Tuesday 27 September 2011

:: UMNO dan Parti Komunis China (CPC)



UMNO Dikagumi Parti Komunis Cina




KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Kejayaan UMNO bersama-sama Barisan Nasional (BN) sebagai tunjang pentadbiran negara dikagumi pelbagai pihak termasuklah Parti Komunis China (CPC) khususnya dalam mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian negara sejak 54 tahun merdeka.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata hasil kunjungan beliau ke negara kuasa besar tersebut bahawa kerajaan dan para pemimpin China menyatakan rasa hormatnya terhadap kejayaan Malaysia.

“Sewaktu mengadakanperbincangan, menterinya memaklumkan bahawa mereka amat kagum terhadap cara UMNO menangani masalah perkauman dan ingin mempelajari daripada kita bagaimana mengatasi masalah-masalah berkaitan etnik yang wujud,” jelasnya kepada umno-online, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN baru sahaja kembali ke tanah air selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pertukaran dan kerjasama antara UMNO dan CPC di Beijing, 5 Ogos lalu

CPC diwakili oleh Menteri Jabatan Antarabangsa dan Jawatankuasa Pusat, Mr. Wang Jiarui.

“Mereka juga memaklumkan bahawa bukan semua parti politik yang ada atau yang berkuasa dalam negara-negara lain mengadakan MoU sedemikian sebaliknya UMNO dipilih untuk bekerjasama ekoran keteguhan dan kejayaan yang telah dilalui,” kata Tengku Adnan.

Menurut beliau, dengan perjanjian persefahaman ini maka hubungan antara dua parti dapat dipertingkatkan khususnya dalam pertukaran pemimpin di kedua-dua peringkat untuk mengetahui perjalanan masing-masing baik di China atau pun di sini.

“Mereka turut meminta agar UMNO sendiri maklumkan kepada kerajaan untuk meningkatkan persefahaman dalam bidang ekonomi khususnya sosioekonomi bagi dikongsi atau bertukar-tukar pandangan untuk kepentingan bersama.

“Sebagai sebuah negara besar tentunya mereka mempunyai pelbagai masalah dan percaya bahawa kaedah yang diambil dari Malaysia sedikit sebanyak boleh digunapakai dan boleh ditokok tambah untuk disesuaikan dengan pentadbiran negara mereka,” jelasnya.

Katanya, beliau turut menyebut minat UMNO bagi menghantar generasi muda khususnya di kalangan pergerakan Pemuda dan Puteri untuk mempelajari bagaimana CPC melaksanakan program-program mereka.

“Kita turut menyatakan kesediaan kita sekiranya diberi peluang untuk menghantar generasi muda dalam parti belajar bahasa Mandarin,” katanya lagi.

Dalam pertemuan ini, beliau juga turut menerangkan berkaitan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB) di samping dasar-dasar yang telah diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak termasuklah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan gagasan 1Malaysia.

“Saya memaklumkan bahawa keyakinan kita percaya pada konsep kesatuan dalam kepelbagaian iaitu kunci kejayaan UMNO sebagai tunjang pentadbiran negara.”

Sehubungan itu, katanya bagi peringkat permulaan pelaksanaan perjanjian persefahaman ini akan menjadi realiti apabila beliau memberikan laopran kepada badan pengurusan parti dan Majlis Tertinggi.

“Pelaksanaan akan dibuat selepas laporan diberi dengan rangka kerja sama ada melibatkan kedua-dua pemimpin atau generasi muda dalam parti,” terangnya.

Maklumnya lagi, CPC juga telah menyatakan persetujuan untuk turut menyertai forum antarabangsa yang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO, Oktober nanti. – MediaUMNO


http://umno-online.com/?p=17295