Saturday 2 January 2010

:: Guna nama "Allah" diputuskan mahkamah ?

JPM Akan Kemuka Rayuan Berhubung Kalimah Allah - Jamil Khir

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai penggunaan perkataan "Allah" di Mahkamah Rayuan bagi tindakan dan pembelaan sewajarnya demi memastikan kesucian Islam di Malaysia terpelihara.

Justeru itu, Menteri di JPM Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom meminta semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan umat Islam di negara ini supaya bertenang dan menghormati keputusan mahkamah serta memberi peluang perkara itu diselesaikan melalui proses perundangan.

"Dalam hal ini, saya akan mengambil langkah untuk mengadakan pertemuan dengan pihak NGO dalam masa terdekat bagi mendengar pandangan mereka danmembincangkan perkara ini selanjutnya, " katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lepas yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catolic Weekly menggunakan perkataan "Allah".

Pada 16 Februari lepas, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Jamil Khir juga berkata Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang kali ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 mencapai keputusan bersetuju bahawa lafaz "Allah" merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam.

Kandungan itu berbunyi: "Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

"Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya. -BERNAMA




Mahkamah Putuskan Majalah Katolik Herald Boleh Guna Perkataan 'Allah'

KUALA LUMPUR: Majalah mingguan Katolik, Herald, boleh menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya,Mahkamah Tinggi di sini memutuskan hari ini.

Mahkamah itu membuat keputusan bahawa setiap orang mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan "Allah".

Dalam keputusannya, Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan bahawa Kementerian Dalam Negeri telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan mingguan itu.

Selepas keputusan itu, Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said, yang mewakili menteri dan kerajaan, meminta penjelasan mahkamah sama ada keputusan itu akan menjejaskan penerbitan Herald bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Disember 2010.

Beliau berkata ini disebabkan permohonan itu adalah untuk tahun ini dan bukannya untuk penerbitan tahun depan.

Peguam yang mewakili gereja berkenaan, Porres Royan, memaklumkan kepada mahkamah bahawa menteri telah pun memberi permit baru pada awal tahun ini untuk penerbitan tahun depan.

"Keputusan itu dengan sendirinya jelas. Menteri telah pun memberi permit baru untuk tahun depan. Saya percaya menteri akan akur dengan keputusan ini," katanya.

Kamaluddin memberitahu mahkamah bahawa beliau perlu mendapatkan arahan daripada menteri sama ada keputusan hari ini akan menjejaskan permit baru untuk penerbitan tahun depan memandangkan ia membabitkan perkara yang sangat serius.

Katanya, beliau juga perlu mendapatkan arahan daripada responden mengenai sama ada untuk merayu atau memohon penangguhan pelaksanaan keputusan.

Lau berkata responden mempunyai 30 hari untuk memfailkan permohonan itu. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment