Thursday 13 January 2011

:: Tsunami...memori di Tanjung Bungah...



Duka tsunami masih terasa




SUARA azan berkumandang dari corong pembesar suara Surau Tanjung Bungah. Selesai bilal menyempurnakan qamat, imam surau itu, Abd. Rahman Lazim, 74, bangkit untuk menyempurnakan solat Zuhur bersama kira-kira 30 jemaah.

Cuaca hari itu baik sekali dan keadaan air laut cukup tenang. Perahu-perahu nelayan yang ditambat kira-kira 20 meter dari situ hanya sesekali teroleng-oleng akibat kocakan kecil air yang menghempas ke pantai.

Namun, selesai bersolat dan semasa berdoa, hati Abd. Rahman atau dikenali penduduk kampung itu dengan nama Tok Ayah berasa tidak sedap apabila melihat percikan air laut mula menyapa ke gigi lantai surau kecil itu.

Tidak seperti hari-hari lain walaupun pada musim tengkujuh, jarang sekali alunan ombak bertukar kuat sehingga mampu mencecah masuk ke dalam surau. Keadaan itu juga menyaksikan ada perubahan pada wajah kariah yang lain.

“Jam di tangan menunjukkan pukul 1.35 petang, dalam hati saya mula terfikir mungkin ia akibat ombak besar kerana mengikut pengalaman lampau kejadian itu berlaku setiap 10 tahun sekali.

“Tetapi peliknya kali ini berbeza sehinggalah seorang penduduk datang memberitahu beberapa kawasan di sekitar Batu Feringghi dipukul ombak besar dan ada yang lemas,” ujar Tok Ayah mengingati semula apa yang berlaku pada tengah hari 26 Disember 2004.

Ketika itu katanya, beberapa gelombang ombak mula memukul ke pantai dan ada yang mencecah ke dalam rumah penduduk yang terletak berhampiran pantai.

Kebanyakan penghuni terkejut dan tidak menyangka pukulan ombak sederas itu, namun mereka masih beranggapan ia pukulan ombak biasa walaupun ada beberapa rumah yang sudah dibanjiri air laut.


BEGINILAH keadaan rumah di sepanjang pantai Tanjung Bungah yang musnah akibat dilanda ombak t sunami.


Cerita Tok Ayah lagi, keadaan bertukar kecoh apabila beberapa nelayan yang pulang dari laut kelihatan cemas memberitahu ada gelombang besar sedang menuju ke pantai.

Katanya, penduduk kampung mula cuba menyelamatkan barang-barang berharga di rumah masing-masing bergegas keluar menyelamatkan diri. Ramai yang berkumpul di jalan raya yang terletak kira-kira 50 meter dari situ.

“Kira-kira setengah jam kemudian barulah tersebar berita ombak besar tsunami memukul pantai di Acheh yang menyebabkan beratus ribu orang mati dan kesannya sehingga ke sini,” cerita Tok Ayah.

Menggegar dunia

Ombak besar yang terbentuk akibat gempa berukuran 8.9 pada skala Richter itu menggegarkan dunia. Juga dikenali sebagai tsunami, ia melanda beberapa buah negara termasuk Malaysia pada 26 Disember 2004 mencatatkan lebih 200,000 kematian.

Seramai 32 mangsa terkorban di Pulau Pinang manakala 141 cedera. Kebanyakan mangsa sedang berkelah dan memancing di tepi pantai di Batu Ferringghi, Balik Pulau dan Kuala Muda ketika ombak itu melanda kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

Menjelang pukul 4 petang, semua penduduk di sekitar pantai Tanjung Bungah dan Tanjung Tokong dibawa ke pusat pemindahan sementara. Sekitar pukul 5.45 petang, gelombang kedua ombak besar menerjah ke pantai,Kali ini, pukulannya lebih kuat. Dari jalan raya, penduduk hanya melihat ombak besar itu memukul dan merebahkan rumah mereka. Ada yang mengalirkan air mata menangisi apa yang berlaku.


ZAINAB tidak dapat menahan kesedihan setiap kali menatap foto-foto tragedi tsunami enam tahun lalu.


Antara perkampungan yang musnah teruk ialah Kampung Tepi Pantai dan Kampung Melayu Tanjung Bungah, kedua-duanya merupakan perkampungan nelayan tradisional berusia kira-kira 60 tahun.

Salah seorang mangsa, Azizan Zakaria, 58, pula memberitahu, dia hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu apabila menerima panggilan daripada rakannya.

Dia yang ketika itu berada di Alor Setar, Kedah menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya terkejut apabila diberitahu rumahnya musnah dipukul ombak tsunami.

“Sebaik sampai di sini kira-kira pukul 5.30 petang, saya terperanjat melihat sekitar Tanjung Bungah yang berubah seperti baru lepas ditimpa bencana. Saya hanya mampu tengok sahaja rumah yang musnah. Hanya dua hari kemudian selepas keadaan tenang barulah saya menjengok ke rumah, tiada apa yang boleh diselamatkan,” ujarnya.

Walaupun enam tahun telah berlalu, tetapi dukanya masih dirasai oleh Mat Yusoff Kasa, 63, dan isterinya, Zainab Wan Chik, 53.

Tragedi itu menyebabkan rumah yang mereka diami selama 10 tahun ranap dipukul ombak. Selain kehilangan dokumen-dokumen penting, tiada satu perabot berjaya diselamatkan.

Mat Yusoff memberitahu, jeritan anak lelaki bongsunya yang berkali-kali memanggilnya keluar dari rumah menyelamatkan dirinya daripada ditelan ombak tsunami.


PESISIR pantai Tanjung Bungah ini pernah dilanda ombak tsunami enam tahun lalu.


“Dia (anak) sedang bermain-main di luar dan dia nampak ombak besar menuju ke arah rumah, jika saya lewat seminit mungkin dah jadi arwah,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Zainab yang tidak dapat menahan sebak setiap kali menatap foto-foto kejadian itu berkata, mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang sepanjang dua hari tinggal di pusat pemindahan.

Malah, semua perabot yang ada di rumahnya kini adalah sumbangan orang ramai selepas kejadian itu.

“Rak televisyen ini orang Alor Setar beri, televisyen pun orang yang sumbangkan termasuklah pinggan mangkuk dan rak di dapur.

“Kami berterima kasih kerana sumbangan mencurah-curah dan ramai yang bersimpati dengan nasib kami yang memang daif ketika itu,” ujarnya sambil mengesat air mata yang berlinangan.