Thursday, 13 January 2011

:: Kemanusiaan menipis.. dibuang keluarga..




Wilayah: Keluarga enggan terima
Oleh Matzidi Dris
mzidi@bharian.com.my
2011/01/13

Bekas pesakit mental jadi 'penghuni tetap' Hospital Sentosa

KUCHING: Ibarat 'dibuang terus' oleh ahli keluarga. Itulah nasib 154 bekas pesakit mental di Hospital Sentosa, Jalan Penrissen, Kota Sentosa, di sini yang disahkan sudah sembuh tetapi tidak dapat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

Ada anggota keluarga mereka yang tidak dapat dikesan serta tidak pernah menjenguk mereka di situ, selain ada juga yang tidak lagi mengaku bekas pesakit terbabit sebagai ahli keluarga dan enggan menerima mereka kembali.
Malah, ada yang memberikan alamat palsu ketika memasukkan ahli keluarga mereka yang menghidap sakit mental ke hospital berkenaan sehingga tidak dapat dikesan oleh pihak hospital apabila pesakit terbabit sudah sembuh.

Akibatnya, bekas pesakit mental malang berkenaan termasuk 86 wanita, akhirnya terpaksa memilih untuk menjadi 'penghuni tetap' di hospital berkenaan.

Separuh daripada bekas pesakit itu yang kini berusia lebih 80 tahun, sudah lebih 60 tahun menjadi penghuni Hospital Sentosa, dengan ada di antaranya sudah terlantar uzur.

Hospital Sentosa menawarkan rawatan bagi beberapa masalah mental seperti Skizofrenia - yang dihidapi majoriti pesakit hospital berkenaan; kecelaruan bipolar - kemurungan ringan, sederhana dan teruk; salah guna bahan psikosis - biasanya dadah serta kerencatan mental (lembam) dan organik - disebabkan oleh ketumbuhan, tumor, pengambilan alkohol.
Semua pesakit yang dimasukkan ke hospital itu diberikan rawatan sama seperti orang biasa; mereka diberi jagaan, perhatian, dan dilayan berbual.

Pengarah Hospital Sentosa, Dr Lau Kim Kah, berkata sebahagian besar daripada pesakit mental di hospital itu yang kini sudah berusia lebih 80 tahun adalah bekas pesakit Unit Psikiatri yang beroperasi di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, pada 1948.

Katanya, semua pesakit di Unit Psikiatri itu dipindahkan ke Hospital Sentosa, yang mula beroperasi pada 1958 dan sebelum itu hospital terbabit dikenali sebagai Hospital Mental Sarawak (HMS).

Beliau berkata, ada bekas pesakit di situ yang putus hubungan dengan anggota keluarganya sehingga mereka langsung tidak pernah menerima kunjungan dari saudara mara.

"Usaha kami untuk menemui anggota keluarga bekas pesakit mental juga gagal kerana mereka sudah berpindah ke tempat lain atau memberi alamat palsu ketika menghantar pesakit mental itu untuk mendapat rawatan.

"Oleh kerana tidak ada seorang pun anggota keluarga yang sanggup menerima kepulangan mereka ke rumah, maka mereka mengambil keputusan untuk terus menjadi penghuni," katanya kepada Berita Harian, ketika ditemui di hospital berkenaan.

Dr Lau berkata, jumlah semua penghuni Hospital Sentosa ketika ini adalah 223 orang, yang berusia antara 35 hingga 80-an, termasuk 35 pesakit yang kerap berulang alik ke rumah, manakala 34 lagi termasuk empat wanita adalah mereka yang terbabit dalam kes jenayah yang diperintah mahkamah untuk mendapatkan rawatan di hospital terbabit.

Katanya, daripada 154 pesakit mental yang menjadi penghuni kekal di hospital itu, sembilan yang berusia 80-an, kini terlantar di wad tenat kerana terlalu uzur.

“Usaha pihak hospital untuk memaklumkan keadaan pesakit kepada anggota keluarga tidak berhasil kerana sudah berpindah alamat atau memberikan alamat palsu,” katanya.

Sejarah Hospital Sentosa bermula apabila Unit Psikiatri mula beroperasi di HUS pada 1948 dan ia satu-satunya hospital yang ada menyediakan rawatan mental ketika itu.

Nama asal hospital itu ialah Hospital Mental Sarawak tetapi kemudian ditukarkan nama kepada Hospital Sentosa pada 1 Ogos 1998 yang dipilih dan diumumkan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Ahmad Zaidi Adruce.



:: Tsunami...memori di Tanjung Bungah...



Duka tsunami masih terasa




SUARA azan berkumandang dari corong pembesar suara Surau Tanjung Bungah. Selesai bilal menyempurnakan qamat, imam surau itu, Abd. Rahman Lazim, 74, bangkit untuk menyempurnakan solat Zuhur bersama kira-kira 30 jemaah.

Cuaca hari itu baik sekali dan keadaan air laut cukup tenang. Perahu-perahu nelayan yang ditambat kira-kira 20 meter dari situ hanya sesekali teroleng-oleng akibat kocakan kecil air yang menghempas ke pantai.

Namun, selesai bersolat dan semasa berdoa, hati Abd. Rahman atau dikenali penduduk kampung itu dengan nama Tok Ayah berasa tidak sedap apabila melihat percikan air laut mula menyapa ke gigi lantai surau kecil itu.

Tidak seperti hari-hari lain walaupun pada musim tengkujuh, jarang sekali alunan ombak bertukar kuat sehingga mampu mencecah masuk ke dalam surau. Keadaan itu juga menyaksikan ada perubahan pada wajah kariah yang lain.

“Jam di tangan menunjukkan pukul 1.35 petang, dalam hati saya mula terfikir mungkin ia akibat ombak besar kerana mengikut pengalaman lampau kejadian itu berlaku setiap 10 tahun sekali.

“Tetapi peliknya kali ini berbeza sehinggalah seorang penduduk datang memberitahu beberapa kawasan di sekitar Batu Feringghi dipukul ombak besar dan ada yang lemas,” ujar Tok Ayah mengingati semula apa yang berlaku pada tengah hari 26 Disember 2004.

Ketika itu katanya, beberapa gelombang ombak mula memukul ke pantai dan ada yang mencecah ke dalam rumah penduduk yang terletak berhampiran pantai.

Kebanyakan penghuni terkejut dan tidak menyangka pukulan ombak sederas itu, namun mereka masih beranggapan ia pukulan ombak biasa walaupun ada beberapa rumah yang sudah dibanjiri air laut.


BEGINILAH keadaan rumah di sepanjang pantai Tanjung Bungah yang musnah akibat dilanda ombak t sunami.


Cerita Tok Ayah lagi, keadaan bertukar kecoh apabila beberapa nelayan yang pulang dari laut kelihatan cemas memberitahu ada gelombang besar sedang menuju ke pantai.

Katanya, penduduk kampung mula cuba menyelamatkan barang-barang berharga di rumah masing-masing bergegas keluar menyelamatkan diri. Ramai yang berkumpul di jalan raya yang terletak kira-kira 50 meter dari situ.

“Kira-kira setengah jam kemudian barulah tersebar berita ombak besar tsunami memukul pantai di Acheh yang menyebabkan beratus ribu orang mati dan kesannya sehingga ke sini,” cerita Tok Ayah.

Menggegar dunia

Ombak besar yang terbentuk akibat gempa berukuran 8.9 pada skala Richter itu menggegarkan dunia. Juga dikenali sebagai tsunami, ia melanda beberapa buah negara termasuk Malaysia pada 26 Disember 2004 mencatatkan lebih 200,000 kematian.

