Monday, 6 June 2011

:: Sihir... Afrika...





Senjata sihir Afrika
Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2011/06/05


Pelepas dendam, perangkap wanita dan bunuh

DENDAM dan hasad dengki menjadi gabungan paling bahaya yang mendorong manusia sanggup bertindak luar batasan. Antara ‘senjata’ yang kerap jadi pilihan - penggunaan sihir untuk menghancurkan kehidupan orang lain yang bukan perkara baru malah melepasi sempadan agama, keturunan dan budaya.
Di Malaysia, santau mungkin menjadi perantara yang kerap digunakan untuk menganiaya orang lain sehingga dikatakan boleh membawa maut tetapi di seluruh dunia, amalan voodoo jauh lebih popular dan mengerikan.

Kita sendiri pernah dikejutkan dengan laporan akhbar ini tidak lama dulu mengenai sindiket antarabangsa didalangi warga Afrika di Malaysia yang dipercayai mengamalkan sihir pukau kuno, voodoo untuk memperdayakan wanita tempatan bagi pelbagai tujuan jenayah, termasuk sebagai penyeludup atau keldai dadah. Difahamkan, mangsa turut menjadi habuan seks anggota sindiket sebelum dilacurkan, selain diperalatkan untuk kegiatan pemalsuan wang dan kad kredit hingga ke luar negara. Mangsa biasanya tidak sedar mereka dipukau dengan pemikiran dan kelakuan mereka dikawal anggota sindiket.

Di peringkat antarabangsa pula, Rabu lalu, sekumpulan polis menyerbu sebuah rumah yang juga ‘kilang bayi’ di Lagos, Nigeria dan menyelamatkan 32 remaja perempuan berusia 15 hingga 17 tahun yang dipaksa mengandung dan bayi mereka dijual kepada sindiket antarabangsa, termasuk dijadikan korban bagi upacara voodoo.

Minggu lalu, di New York, seorang warga bandar raya itu mengakui membakar anak perempuannya yang masih kecil dalam satu upacara voodoo. Pada akhir Mac lalu, misteri penemuan cebisan anggota badan seorang budak lelaki di Sungai Thames, London, pada 2001, terungkai apabila dia disahkan menjadi mangsa pembunuhan kejam voodoo.

Pada tempoh sama, di Roquetas de mar, Sepanyol, polis menahan 10 orang dipercayai terbabit dalam sindiket pelacuran yang mana saudara mara wanita itu akan diugut dengan sihir voodoo dan diculik jika enggan menyerahkan anak perempuan mereka untuk dilacurkan. Wanita itu dibawa dari beberapa wilayah Nigeria ke Maghribi sebelum dijual di Sepanyol.
Malah, rangkaian sindiket pelacuran antarabangsa, khususnya yang bertapak di Nigeria, lazimnya menggunakan amalan voodoo bagi memperdaya dan memperalatkan mangsa. Kepercayaan terhadap voodoo itu amat kuat di beberapa bahagian Nigeria dan mangsa sering dipaksa bersumpah oleh ketua voodoo itu supaya patuh kepada anggota sindiket atau bapa ayam.

Apa sebenarnya voodoo ini sehinggakan pengaruhnya menebar sehingga ke pelusuk dunia? Secara tradisinya, voodoo adalah sebahagian daripada upacara keagamaan di Afrika Barat sebelum amalan itu berkembang ke seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat berikutan aktiviti perhambaan oleh penjajah kolonial.

Amalan voodoo itu sendiri mungkin setua benua Afrika itu sendiri tetapi kini sudah meluas jutaan penduduk dunia dari Afrike ke Kepulauan Carribbean, Amerika Utara, Tengah dan Selatan, dalam pelbagai bentuk. Ia dikatakan kepercayaan animisme bagi kaum Fon, Ewe dan Yoruba di benua itu, yang biasanya dimulakan dengan bacaan mantera menyeru semangat roh nenek moyang mereka sebelum menggunakan patung jerami untuk mengenakan mangsa.

