Hargai roh Perlembagaan
PERIHAL Perlembagaan dan peruntukan-peruntukan istimewa untuk orang Melayu yang terkandung di dalamnya sering menjadi perhatian. Selepas prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-12 Mac dua tahun lalu, ketetapan yang disepakati dalam ‘kitab keramat’ itu semakin hangat diperkatakan.
Intipati Perlembagaan dipandang dan dibincangkan dari pelbagai sudut. Orang Melayu bercakap mengenai kedudukan dan keistimewaan mereka di sisi Perlembagaan. Orang bukan Melayu mahu diberikan perkara-perkara yang ‘difahami’ sebagai hak mereka yang turut membayar cukai di negara ini.
Turut dibahaskan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan yang ditakrif melangkaui apa yang diperincikan oleh Suruhanjaya Reid. Islam yang menjadi agama rasmi negara ini tidak dilihat sedemikian oleh bijak pandai perundangan. Maka ditimbulkan pula konflik Islam dan undang-undang Islam termasuk hudud dan qisas. Malaysia juga dilihat oleh bijak pandai itu sebagai bukan negara Islam berdasarkan fahaman bahawa Islam bukan agama Persekutuan. Maka dilaungkan Malaysia adalah negara sekular.
Muncul juga kumpulan yang mahu mewujudkan perlembagaan baru, kononnya peruntukan yang digubal kelak lebih sama rata. Tidak diketahui sejauh mana kesamarataan yang terkandung di dalam agenda perlembagaan kumpulan tersebut.
Lebih menarik lagi perihal yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia turut menarik perhatian pemimpin negara jiran yang satu ketika dulu pernah bernaung di bahawa Malaya. Selepas 47 tahun keluar dari Malaya, pemimpin Singapura, Lee Kuan Yew mendakwa Malaysia sebuah negara yang tidak adil dan menyisihkan kaum-kaum lain.
Penganalisis politik, Dr. Chandra Muzaffar turut menyorot peruntukan yang terkandung di dalam Perlembagaan berkaitan keistimewaan orang Melayu.
Menurut beliau, keadaan tidak sama rata timbul apabila pemimpin Melayu membuka pintu dengan memberikan kerakyatan segera kepada masyarakat bukan Melayu ketika negara mencapai kemerdekaan.
“Sekelip mata saja golongan bukan Melayu diberikan kerakyatan. Ini merubah peta demografi. Jadi, masyarakat Melayu sebagai tuan rumah yang membuka pintu kerakyatan negara kepada kaum bukan Melayu mahu memelihara kedudukan dan kepentingan mereka terutamanya dari segi pendidikan, pekerjaan dan pemilikan harta.
“Ini bagi memastikan orang Melayu tidak kehilangan atau kerugian apabila bersikap pemurah dengan pemberian kerakyatan berkenaan. Terma warganegara yang diberikan di Malaysia juga agak luar biasa,” jelas beliau yang juga Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (Just).
Bilakah perihal Perlembagaan terutama berkaitan peruntukan berkait dengan orang Melayu seperti Perkara 153 berhenti diperkatakan? Atau perlukah peruntukan baru ditambah di dalam Perlembagaan untuk menghentikan polemik mengenainya.
Profesor Abdul Aziz Bari ketika diajukan persoalan tersebut berkata, sama ada peruntukan baru perlu ditambah atau tidak bukan isu kerana semua orang atau pihak ada perkara dan peruntukan yang mereka tidak puas hati.
‘‘Dan mungkin ada yang mahukan perlembagaan ini, atas apa alasan, dibuang terus dan diganti dengan yang lain. Kesimpulannya buat yang baru akan menimbulkan masalah dan dengan itu semua pihak kena menerima apa yang ada dan cuba berkompromi,’’ katanya.
Sempurna
Mengenai sama ada Perlembagaan negara telah sempurna, pensyarah Undang-Undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu menegaskan, sebagai dokumen buatan manusia ia sememangnya tidak sempurna. Bagaimanapun tidak bermakna bahawa perlembagaan yang ada tidak sempurna atau cacat, katanya.
Seperkara yang ditegaskan oleh Abdul Aziz ketika ditanya mengenai hak bukan Melayu yang dikatakan pihak tertentu sebagai disisihkan adalah Perlembagaan sudah menyatakan bahawa ia tidak harus menafikan hak bukan Melayu dan persoalan itu sepatutnya sudah selesai.
‘‘Perlu ingat bahawa Suruhanjaya Reid hanya beri 15 tahun. Sekarang sudah lebih 50 tahun. Kalau diteruskan ekonomi negara akan hancur dan orang Melayu yang paling parah. Orang lain punya kekuatan untuk bersaing di luar negara,’’ katanya.