Seramai 32 mangsa terkorban di Pulau Pinang manakala 141 cedera. Kebanyakan mangsa sedang berkelah dan memancing di tepi pantai di Batu Ferringghi, Balik Pulau dan Kuala Muda ketika ombak itu melanda kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

Menjelang pukul 4 petang, semua penduduk di sekitar pantai Tanjung Bungah dan Tanjung Tokong dibawa ke pusat pemindahan sementara. Sekitar pukul 5.45 petang, gelombang kedua ombak besar menerjah ke pantai,Kali ini, pukulannya lebih kuat. Dari jalan raya, penduduk hanya melihat ombak besar itu memukul dan merebahkan rumah mereka. Ada yang mengalirkan air mata menangisi apa yang berlaku.


ZAINAB tidak dapat menahan kesedihan setiap kali menatap foto-foto tragedi tsunami enam tahun lalu.


Antara perkampungan yang musnah teruk ialah Kampung Tepi Pantai dan Kampung Melayu Tanjung Bungah, kedua-duanya merupakan perkampungan nelayan tradisional berusia kira-kira 60 tahun.

Salah seorang mangsa, Azizan Zakaria, 58, pula memberitahu, dia hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu apabila menerima panggilan daripada rakannya.

Dia yang ketika itu berada di Alor Setar, Kedah menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya terkejut apabila diberitahu rumahnya musnah dipukul ombak tsunami.

“Sebaik sampai di sini kira-kira pukul 5.30 petang, saya terperanjat melihat sekitar Tanjung Bungah yang berubah seperti baru lepas ditimpa bencana. Saya hanya mampu tengok sahaja rumah yang musnah. Hanya dua hari kemudian selepas keadaan tenang barulah saya menjengok ke rumah, tiada apa yang boleh diselamatkan,” ujarnya.

Walaupun enam tahun telah berlalu, tetapi dukanya masih dirasai oleh Mat Yusoff Kasa, 63, dan isterinya, Zainab Wan Chik, 53.

Tragedi itu menyebabkan rumah yang mereka diami selama 10 tahun ranap dipukul ombak. Selain kehilangan dokumen-dokumen penting, tiada satu perabot berjaya diselamatkan.

Mat Yusoff memberitahu, jeritan anak lelaki bongsunya yang berkali-kali memanggilnya keluar dari rumah menyelamatkan dirinya daripada ditelan ombak tsunami.


PESISIR pantai Tanjung Bungah ini pernah dilanda ombak tsunami enam tahun lalu.


“Dia (anak) sedang bermain-main di luar dan dia nampak ombak besar menuju ke arah rumah, jika saya lewat seminit mungkin dah jadi arwah,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Zainab yang tidak dapat menahan sebak setiap kali menatap foto-foto kejadian itu berkata, mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang sepanjang dua hari tinggal di pusat pemindahan.

Malah, semua perabot yang ada di rumahnya kini adalah sumbangan orang ramai selepas kejadian itu.

“Rak televisyen ini orang Alor Setar beri, televisyen pun orang yang sumbangkan termasuklah pinggan mangkuk dan rak di dapur.

“Kami berterima kasih kerana sumbangan mencurah-curah dan ramai yang bersimpati dengan nasib kami yang memang daif ketika itu,” ujarnya sambil mengesat air mata yang berlinangan.


Wednesday, 12 January 2011

:: Pokko...tokek...cicak besar amat bernilai...



Tokek digilai pemburu haram


TOKEK yang menjadi kegilaan pemburu haram di negara ini kerana didakwa mampu merawat pelbagai penyakit.


KUALA LUMPUR – Tokek atau gikgo. Apakah sebenarnya keistimewaan haiwan ini sehingga ramai pemburu mahu memiliki haiwan tersebut. Tanpa disedari ramai pemburu haram kini sanggup meredah hutan di Semenanjung bagi mencari tokek.

Tokek didakwa mampu dijual pada harga mencecah puluhan juta ringgit dan paling kurang RM20,000 bagi setiap seekor.

Ekoran kegilaan dengan harga lumayan itu, pemburu haiwan kini mula memberi tumpuan mencari haiwan tersebut di serata hutan.

Dikatakan sebelum nama tokek meniti mulut ke mulut dalam kalangan rakyat negara ini, haiwan itu terlebih sudah popular di Indonesia.

Bayangkan, tokek pernah menjadi produk perniagaan bagi penduduk yang tinggal di kawasan perkampungan miskin pedalaman Indonesia seperti di Banjarsawah.

Mereka sanggup meredah hutan dan menangkap haiwan itu.

Tokek didakwa mula menarik perhatian apabila ramai ahli perubatan China dan Korea percaya lendir daripada haiwan itu mampu merawat kanser, penyakit kulit serta pernafasan.



Monday, 10 January 2011

:: Kasih atau sayang...antara pilihan...



Buang ibu demi kekasih asing

TERGURIS...Ani menunjukkan SMS yang dihantar anaknya.


KUALA LUMPUR: “Selama membesarkan dia, saya tak pernah terfikir yang dia tergamak membuang ibu sendiri,” rintih seorang ibu yang kini hidup merempat sejak enam bulan lalu selepas ‘dibuang’ anak perempuan tunggalnya akibat penangan cinta lelaki Iran.

Ibu itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ani, 47, kini menumpang berteduh di rumah rakan dan berpindah-randah dari satu kediaman ke kediaman lain di Seremban, Negeri Sembilan serta Selayang di sini, dengan hanya membawa lima helai pakaian.

“Saya tidak menumpang lama di rumah orang dan berpindah-randah dari rumah rakan ke rumah rakan lain selepas tinggal dua atau tiga hari. Saya tidak ada sesiapa dalam hidup ini. Selepas suami meninggal dunia pada 2008, hanya anak perempuan tunggal itu yang menjadi tempat saya bergantung.

“Namun, perkenalannya dengan seorang lelaki Iran menerusi Internet mengubah hidup saya. Saya dihambat lelaki itu keluar dari rumah manakala anak pula langsung tidak peduli, malah ‘menghiris’ hati saya apabila sanggup meminta saya pergi jauh daripada hidupnya,” katanya yang ditemui, semalam.


Menurutnya, sebelum ini keluarganya hidup bahagia, malah perkahwinan anak perempuannya dengan seorang lelaki tempatan menghadiahkannya seorang cucu lelaki.


“Saya tidak bekerja, tetapi mujur arwah suami meninggalkan sedikit wang dan sebuah kereta kepada saya.

“Begitu juga dengan anak perempuan saya, dia berkahwin dan mempunyai kerja yang baik dengan gaji antara RM7,000 hingga RM8,000 sebulan. Dia juga membeli sebuah apartmen di Subang Jaya dan meminta saya tinggal di situ selepas kematian suami saya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, hidupnya musnah selepas anaknya jatuh cinta dengan seorang pelajar sebuah kolej swasta warga Iran berusia 25 tahun kira-kira dua tahun lalu.

“Demi pelajar kolej swasta itu, anak saya sanggup meninggalkan suami, berhenti kerja dan duduk serumah dengan lelaki itu.

“Dia berubah, nasihat saya dibalas dengan kata-kata kesat, malah kunci apartmen miliknya yang menjadi tempat tinggal saya ditukar apabila saya keluar ke rumah rakan selepas dimintanya atas alasan kawan kekasihnya yang datang dari Iran mahu menumpang sementara waktu,” katanya.

Ani berkata, ketika cuba bertanyakan mengapa kunci ditukar, lelaki Iran terbabit menghalaunya keluar dari apartmen itu di depan anaknya dengan alasan dia cuba mengganggu kehidupan mereka.

“Saya tidak ada sesiapa di dunia ini kecuali anak saya. Dia nyawa dan jiwa saya, tetapi semuanya musnah sekelip mata disebabkan orang asing.

“Kereta milik saya juga dilelong bulan lalu kerana bayaran ansuran tertunggak dan sejak Jun lalu, saya menumpang ihsan rakan, tetapi berapa lama boleh berteduh di rumah orang menyebabkan saya sering berpindah-randah selepas beberapa hari.

“Mungkin satu hari nanti, saya terpaksa tinggal di bawah jambatan kerana tidak memiliki apa pun, sudahlah tiada harta, anak kesayangan pula membuang saya,” katanya.