Sunday 4 July 2010

:: Pilihanraya ke-13 dah hampir ?

Empat Faktor Pengaruhi Sikap Rakyat Terhadap UMNO - Najib

PEKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan empat faktor penting yang mempengaruhi sikap dan keperluan rakyat terhadap parti UMNO sebagai parti yang boleh membela nasib mereka.

Beliau berkata, faktor pertama adalah sama ada rakyat berpuas hati dengan kepimpinan di peringkat nasional, negeri, bahagian dan cawangan tentang sesuatu program yang dilakukan.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, pelaksanaan dasar dan sesuatu keputusan yang diambil itu akan dilihat oleh rakyat sebagai ukuran bagi meningkatkan khidmat kepada masyarakat.

"Faktor kedua pula adalah bagaimana kepimpinan negeri menguruskan soal permohonan tanah, sama ada tanah yang mahu diterokai, soal perumahan dan perkara tertentu," katanya ketika berucap pada mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pekan di sini hari ini.

Najib berkata, faktor ketiga pula melibatkan penilaian masyarakat terhadap pengurusan kepimpinan peringkat akar umbi, cawangan dan bahagian dan rakyat mendapat kepuasan seperti mana penilaian yang dibuat di peringkat nasional.

"Faktor terakhir adalah peranan wakil rakyat yang dipilih melalui pengundian pada pilihan raya umum lalu sama ada mereka disenangi pengundi itu sendiri atau sebaliknya," katanya.

Menurutnya, tsunami politik akan berlaku sekiranya faktor-faktor berkenaan menjadi faktor negatif di mana rakyat tidak menyenangi dengan kepimpinan di peringkat nasional, negeri, parti dan wakil rakyat itu sendiri.

"Justeru, saya menyeru semua pemimpin parti tidak kira di peringkat akar umbi mahupun bahagian harus melaksanakan tanggungjawab mereka demi kepentingan rakyat," katanya. Beliau juga meminta semua cawangan dan bahagian mempermudahkan urusan pendaftaran ahli baru yang ingin menyertai UMNO bagi menunjukkan peranan parti yang sedia membantu dan bersikap terbuka dalam apa jua perkara melibatkan soal rakyat.

Katanya, soal pendaftaran ahli tidak boleh dibuat secara bermusim sebaliknya ia perlu dilakukan secara berterusan dengan menganjurkan pelbagai aktiviti berfaedah yang boleh menarik minat untuk menyertai parti itu.

Dalam pada itu, mesyuarat itu juga mengusulkan usul tergempar apabila menyokong kepimpinan Perdana Menteri yang membuat keputusan tidak meluluskan lesen pertaruhan sukan sempena Kejohanan Bolasepak Piala Dunia.

Usul yang dibawa oleh Pengerusi Biro Agama UMNO Bahagian Pekan, Mohd Arippin Daud itu menyatakan mereka tetap mempertahankan keputusan Perdana Menteri walaupun terdapat pihak tertentu yang mendesak supaya meluluskan lesen tersebut. - BERNAMA


...............................................................................


BN Dan Parti Komponen Perlu Hadapi Pilihan Raya Tanpa Dolak-dalik Lagi - Hishammuddin

BANGI, 4 Julai (Bernama) -- Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata masanya telah tiba bagi Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, membuktikan bahawa kelemahan dan kesilapan mereka yang wujud sebelum ini telah berjaya diatasi.

Oleh itu, BN dan semua parti komponennya kini perlu bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 tanpa dolak-dalik lagi, kata beliau.

Menurut beliau, alasan-alasan klise dan remeh yang sering digunapakai sebelum ini tidak boleh lagi digunakan sebagai faktor penyokong untuk 'lari' dari bertanding dalam pilihan raya.

Katanya, pindaan terhadap perlembagaan (parti) dan transformasi menyeluruh di dalam Umno adalah langkah drastik yang diambil untuk kembali memperkasakan parti, sekaligus membolehkan Umno muncul sebagai parti komponen BN pertama yang berani bertindak sedemikian rupa.

"Kita tidak ada pilihan. Kita kena siap sedia, sampai bila kita nak beri alasan kita tak bersedia? Sampai bila kita nak katakan bahawa kita belum mampu berdepan dengan pilihan raya umum? Sampai bila kita nak katakan bahawa kita masih lagi dibelenggu dengan masalah-masalah yang terpaksa kita hadapi masa pemulihan.

"Tak boleh lagi dah. Masa dah sampai untuk kita bangkit, masa dah sampai untuk kita tunjukkan pada orang ramai bahawa Umno dah insaf, sedar, dah muhasabah diri, dah buat perancangan dan akan lakukan transformasi," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Serdang di sini.

Menteri Dalam Negeri itu menyatakan demikian ketika merujuk kepada kenyataan seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang akan mengusulkan supaya Badan Perhubungan Umno Negeri di lima buah negeri kembali diterajui oleh kepimpinan parti negeri terbabit.

Ini kerana, jelas Ahmad Zahid, keadaan Umno di negeri-negeri berkenaan iaitu Selangor, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah, dan Wilayah Persekutuan telah kembali mantap dan pulih.

"Memang kepimpinan di semua peringkat negeri mesti diteliti dengan sebaik mungkin kerana yang kita nak pastikan ialah kemenangan calon kita dan parti di setiap negeri," katanya.

Ditanya apakah beliau telah bersedia untuk melepaskan jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Terengganu kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, Hishammuddin berkata, aspek itu akhirnya akan ditentukan oleh ahli-ahli parti.

Menjawab soalan mengenai pemulihan ke atas negeri-negeri yang BN tewas, beliau berkata aspek tersebut mencakupi tiga pelan utama iaitu pelaksanaan (program) parti dalam konteks dan agenda kerajaan, transformasi parti serta pencapaian wakil rakyat dan calon yang ingin diketengahkan.

-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment