Monday 25 January 2010

:: Zamri atau Nizar sebagai MB Perak: 09.02.2010

Monday, January 25, 2010

Keputusan pertikaian jawatan MB Perak 9 Februari

PUTRAJAYA: Hampir setahun pertikaian isu Menteri Besar Perak tercetus, Mahkamah Persekutuan akan mengumumkan keputusannya pada 9 Februari ini sama ada Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kekal dalam jawatan itu atau Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mendapat kembali jawatannya.

Keputusan itu amat ditunggu-tunggu kerana ia akan menentukan sama ada Barisan Nasional (BN) akan terus mentadbir negeri itu atau kembali kepada pemerintahan pakatan Pas, DAP dan PKR.

Panel lima hakim yang bersidang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff.

Empat lagi terdiri Ketua Hakim Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Peguam Leong Cheok Keng, dari pasukan peguam bela Mohammad Nizar, berkata beliau menerima faks dari pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 11.20 pagi tadi memaklumkan kepada beliau mengenai tarikh tersebut.

Panel lima hakim yang bersidang telah menangguhkan keputusan kes itu pada 5 November lalu setelah selesai mendengar hujah.

Isu mengenai siapakah Menteri Besar Perak yang sah tercetus tahun lalu selepas dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Parti Keadilan Rakyat dan daripada DAP, keluar parti masing-masing bagi menyatakan sokongan kepada BN, menyebabkan kerajaan pakatan itu tumbang.

BN dan PR masing-masing mempunyai 28 Adun tetapi BN mengambil alih pemerintahan negeri hasil sokongan tiga wakil rakyat itu.

Sultan Azlan Shah menitahkan Mohammad Nizar, 52, meletak jawatan sebagai Menteri Besar dan kemudian melantik Zambry sebagai Menteri Besar pada Februari tahun lalu selepas mengisytiharkan BN mempunyai majoriti dalam DUN.

Mohammad Nizar, Adun kawasan Pasir Panjang mengambil tindakan undang-undang pada 13 Februari tahun lalu, memohon mahkamah mengisytiharkan beliau masih Menteri Besar yang sah selain memohon injunksi melarang Zambry daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.

Pada 11 Mei tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah kerana mendapati Mohammad Nizar tidak pernah mengosongkan jawatan sebagai Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.

Bagaimanapun, keputusan mahkamah itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 22 Mei tahun lalu yang mengisytiharkan pelantikan Zambry adalah secara sah dan mengikut Perlembagaan. - Bernama


Kes MB 9 Feb: DS Nizar minta doakan kemakmuran Perak

nizar jamaluddin sworn in at parliament opposition mps disolve perak state adun headband incident 150609 IPOH, 25 Jan: Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyeru semua pihak mendoakan kepada Allah agar mengembalikan keadilan dan kemakmuran untuk negeri ini.

Ini berikutan Mahkamah Persekutuan akan memutuskan pada 9 Februari depan kes pertikaian berhubung siapakah Menteri Besar Perak yang sah, kata Setiausaha Sekretariat Pakatan Rakyat negeri, Drs Khalil Idham Lim.

Menurut Khalil, Mohammad Nizar memaklumkan kepada pihaknya berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan itu dalam satu kenyataan rasmi, sebentar tadi.

“Beliau (Nizar) juga memaklumkan telah menerima surat rasmi dari mahkamah berkenaan dan mahkamah akan bersidang pada jam 9.30 hari berkenaan,” ujarnya yang juga Adun Titi Serong kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu, Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang memohon kepada seluruh pendokong dan penyokong Pakatan Rakyat supaya mendoakan kepada Allah SWT agar mengembalikan keadilan dan kemakmuran di negeri ini.


No comments:

Post a Comment