Persoalan yang sering dibangkitkan berkaitan peruntukan istimewa seolah-olah mahu mengatakan bahawa orang Melayu tidak perlu bekerja keras dan tidak perlu ada merit untuk mereka berjaya dalam sesuatu bidang.
Bagi Abdul Aziz, dakwaan seperti itu juga tidak timbul kerana tindakan afirmatif di mana-mana pun bertujuan membetulkan kepincangan; khususnya yang berpunca dari sejarah dan kesilapan lampau. Bukan memberi kelebihan.
Menoleh ke belakang, beliau menyoal semula, mengapa baru tahun-tahun kebelakangan ini perihal Perlembagaan dan hak istimewa orang Melayu beria-ia dibangkitkan.
Juga mengapa pula kaum-kaum lain semakin kerap melaungkan pelbagai hak yang dikatakan juga menjadi hak mereka.
Secara berterus-terang beliau mengaitkannya dengan kemerosotan prestasi parti induk Melayu dalam pilihan raya umum lalu yang membawa kepada kebimbangan kedudukan orang Melayu akan terjejas.
Sedangkan beberapa perkara yang berkait rapat dengan Melayu seperti kepentingan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tidak begitu dipertahankan sebelum daripada tempoh tersebut.
Katanya, tindakan mempertahankan kedudukan orang Melayu dan Perlembagaan itu sendiri mesti dilihat dalam konteks negara dan bernegara. Soal kenapa ia dikekalkan tak perlu dijawab.
‘‘Yang penting Perlembagaan ini perlu dikekalkan kerana ia adalah tonggak pemerintahan; dokumen nilai dan jati diri negara.
‘‘Sampai kiamat isu tak puas hati ini tak akan selesai dan kita perlu dewasa menerimanya. Ini berlaku di semua negara. Di Amerika Syarikat mereka terpaksa berperang untuk menyelesaikan isu sama rata dan perhambaan. Mahukah, dan mampukah kita berbuat begitu?’’ soalnya.
Persoalan lain yang diajukan adakah tanpa perlembagaan kesemua ‘hak’ orang Melayu akan terhapus biarpun ada tindakan bersepadu yang kemudiannya akan ‘melayani’ semua kaum atas prinsip kesamarataan.
Katanya, apa yang tertera di dalam Perlembagaan bukan hak; ia sekadar kedudukan istimewa yang maksudnya kabur di sisi undang-undang.
‘‘Kalau kita baca betul-betul Perkara 153(1) ia sebenarnya ‘need-based’ dan bukan ‘race-based’ dan inilah sebenarnya yang kita boleh simpulkan kalau kita fahami Perkara 153 dalam konteks asal; yakni Perjanjian 1948, Perlembagaan 1957 dan 1963 dan seterusnya perkembangan sehingga sekarang,’’ katanya.
Mengenai sejauh mana perlunya kesamarataan dalam negara seperti Malaysia, beliau berpendirian bahawa prinsip atau hak itu perlu ada di mana-mana; hatta dalam keluarga.
‘‘Setakat mana? Itu kita tentukan mengikut keperluan dan keadaan semasa. Susah kita nak sebut macam mana,’’ katanya.
Apa yang pasti, memperkatakan tentang Perlembagaan dan peruntukan yang terkandung di dalamnya menuntut pemahaman, tolak ansur dan paling penting komitmen semua pihak untuk mengiyakan segala-gala yang telah diputuskan sejak negara mencapai kemerdekaan.
Jika Perlembagaan menetapkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, maka serlahkanlah fakta bahawa Malaysia bukan negara sekular. Seperti mana terang dan jelas peruntukan yang menyebut bahawa bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dalam semua hal, maka usaha ke arah memartabatkan bahasa tersebut baik dalam sistem pendidikan, perundangan, ekonomi mahu pun kehidupan seharian mesti dilaksanakan secara serius.
Apabila pihak-pihak yang sepatutnya menjaga ‘kemuliaan kitab keramat’ itu tidak bersungguh-sungguh menghargai segala keistimewaan yang telah ditawarkan, maka akan ada pihak yang mengambil kesempatan menggunakan setiap inci kelemahan untuk melaungkan tuntutan yang cuba dihalalkan atas nama pembayar cukai.
Hakikatnya, orang Melayu tidak perlu gentar akan terhapusnya segala keistimewaan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan jika kerajaan sedia ada terbukti telah melakukan segala-galanya untuk memenuhi keperluan bangsa Melayu dan bukan Melayu.
Sebaliknya, jika peruntukan sedia ada hanya murni di atas kertas dan tersorok di celah-celah lipatan sejarah, maka apa gunanya segala keistimewaan lantaran ‘tuannya’ sendiri tidak mahu memberi penghargaan.