Voodoo dipercayai bermula di Haiti pada 1724 dan ramai tidak tahu voodoo itu satu bentuk keagamaan yang mempercayai kewujudan Tuhan. Amalan itu dibawa ke Barat oleh hamba Afrika. Bagi penduduk Afrika, voodoo bukan sekadar agama tetapi juga bentuk perubatan tradisi mereka, pelindung dan cara mengekalkan kebebasan dan identiti.

Malangnya, pihak tidak bertanggungjawab mengamalkan bentuk ilmu hitam yang menuntut manusia dikorbankan. Sisi gelap voodoo digunakan untuk menyeru semangat jahat dan membaca mantera ke atas musuh selain penggunaan patung yang memaparkan diri mangsa atau sasaran. Dalam voodoo - si hidup ‘melahirkan’ si mati dan si mati menjadi roh. Dan roh nenek moyang atau digelar sebagai Loa atau Orisha, melindungi penduduk itu menerusi proses pemulihan dalam bentuk menari, sumpahan dan upacara rahsia. Upacara yang menjadi simbol hidup dan mati dalam bentuk penyerahan tengkorak dan tulang.

Malah, tarian pemulihan itu adalah prinsip utama voodoo. Kesakitan atau penyakit dianggap sebagai pengaruh roh jahat daripada si mati. Semakin lama tarian itu dipersembahkan, ia menjadi kian ‘ganas’ dengan penari itu sebegitu terpukau dan seperti dirasuk bagi memulihkan mereka yang sakit.

Namun, hakikatnya, seperti diakui ramai penyelidik, upacara voodoo dilakukan dalam bahasa rahsia, tarian selepas dirasuk dan diet khas yang dimakan pengamalnya. Roh nenek moyang dikatakan berjalan dalam kalangan orang hidup.

Antara upacara voodoo turut membabitkan pembelian dan penjualan tangkal. Ia juga diubah suai menjadi patung mewakili Tuhan, kepala haiwan yang dikeringkan atau bahagian badan lain. Ia dijual untuk tujuan perubatan dan mempunyai kuasa ghaib. Amalan voodoo asli atau lama turut mengutamakan penggunaan patung yang mewakili semangat atau roh individu tertentu. Patung ini juga boleh dihias berpakaian seperti individu sasaran perbuatan sihir itu.

Pawang voodoo itu akan memuja semangat menerusi perantaraan patung itu dengan tujuan memastikan keinginan tuan punya patung itu dipenuhi. Ini termasuklah soal cinta, perhubungan di tempat kerja selain memenuhi hasad dengki serta membunuh. Namun, pemujaan bagi tujuan cinta, penganiayaan dan bunuh itu hanya boleh disempurnakan jika barangan mangsa seperti gambar, rambut, kuku yang dilekatkan pada patung itu. Menggunakan alat tajam seperti pin dan paku yang menusuk patung dan menyebabkan mangsa sakit dan seterusnya mati.

Bukti hidupnya amalan itu boleh dilihat di Lome, Togo, yang menjadi pasar pelbagai bahan pelengkap amalan dan sihir voodoo ini. Di sinilah segala macam bahan daripada tengkorak haiwan, pelbagai kepala monyet, buaya, ular, kucing selain bangkai burung hantu yang dikeringkan, dijual.

Seorang pengamal voodoo dari Benin, Joseph mendakwa tulang temulang haiwan itu yang dicampur dengan herba lain digunakan bagi tujuan merawat pesakit.

“Bagi mendapatkan bahan mentah, kami perlu ke pasar ini. Ia umpama farmasi perubatan tradisional,” katanya.

Seperti diakui Profesor Antropologi Universiti Michigan-Flint, Judy Rosenthal, biarpun pengamal voodoo lebih bersifat secara sukarela, beliau sendiri sepanjang kajiannya mengenai amalan ini, pernah berdepan dengan sekurang-kurangnya satu kes yang mana kanak-kanak diberikan sebagai hadiah kepada pawang voodoo.

“Amalan ini ada banyak syarat dan peraturannya. Mereka yang mengamalkannya dan kemudian melanggar ajaran itu boleh jatuh sakit dan mati,” katanya.