarkah?

Bagi membuktikannya, parti ultra kiasu telah melantik bekas wartawan akhbar, berbangsa Melayu sebagai sebagai editornya. Tahniah kepada editor tersebut. Saya amat mengharapkan editor tersebut, yang saya kenali dapat mempergunakan pengalamannya, bagi menyedarkan umat Islam akan bahayanya ultra kiasu ini.

Jangan duduk di situ, seterusnya bersekongkol untuk menjatuhkan Melayu dan Islam. Benar, saya bersetuju, generasi muda mahu perubahan. Sayapun mahu perubahan. Tidak ada sesiapapun yang rasional suka kepada rasuah, korupsi, penyelewengan dan banyak lagi perkara mungkar. Tetapi jangan lupakan sejarah. Jadikan sejarah sebagai iktibar untuk dijadikan panduan melayari masa hadapan. Masih banyak lagi parti altenatif yang boleh dipilih jika kita tidak suka kepada parti yang memerintah hari ini. Tetapi bukan dengan memilih parti ultra kiasu.

Parti ini terlalu bahaya kepada kita sebagai umat Islam. Ambillah iktibar dengan apa yang berlaku di Singapura. Apabila mereka berkuasa, apa yang terjadi kepada nasib Melayu di bumi Melayu. Melayu terus terpinggir dan tidak dipercayai. Jika ada Melayu yang menentang, akan dibuang jauh-jauh seperti yang berlaku kepada Melayu Singapura, Dr. Lily Zubaidah. Melayu tidak lagi dilantik menjadi presiden. Ultra kiasu lebih mempercayai bangsa lain.

Namun, jika adapun Melayu yang dipercayai, mereka akan mengambil Melayu yang sudah tidak ada darah Melayu, tidak ada semangat Melayu dan apatah lagi semangat Islam. Inilah yang sedang berlaku di sana. Apabila perkara ini berlaku, mudahlah untuk mereka memperkudakan Melayu. Akhirnya, Melayu merempat di buminya sendiri.

Perkara ini telahpun kita nampak di Pulau Pinang, walaupun tidak secara jelas. Mereka tidak boleh lakukan secara terang-terang, kerana dari segi strategi tentunya akan menghilang sokongan. Maka dibuat secara perlahan-lahan dan terancang. Menghimpit dan dihimpit. Akhirnya, Melayu berasa tidak ada lagi ketenangan berada di pulau, maka berhijrahlah mereka ke Tanah Besar. Inilah strategi Yahudi di Singapura. Begitulah cara yang digunakan oleh Yahudi untuk menghalau umat Islam di Palestin.

Umat Islam tidak boleh duduk diam melihat keadaan ini. Jika begitulah keadaannya, saya amat mengharapkan supaya Umno segera berubah kerana orang lain dan bangsa lain sudah jauh berubah. Jangan terlalu memperjuangkan bangsa. Umno perlu menukar perjuangannya daripada kebangsaan Melayu kepada Melayu Muslim. Elok juga ditukar nama Melayu kepada Melayu Muslim. Tetapi masih mengekalkan nama Umno, menjadi United Malay Muslim National Organization (Umno), cuma ditambah perkataan Muslim. Mungkin agak sukar, tetapi tidak mustahil. Melayu itu Islam, Islam itu Melayu. Melayu dan Islam sudah sinonim. Lebih cantik dan molek perkataan Melayu Muslim digandingkan kerana ia lebih Islamik dan dapat mengetuk lebih ramai bangsa yang mahukan Islam.

Perlembagaan Umno yang menjunjung bangsa hendaklah diletakkan di tempat kedua. Fasal 3 asas dan tujuan Umno hendaklah diubah kepada Umno adalah sebuah parti politik yang berjuang memartabatkan Islam dan cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara. Jika Umno melakukan sedemikian, saya yakin ramai orang yang akan menyertai Umno, terutama mereka yang berada di atas pagar.

Ingat, parti ultra kiasu kini bercadang untuk bertanding di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan dan Terengganu bagi menguji penerimaan orang Melayu terhadap parti mereka. Sebagai permulaan, mereka berhasrat untuk bertanding di kawasan bandar yang majoritinya adalah orang Cina dahulu, tetapi di negeri majoriti Melayu. Jika berhasil, tidak mustahil selepas ini mereka akan bertanding di kawasan majoriti Melayu di negeri-negeri yang pecahan kaumnya tidak menampakkan majoriti-minoriti, seperti Melaka, Negeri Sembilan dan sebagainya.

Suka saya bertanya kepada sekutunya PAS dan PKR, jika ultra kiasu ingin bertanding di kawasan majoriti Melayu, kerusi siapa yang hendak diambil, PKR atau PAS? Saya tidak pasti sama ada PKR atau PAS sanggup menyerahkan kerusi mereka. Jika diserahkan, terbuktilah bahawa mereka semakin tunduk kepada parti ultra kiasu ini.

Inilah strategi licik parti ultra kiasu ini. Sebenarnya mereka tidak ada pilihan. Parti ultra kiasu ini mesti membuktikan bahawa mereka dapat diterima oleh semua kaum. Pada saya, mereka tidak layak untuk bertanding di kawasan Melayu. Jika mereka benar-benar ikhlas, serahkan kerusi-kerusi parlimen Kuala Lumpur yang majoritinya orang Cina kepada calon Melayu untuk bertanding. Benarkan calon ultra kiasu Melayu bertanding di Bukit Bintang, Kepong, dan sebagainya. Barulah tidak nampak ultra kiasu. Jika tidak, ultra kiasu, tetap ultra kiasu dan tidak boleh dipercayai sampai bila-bila. Sedarlah orang anak muda Melayu.

Diharapkan PAS tidak terperangkap demi masa depan Islam. Berhati-hati jika berkawan dan melayan kawan. Takut tergadai badan. Saya amat mengharapkan supaya kempen kesedaran dilakukan bagi menjauhi umat Islam menyertai parti ultra kiasu yang selalu berkata “langkah mayat aku” (over my dead body) jika mahu menegakkan negara Islam. Apakah kita masih terus bersangka baik?

Ramai yang beranggapan bahawa parti ultra kiasu telah berubah. Mereka bukan seperti dahulu, kuat menentang Islam. Sejak berkawan dengan Pas, mereka sudah berubah. Mula mendekati, memahami dan menerima Islam. Banyak buku dan kitab mengenai Islam telah dibeli dan dibaca oleh pemimpin-pemimpin mereka.

Golongan muda ultra kiasu juga dikatakan jauh berbeza dengan golongan tua yang dikatakan sudah tidak relevan lagi. Atas alasan inilah agak-agaknya mereka mahu mengambil pendekatan pemerintahan Umar Abdul Aziz sebagai panduan mentadbir. Saya pernah juga diberitahu bahawa pemimpin ultra kiasu Pulau Pinang telah mengatakan hasratnya memeluk Islam.

Dalam hati saya berkata: “Alhamdulillah, kerana Pas berjaya mentarbiyyah dan memberikan kefahaman Islam terhadap mereka walaupun hanya berkawan dalam jangka masa singkat”. Persoalannya, adakah semua ini benar? Saya masih tertunggu-tunggu.

Bandingkan pula dengan Umno selama berkawan dengan parti-parti komponennya dalam BN, sekurang-kurangnya saya lihat beberapa menteri kanan bukan Islam memeluk Islam seperti Tun Omar Ong Yoke Lin dan Datuk Leo Michael Toyad. Tahniah, saya tumpang gembira dan bersyukur.

