Sunday, 6 November 2011

:: Dahagakan belaian...






Curang akibat dahagakan belaian

BERMULA dengan perkenalan biasa akhirnya Mariam (bukan nama sebenar) jatuh cinta dengan Darus (bukan nama sebenar). Darus yang pandai mengambil hati membuatkan Mariam yang sudah bersuami jatuh cinta dengan lelaki itu. Hatinya sentiasa berasa seronok apabila mereka berjumpa.

Ia ditambah pula dengan keadaan Mariam yang sering makan hati ekoran tingkah laku suaminya, Mustapa (bukan nama sebenar) yang tidak pernah lekat di rumah kerana sibuk dengan urusan kerja. Kehadiran Darus mengisi kekosongan itu.

Disebabkan itu Mariam sering bersendirian. Biarpun ditemani anak-anaknya seramai tiga orang namun naluri ingin di sayangi sentiasa menebal.

Itu kelebihan yang ada pada Darus yang sentiasa bertanya khabar dan sering berhubungan melalui laman sosial di Internet.

Biarpun Darus sudah beristeri dan mempunyai dua orang anak ia bukan penghalang untuk Mariam menjadikannya sebagai tempat untuk meluahkan perasaan dan akhirnya menjadi kekasih.

Dua tahun mereka berhubungan secara bersembunyi, tanpa diketahui oleh isteri dan suami masing-masing.

Akui Mariam, setiap kali dia berjumpa Darus, anak-anaknya pasti menjadi peneman sehinggakan mereka rapat dengan kekasihnya.

"Suami saya hanya pandai memberi wang kepada kami anak beranak. Selebihnya semua saya kena uruskan sendiri,'' ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kata Mariam, biarpun di mata masyarakat mereka bagaikan sebuah keluarga yang sempurna, namun hatinya sering diabai dari dimanja dan disayangi suami.

"Pernah juga saya cuba meluahkan perasaan saya kepada suami namun sikapnya yang ego hanya menyebabkan saya sakit hati akhirnya,"katanya.

Ceritanya lagi, setiap kali cuti sekolah suaminya hanya akan memberikan wang untuk dia dan anak-anak pergi bercuti. Suaminya tidak turut serta kerana lebih mementingkan urusan kerja.

"Memanglah pada mulanya saya seronok kerana diberikan wang tetapi setelah 15 tahun hidup bersama, timbul rasa bosan. Wang tidak dapat menggantikan dirinya dan memberikan kebahagiaan kepada kami semua,'' ujarnya yang pernah bekerja bagaimanapun diminta berhenti untuk menguruskan anak-anak.

Kini, memandangkan Mariam sudah mempunyai teman baru yang sanggup menjadi peneman, dia nekad untuk meneruskan perhubungan itu.

"Pernah saya menyuarakan untuk meninggalkan Mustapa, tetapi suami saya itu tidak mengendahkan permintaan saya.

"Suami saya seperti robot. Tiada perasaan. Tidak pandai mengambil hati. Sudah lama saya bertahan dan menyimpan perasaan ini,''ujarnya.

Seterusnya, rasa cinta pasangan itu bersatu dalam seribu kenangan manis. Mereka sering berutus pesanan ringkas dan setiap malam Mariam diamuk rindu dendam kepada Darus.

Jika ada kelapangan, pada hujung minggu Darus dan Mariam akan berjumpa di luar. Jika dahulu diringi anak-anak , kini mereka banyak keluar berdua. Anak-anak tinggal di rumah bersama pengasuh.

"Kadang-kadang kami keluar sehingga lewat malam. Namun apa yang hendak dirisaukan, apabila saya balik ke rumah, Mustapa masih belum pulang lagi dari pejabat.

"Biarpun begitu saya sendiri tidak pernah bertanya mengenai keadaan rumah tangga Darus. Apa yang terjadi terhadap isteri dan anak-anaknya.



"Apa yang saya tahu, Darus berada bersama saya selalu dan kami sebenarnya pasangan yang sehaluan dan sejiwa," katanya.

Mariam mengakui, ketika bersama, Darus sedikit pun tidak pernah bercerita mengenai keluarganya.

Sehingga kini ujar Mariam, perbungan mereka berdua semakin rapat sehingga tidak sanggup berpisah lagi.

Ada juga di kalangan rakan-rakan yang menasihatkan agar Mariam berhenti berjumpa Darus sebelum Mustapa mengetahui perlakuannya itu. Namun Mariam tidak mengendahkannya.

Tetapi Mariam masih bersyukur kerana dia masih mampu mengawal perasaannya daripada melakukan hubungan seksual dengan Darus biarpun setiap kali bertemu perasaan batinnya semakin bergelora terhadap lelaki itu.