Wednesday 8 September 2010

:: Pesanan KPN.. Tan Sri Musa Hassan




Senarai Pesanan Tan Sri Musa

8 September 2010

Majlis serah tugas ini adalah satu petunjuk bahawa saya akan melalui persaraan seperti yang diwar-warkan oleh Menteri Dalam Negeri (Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein) pada sidang akhbar baru-baru ini,” demikian mula ucapan Tan Sri Musa Tan Sri Hassan Ketua Polis Negara yang akan bersara dari jawatan itu pada 12 September ini.

Majlis serah dan terima tugas itu berlangsung di Mess Pegawai Kanan, Bukit Aman itu disaksikan oleh Ketua Setiausaha KDN Dato’ Sri Mahmood b. Adam dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar yang disebut-sebut sebagai pengganti Tan Sri Musa. Tidak ketinggalan ialah pegawai-pegawai tinggi PDRM dan juga ketua Polis Negeri seluruh negara.

“Saya yakin Tan Sri Ismail dapat berkhidmat dan saya yakin khidmat yang diberikan akan lebih baik. Bagaimanapun beliau memerlukan sokongan kerana beliau tentu tidak dapat bekerja sendirian. Jawatan Ketua Polis Negara satu jawatan yang berat. Dengan semangat yang jitu, ikhlas dalam tugas dan berserah kepada Allah , Insyaallah kita pasti akan berjaya. Itulah yang saya amalkan,” katanya.

Tan Sri Musa menambah orang awam memberi kritikan kerana Polis (PDRM) dilihat tidak menjalankan tugas dengan baik, dilihat tidak boleh dipercayai dan dilihat terlibat dalam rasuah. Selama ini beliau bersama Tan Sri Omar sentiasa memikirkan strategi terbaik untuk mengatasi perkara itu.

“Pesan saya kepada Tan Sri Ismail, teruskan lah perancangan dan setiap strategi yang telah dirancang sebelum ini. Banyak tenaga digunakan untuk memikirkan strategi itu. Dalam PDRM juga janganlah ada puak. Di bawah saya, saya telah memastikan agar kem berpuak-puak ini tidak wujud, sikap berpuak-puak hanya akan menghancurkan PDRM” katanya.

Menurut beliau lagi jawatan Ketua Polis Negara banyak cabaran. Tan Sri Ismail diharap cekal dan biar dikritik sekalipun beliau harus tegas dengan halatuju yang difikirkan baik.

Demi maruah PDRM, jangan menjadi peminta sedekah, PDRM tidak boleh meminta wang dari orang lain, PDRM ialah tempat untuk berkhidmat kepada orang ramai, PDRM wujud untuk menjaga keselamatan negara, PDRM wujud untuk memastikan kedaulatan Raja-raja Melayu,” katanya dengan tegas.

Pesan beliau lagi kepada Tan Sri Omar ialah membuat keputusan berlandaskan undang-undang, tegas dengan keputusan dan jangan berubah keputusan. “Do not act as a yes man, kita bertindak dan mengambil tindakan berlandaskan fakta. PDRM akan rosak jika kita ‘yes man’. Negara ini akan lingkup jika PDRM yes man,” katanya dengan penuh makna.

“Saya telah diperhatikan oleh masyarakat dan sekarang giliran Tan Sri Ismail pula. Buatlah kerja baik-baik. Biar mati bermandi darah demi untuk menjaga negara,” katanya.

Lewat ucapan terakhir beliau sebagai Ketua Polis Negara , Tan Sri Musa berharap kenaikan pangkat Ketua-ketua Polis tidak ditangguhkan lagi.

–team berita ikdn



No comments:

Post a Comment