Tertanya-tanya pula saya, mengapa mereka yang tidakpun menyebut atau menjaja nama Umar Abdul Aziz, tiba-tiba boleh pula memeluk Islam. Manakala mereka yang terlalu obsess dengan gaya Umar Abdul Aziz, tidak juga nampak tanda-tanda untuk memeluk Islam. Inilah selalu saya bangkitkan, mesti ada udang di sebalik batu. Slogan Umar Abdul Aziz hanya mahu ‘mencairkan’ hati kita. Wal hal sebenarnya mereka ada agenda lain seperti musang berbulu ayam.

Malangnya, kita tidak pernah mengambil pengajaran. Sekurang-kurangnya belajarlah daripada mentor mereka di Singapura. Sehingga ke hari ini, pemimpin tua ultra kiasu yang tidak lagi menjadi Perdana Menteri, masih lagi berkuasa menentukan hala tuju dan masa depan Singapura. Ultra kiasu Singapura tidak pernah bersangka baik dengan orang Melayu, apatah lagi Melayu di negara kita. Hatta, sehingga ke akhir hayat isteri mentor tersebut masih sempat berpesan supaya jangan percaya kepada Melayu, kerana mereka kuat berpegang kepada Islam

Sebenarnya, ultra kiasu tidak pernah berubah. Perjuangan mereka tetap sama, tidak kira golongan tua atau muda. Malah lebih ultra lagi berbanding dahulu. Apa juga berkaitan dengan Islam akan ditentang habis-habisan walaupun nilai-nilai Islam juga akan kaitan dengan agama mereka. Jika mereka sudah berlembut dengan Melayu, sudah tentu mereka akan cuba menambat hati Melayu dengan memakai pakaitan tradisi Melayu ketika pembukaan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Ini tidak, mereka langsung tidak mahu dikaitkan dengan Melayu.

Kerajaan Kelantan cuba mengharamkan nombor ekor atau loteri. Adakah mereka bersetuju? Fahamkah mereka kepada Islam setelah berkawan dengan parti Islam? Jika tidak percaya, cuba kerajaan Kelantan haramkan arak, judi dan sebagainya adakah mereka akan bersetuju? Jawapannya ini sudah cukup memberikan gambaran sebenar akan ‘belang’ mereka. Tetapi kita tidak pernah serik.

Cuba tanya parti ultra kiasu antara PKR dan Pas, yang mana satukah pilihan mereka? Saya teramat yakin, mereka lebih selesa bekerjasama dengan PKR berbanding Pas. Buat sementara ini, mereka terpaksa menerima Pas kerana pengaruh dan kekuatan Pas masih mencengkam kalangan orang Melayu. Ditakdirkan kekuatan Pas semakin merosot, tunggulah masanya untuk ditendang keluar.

Dalam Islam, memang kita sepatutnya bersangka baik daripada berprasangka, apatah lagi melabelkan mereka. Tetapi tindak-tanduk mereka yang sudah jelas menyatakan penentangan mereka terhadap Islam membuatkan saya ragu-ragu. Mungkin Pas akan bertanya bagaimana pula dengan MCA, Gerakan dan MIC? Tidakkah mereka juga turut tidak bersetuju dengan negara Islam dan dasar-dasar Islam? Jawapannya, mereka juga tidak banyak bezanya, kerana mereka tetap satu dalam tiga atau tiga dalam satu. Saya cuma mengajak kita membuka mata. Ambillah pengajaran setiap yang berlaku.

Apapun sebelum mempercayai orang lain, lebih baik menaruh harapan terhadap saudara seagama. Hassan Al-Banna pernah berpesan, pendirian kita terhadap kepelbagaian kumpulan Islam yang wujud hendaklah berasaskan kasih sayang, persaudaraan, saling bantu membantu dan memberikan janji setia. Agama Allah adalah mudah dan penuh hikmah. Seseorang yang bersikap keras dalam agama, dia akan dikalahkan.




:: Sihir... Afrika...





Senjata sihir Afrika
Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2011/06/05


Pelepas dendam, perangkap wanita dan bunuh

DENDAM dan hasad dengki menjadi gabungan paling bahaya yang mendorong manusia sanggup bertindak luar batasan. Antara ‘senjata’ yang kerap jadi pilihan - penggunaan sihir untuk menghancurkan kehidupan orang lain yang bukan perkara baru malah melepasi sempadan agama, keturunan dan budaya.
Di Malaysia, santau mungkin menjadi perantara yang kerap digunakan untuk menganiaya orang lain sehingga dikatakan boleh membawa maut tetapi di seluruh dunia, amalan voodoo jauh lebih popular dan mengerikan.

Kita sendiri pernah dikejutkan dengan laporan akhbar ini tidak lama dulu mengenai sindiket antarabangsa didalangi warga Afrika di Malaysia yang dipercayai mengamalkan sihir pukau kuno, voodoo untuk memperdayakan wanita tempatan bagi pelbagai tujuan jenayah, termasuk sebagai penyeludup atau keldai dadah. Difahamkan, mangsa turut menjadi habuan seks anggota sindiket sebelum dilacurkan, selain diperalatkan untuk kegiatan pemalsuan wang dan kad kredit hingga ke luar negara. Mangsa biasanya tidak sedar mereka dipukau dengan pemikiran dan kelakuan mereka dikawal anggota sindiket.

Di peringkat antarabangsa pula, Rabu lalu, sekumpulan polis menyerbu sebuah rumah yang juga ‘kilang bayi’ di Lagos, Nigeria dan menyelamatkan 32 remaja perempuan berusia 15 hingga 17 tahun yang dipaksa mengandung dan bayi mereka dijual kepada sindiket antarabangsa, termasuk dijadikan korban bagi upacara voodoo.

Minggu lalu, di New York, seorang warga bandar raya itu mengakui membakar anak perempuannya yang masih kecil dalam satu upacara voodoo. Pada akhir Mac lalu, misteri penemuan cebisan anggota badan seorang budak lelaki di Sungai Thames, London, pada 2001, terungkai apabila dia disahkan menjadi mangsa pembunuhan kejam voodoo.

Pada tempoh sama, di Roquetas de mar, Sepanyol, polis menahan 10 orang dipercayai terbabit dalam sindiket pelacuran yang mana saudara mara wanita itu akan diugut dengan sihir voodoo dan diculik jika enggan menyerahkan anak perempuan mereka untuk dilacurkan. Wanita itu dibawa dari beberapa wilayah Nigeria ke Maghribi sebelum dijual di Sepanyol.
Malah, rangkaian sindiket pelacuran antarabangsa, khususnya yang bertapak di Nigeria, lazimnya menggunakan amalan voodoo bagi memperdaya dan memperalatkan mangsa. Kepercayaan terhadap voodoo itu amat kuat di beberapa bahagian Nigeria dan mangsa sering dipaksa bersumpah oleh ketua voodoo itu supaya patuh kepada anggota sindiket atau bapa ayam.

Apa sebenarnya voodoo ini sehinggakan pengaruhnya menebar sehingga ke pelusuk dunia? Secara tradisinya, voodoo adalah sebahagian daripada upacara keagamaan di Afrika Barat sebelum amalan itu berkembang ke seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat berikutan aktiviti perhambaan oleh penjajah kolonial.

Amalan voodoo itu sendiri mungkin setua benua Afrika itu sendiri tetapi kini sudah meluas jutaan penduduk dunia dari Afrike ke Kepulauan Carribbean, Amerika Utara, Tengah dan Selatan, dalam pelbagai bentuk. Ia dikatakan kepercayaan animisme bagi kaum Fon, Ewe dan Yoruba di benua itu, yang biasanya dimulakan dengan bacaan mantera menyeru semangat roh nenek moyang mereka sebelum menggunakan patung jerami untuk mengenakan mangsa.

Voodoo dipercayai bermula di Haiti pada 1724 dan ramai tidak tahu voodoo itu satu bentuk keagamaan yang mempercayai kewujudan Tuhan. Amalan itu dibawa ke Barat oleh hamba Afrika. Bagi penduduk Afrika, voodoo bukan sekadar agama tetapi juga bentuk perubatan tradisi mereka, pelindung dan cara mengekalkan kebebasan dan identiti.

Malangnya, pihak tidak bertanggungjawab mengamalkan bentuk ilmu hitam yang menuntut manusia dikorbankan. Sisi gelap voodoo digunakan untuk menyeru semangat jahat dan membaca mantera ke atas musuh selain penggunaan patung yang memaparkan diri mangsa atau sasaran. Dalam voodoo - si hidup ‘melahirkan’ si mati dan si mati menjadi roh. Dan roh nenek moyang atau digelar sebagai Loa atau Orisha, melindungi penduduk itu menerusi proses pemulihan dalam bentuk menari, sumpahan dan upacara rahsia. Upacara yang menjadi simbol hidup dan mati dalam bentuk penyerahan tengkorak dan tulang.

Malah, tarian pemulihan itu adalah prinsip utama voodoo. Kesakitan atau penyakit dianggap sebagai pengaruh roh jahat daripada si mati. Semakin lama tarian itu dipersembahkan, ia menjadi kian ‘ganas’ dengan penari itu sebegitu terpukau dan seperti dirasuk bagi memulihkan mereka yang sakit.

Namun, hakikatnya, seperti diakui ramai penyelidik, upacara voodoo dilakukan dalam bahasa rahsia, tarian selepas dirasuk dan diet khas yang dimakan pengamalnya. Roh nenek moyang dikatakan berjalan dalam kalangan orang hidup.

Antara upacara voodoo turut membabitkan pembelian dan penjualan tangkal. Ia juga diubah suai menjadi patung mewakili Tuhan, kepala haiwan yang dikeringkan atau bahagian badan lain. Ia dijual untuk tujuan perubatan dan mempunyai kuasa ghaib. Amalan voodoo asli atau lama turut mengutamakan penggunaan patung yang mewakili semangat atau roh individu tertentu. Patung ini juga boleh dihias berpakaian seperti individu sasaran perbuatan sihir itu.

Pawang voodoo itu akan memuja semangat menerusi perantaraan patung itu dengan tujuan memastikan keinginan tuan punya patung itu dipenuhi. Ini termasuklah soal cinta, perhubungan di tempat kerja selain memenuhi hasad dengki serta membunuh. Namun, pemujaan bagi tujuan cinta, penganiayaan dan bunuh itu hanya boleh disempurnakan jika barangan mangsa seperti gambar, rambut, kuku yang dilekatkan pada patung itu. Menggunakan alat tajam seperti pin dan paku yang menusuk patung dan menyebabkan mangsa sakit dan seterusnya mati.

Bukti hidupnya amalan itu boleh dilihat di Lome, Togo, yang menjadi pasar pelbagai bahan pelengkap amalan dan sihir voodoo ini. Di sinilah segala macam bahan daripada tengkorak haiwan, pelbagai kepala monyet, buaya, ular, kucing selain bangkai burung hantu yang dikeringkan, dijual.

Seorang pengamal voodoo dari Benin, Joseph mendakwa tulang temulang haiwan itu yang dicampur dengan herba lain digunakan bagi tujuan merawat pesakit.

“Bagi mendapatkan bahan mentah, kami perlu ke pasar ini. Ia umpama farmasi perubatan tradisional,” katanya.

Seperti diakui Profesor Antropologi Universiti Michigan-Flint, Judy Rosenthal, biarpun pengamal voodoo lebih bersifat secara sukarela, beliau sendiri sepanjang kajiannya mengenai amalan ini, pernah berdepan dengan sekurang-kurangnya satu kes yang mana kanak-kanak diberikan sebagai hadiah kepada pawang voodoo.

“Amalan ini ada banyak syarat dan peraturannya. Mereka yang mengamalkannya dan kemudian melanggar ajaran itu boleh jatuh sakit dan mati,” katanya.