Thursday 13 January 2011

:: Kemanusiaan menipis.. dibuang keluarga..




Wilayah: Keluarga enggan terima
Oleh Matzidi Dris
mzidi@bharian.com.my
2011/01/13

Bekas pesakit mental jadi 'penghuni tetap' Hospital Sentosa

KUCHING: Ibarat 'dibuang terus' oleh ahli keluarga. Itulah nasib 154 bekas pesakit mental di Hospital Sentosa, Jalan Penrissen, Kota Sentosa, di sini yang disahkan sudah sembuh tetapi tidak dapat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

Ada anggota keluarga mereka yang tidak dapat dikesan serta tidak pernah menjenguk mereka di situ, selain ada juga yang tidak lagi mengaku bekas pesakit terbabit sebagai ahli keluarga dan enggan menerima mereka kembali.
Malah, ada yang memberikan alamat palsu ketika memasukkan ahli keluarga mereka yang menghidap sakit mental ke hospital berkenaan sehingga tidak dapat dikesan oleh pihak hospital apabila pesakit terbabit sudah sembuh.

Akibatnya, bekas pesakit mental malang berkenaan termasuk 86 wanita, akhirnya terpaksa memilih untuk menjadi 'penghuni tetap' di hospital berkenaan.

Separuh daripada bekas pesakit itu yang kini berusia lebih 80 tahun, sudah lebih 60 tahun menjadi penghuni Hospital Sentosa, dengan ada di antaranya sudah terlantar uzur.

Hospital Sentosa menawarkan rawatan bagi beberapa masalah mental seperti Skizofrenia - yang dihidapi majoriti pesakit hospital berkenaan; kecelaruan bipolar - kemurungan ringan, sederhana dan teruk; salah guna bahan psikosis - biasanya dadah serta kerencatan mental (lembam) dan organik - disebabkan oleh ketumbuhan, tumor, pengambilan alkohol.
Semua pesakit yang dimasukkan ke hospital itu diberikan rawatan sama seperti orang biasa; mereka diberi jagaan, perhatian, dan dilayan berbual.

Pengarah Hospital Sentosa, Dr Lau Kim Kah, berkata sebahagian besar daripada pesakit mental di hospital itu yang kini sudah berusia lebih 80 tahun adalah bekas pesakit Unit Psikiatri yang beroperasi di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, pada 1948.

Katanya, semua pesakit di Unit Psikiatri itu dipindahkan ke Hospital Sentosa, yang mula beroperasi pada 1958 dan sebelum itu hospital terbabit dikenali sebagai Hospital Mental Sarawak (HMS).

Beliau berkata, ada bekas pesakit di situ yang putus hubungan dengan anggota keluarganya sehingga mereka langsung tidak pernah menerima kunjungan dari saudara mara.

"Usaha kami untuk menemui anggota keluarga bekas pesakit mental juga gagal kerana mereka sudah berpindah ke tempat lain atau memberi alamat palsu ketika menghantar pesakit mental itu untuk mendapat rawatan.

"Oleh kerana tidak ada seorang pun anggota keluarga yang sanggup menerima kepulangan mereka ke rumah, maka mereka mengambil keputusan untuk terus menjadi penghuni," katanya kepada Berita Harian, ketika ditemui di hospital berkenaan.

Dr Lau berkata, jumlah semua penghuni Hospital Sentosa ketika ini adalah 223 orang, yang berusia antara 35 hingga 80-an, termasuk 35 pesakit yang kerap berulang alik ke rumah, manakala 34 lagi termasuk empat wanita adalah mereka yang terbabit dalam kes jenayah yang diperintah mahkamah untuk mendapatkan rawatan di hospital terbabit.

Katanya, daripada 154 pesakit mental yang menjadi penghuni kekal di hospital itu, sembilan yang berusia 80-an, kini terlantar di wad tenat kerana terlalu uzur.

“Usaha pihak hospital untuk memaklumkan keadaan pesakit kepada anggota keluarga tidak berhasil kerana sudah berpindah alamat atau memberikan alamat palsu,” katanya.

Sejarah Hospital Sentosa bermula apabila Unit Psikiatri mula beroperasi di HUS pada 1948 dan ia satu-satunya hospital yang ada menyediakan rawatan mental ketika itu.

Nama asal hospital itu ialah Hospital Mental Sarawak tetapi kemudian ditukarkan nama kepada Hospital Sentosa pada 1 Ogos 1998 yang dipilih dan diumumkan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Ahmad Zaidi Adruce.