Friday 8 January 2010

:: Perkampungan Parti Komunis Malaya (PKM) ?

Menjejaki perkampungan Parti Komunis Malaya (PKM) Khao Nam Khang, Nathawi, Thailand

2010 Januari 8
by syahrilkadir


tugu yang dibuat bagi mengenangkan anggota komunis yang terbunuh

semalam aku dan Syarul ke sebuah penempatan dan kubu kuat Parti Komunis Malaya (PKM) yang terletak di sebuah perkampungan terpencil dalam Taman Negara Khao Nam Khang, Nathawi

Khao Nam Khang atau dalam bahasa Melayunya bermakna Muhibah terletak di selatan Thailand. Lokasinya ialah dua jam perjalanan dari bandar Hatyai

perjalanan kami ke tempat persembunyian bekas pengganas komunis itu menyusuri kampung-kampung tradisional, ladang getah sebelum memasuki kawasan hutan yang membawa kita ke kaki pergunungan

era 70-an dan 80-an dulu kalau korang datang ke sini alamatnya balik dengan kain kafan jelah, ini kerana banyak jerangkap samar dipasang di kawasan tersebut bagi melengahkan pergerakan pasukan keselamatan yang memburu mereka

tetapi sejak PKM meletakkan senjata pada tahun 1989, perkampungan ini mula dibuka dan dijadikan tempat tarikan pelancong

patung komunis di pintu masuk (aku macam nak tumbuk2 je!)

yang menariknya, di sini korang berpeluang untuk berbual dengan bekas-bekas anggota komunis yang kebanyakannya berasal dari Malaysia…namun sejak menyerah diri, mereka lebih senang untuk tinggal terus di perkampungan tersebut

mereka enggan pulang kerana takut disumbat dalam penjara, lagipun kerajaan Thailand dah bagi tanah untuk diaorang usahakan penanaman getah di sini, so saper taknak kan?

semua dalam tu gambar di atas adalah bekas komunis yang berasal dari Malaysia. Yang kiri sekali tu je bukan, dia bekas kadet polis je hahahaha

secara tak langsung juga diaorang jadi pemandu pelancong kat sini

di perkampungan ini juga korang boleh lihat bagaimana ‘kreatifnya’ pengganas-pengganas komunis ini menebuk sebuah gunung dengan tulang empat kerat mereka untuk dijadikan terowong-terowong rahsia yang menyimpan lebih seribu satu macam kegiatan dalam PKM

kami diberitahu, terowong Khao Nam Khang dibina pada 1971 dan siap dua tahun kemudian. Ia merupakan terowong tiga tingkat menempatkan 100 bilik, bilik mesyuarat, hospital dan kilang senjata, bilik menembak, dapur, bilik komunikasi dan dewan latihan

kalau korang perhatikan, persekitaran di luar terowong tidak ubah seperti hutan di Malaysia

keadaannya sejuk dan nyaman, pendek kata ia seolah-olah seperti hutan dara yang tidak pernah diterokai

panjang terowong berkenaan dianggarkan satu kilometer dan boleh menempatkan sebanyak 200 orang bekas pengganas komunis dalam satu masa, malah ia dipercayai terowong yang paling panjang di Thailand

kerja-kerja menggali terowong yang dikatakan boleh menembusi Betong yang bersempadanan dengan Pengkalan Hulu, Perak itu dilakukan oleh anggota Rejimen Ke-8, Ke-10 dan Ke-12 PKM

yang paling menakjubkan, mereka hanya menggunakan tukul besi dan pahat untuk menebuk permukaan batu-batuan granit yang keras dan menjadikannya terowong seperti yang ada sekarang

kami diberitahu juga, ketika zaman darurat, Rejimen Ke-10 dan Ke-12 dalam PKM mengetuai gerakan gerombolan di sempadan Hulu Perak berdekatan Betong di Thailand dan ia dikatakan diletakkan di bawah teraju Rashid Mydin

di samping sebuah pintu masuk utama di kaki bukit yang bertentangan dengan sebatang anak sungai, terowong itu juga mempunyai tidak kurang daripada 16 pintu masuk di sekitarnya

lubang-lubang rahsia untuk memasuki terowong itu banyak terdapat di atas bukit, di celah pokok, di bawah batu dan dalam belukar yang begitu rapi bentuk kedudukannya

garis pusat terowong itu hanya memuatkan saiz badan seorang lelaki bertubuh sederhana dan jika berselisih, salah seorang perlu mengeseng badan dengan berhati-hati untuk melepasinya

mula-mula aku ingat badan aku tak lepas, tapi rupanya muat juga

setiap pintu masuk ke dalam terowong itu mempunyai tidak kurang daripada 54 anak tangga dan semuanya akan bertemu dengan sebuah lorong utama yang seakan-akan lebuh raya, mengah dan berpeluh-peluh aku dibuatnya sheikh!

anak-anak tangga dalam terowong terlalu curam dan lebarnya pula terhad. Jika tersilap langkah seseorang itu boleh jatuh tersungkur dan mungkin akan mendapat risiko cedera parah

keadaan dalam terowong gelap dan hanya diterangi samar-samar cahaya lampu yang menerangi kawasan anak tangga malah ruang lain seperti bilik komander dan komrad dibiarkan bergelap

asalnya, terowong itu bukan sahaja menempatkan bilik untuk pengganas malah ia juga mempunyai bilik-bilik tamu, kilang senjata, bilik pembedahan dan bilik untuk tetamu agung seperti Chin Peng yang sering ke situ bertemu anggota PKM

cerita banyak tak guna, kalau berminat, buatlah rombongan Cik Kiah ke sini

yang penting, kita bukan nak agungkan komunis-komunis ni, tetapi ia sebenarnya memberi keinsafan pada kita bahawa kita jangan sekali-kali menggadaikan kemerdekaan yang telah kita kecapi selama ini

harganya bukan murah, ia adalah dari keringat dan airmata…argh emosi pulak aku…

No comments:

Post a Comment