Thursday 11 February 2010

:: Kapal selam KD Tunku Abdul Rahman tidak boleh menyelam?

11 Februari, 2010 17:46 PM

Masalah Teknikal Punca KD Tunku Abdul Rahman Tidak Boleh Menyelam

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Panglima Tentera Laut Jen Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mengesahkan terdapat kerosakan teknikal pada kapal selam pertama negara KD Tunku Abdul Rahman yang menyebabkan ia tidak boleh menyelam.

Beliau berkata kerosakan mekanikal itu dikesan pada 17 Jan lepas ketika kerja penyelenggaraan dilakukan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar, Sabah.

"Kerosakan itu melibatkan bahagian yang menyalurkan tekanan air keluar masuk yang menyebabkan kapal itu gagal untuk dilancarkan ke bawah permukaan air," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Anggota Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) di sini Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris Rabu yang melaporkan kapal selam pertama negara itu gagal menyelam berikutan masalah teknikal yang dialami sejak tiga bulan lepas.

Abdul Aziz berkata berikutan kerosakan itu, kapal selam yang tiba secara rasmi di perairan negara pada 3 Sept tahun lepas dinasihat untuk tidak menyelam kerana dikhuatiri membahayakan.

"Kerosakkan itu hanyalah kerosakan kecil dan kini sedang dibaik pulih oleh kontraktor yang dilantik, alat gantinya sudah diperoleh dan kerja menyelenggara sedang dilakukan," katanya.

Abdul Aziz berkata KD Tunku Abdul Rahman turut mengalami kerosakan sebelum Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima) akhir tahun lepas yang melibatkan kerosakan kecil di bahagian sistem penyejuk air laut.

"Kerosakan yang dialami tidak mengganggu sistem utama kapal selam itu, bagaimanapun kami tetap memandang serius perkara itu," katanya.

Beliau berkata kontraktor yang dilantik memberi jaminan ia akan pulih minggu depan dan sebaik selesai, kapal itu akan memulakan latihan ujian perairan tropika pada 18 Feb ini.

KD Rahman atau Scorpene merupakan kapal selam jenis tempur konvensional yang berkemampuan membawa 10 torpedo dan 30 pemusnah periuk api itu, mampu beroperasi mengawasi perairan negara pada kedalaman 100 hingga 200 meter.

Antara kelengkapan Scorpene ialah enam tiub peluru berpandu yang boleh dilancarkan serentak iaitu peluru berpandu anti kapal permukaan dan torpedo anti kapal selam.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment