Sunday 29 August 2010

:: Ketua Menteri Sarawak sekadar menguji ?




29 Ogos, 2010 20:18 PM

Adakah Taib Mahmud Sekadar Mahu Menguji?

Oleh Alan Ting

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Apabila Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata
beliau sedia meletak jawatan jika khidmatnya tidak diperlukan lagi, senario politik di Sarawak diselubungi desas-desus bahawa beliau sedang membuat persiapan untuk berundur diri.

Bagaimanapun, beberapa pemerhati politik merasakan bahawa kenyataan Taib itu hanya satu peringatan yang merupakan muslihat sekadar
"untuk menguji".

Sejak akhir-akhir ini, Taib, 74, Ketua Menteri paling lama berkhidmat di Sarawak (29 tahun sejak 26 Mac, 1981), menjadi sasaran khabar angin berhubung dakwaan kekayaannya yang melimpah ruah.

"Beliau tidak akan meletak jawatan. Beliau hanya ingin tahu siapa yang bersungut. Kenyataan beliau merupakan satu muslihat untuk mengetahui siapa yang menentangnya," kata seorang penganalisis politik di University of Monash,
James Chin.

Chin percaya kenyataan mutakhir Taib itu mungkin ada kaitan dengan khabar angin bahawa SUPP, sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak, mahu beliau berundur memandangkan beliau dilihat tidak lagi diyakini oleh kalangan beberapa kelompok dalam komuniti setempat.

Terdapat desas-desus bahawa SUPP berkemungkinan telah melobi kepimpinan pusat supaya campurtangan untuk berbincang dengan Taib, menyerupai langkah yang dilakukan pada 1980-an ketika parti itu mahu bapa saudara Taib, Tan Sri (kini Tun) Abdul Rahman Yaa'kub, meletak jawatan sebagai Ketua Menteri atau jika tidak, parti itu akan keluar daripada BN.

Rahman kemudian menentang dengan menganjurkan perhimpunan besar- besaran di Sarawak tetapi gagal membuahkan hasil dan akhirnya meletak jawatan namun meletakkan syarat agar anak saudaranya, Taib, dilantik sebagai penggantinya.

Chin berkata kenyataan Taib bukanlah perkara baru dan satu-satunya reaksi segera daripada kenyataan sedemikian adalah pelbagai parti, persatuan, dan badan bukan kerajaan mungkin akan membuat gesaan supaya beliau terus memegang jawatan.

Besar kemungkinan partinya sendiri, Parti Pesaka Bumiputera (PBB) akan meluluskan resolusi menyokongnya dan Taib akan terus menerajui BN Sarawak dalam pilihan raya negeri akan datang, katanya.

Seorang lagi penganalisis politik,
Dr Sivamurugan Pandian, percaya bahawa Taib ingin menguji setakat mana kepimpinan pusat akan menyokong beliau ekoran khabar angin yang mahu beliau berundur.

"Beliau mungkin tidak serius dalam hasratnya untuk berundur seperti mana beliau mahu terus memegang jawatan. Apa yang beliau lakukan sekarang ialah untuk melihat sama ada kepimpinan pusat mahu menyokong beliau atau tidak.

Jika kepimpinan pusat tidak mahu menyokongnya, maka beliau (Taib) akan melihat pilihan lain yang ada untuknya. Kemungkinan besar beliau akan melihat situasi yang menguntungkan semua sebagai strategi jalan keluar," katanya.

Bagaimanapun, Dr Sivamurugan berkata siatuasi itu agak sukar untuk ditangani oleh kepimpinan pusat memandangkan ia memerlukan pelan peralihan yang lancar, jika tidak akan mengakibatkan pertelingkahan dalaman yang mungkin melemahkan PBB, tunjang kepimpinan BN negeri.

Dr Sivamurugan berkata sesiapa sahaja yang menggantikan Taib perlu dilihat sebagai berwibawa dan berupaya menyeimbangkan keperluan pelbagai kumpulan etnik di Sarawak, yang mempunyai lebih daripada 40 kumpulan sub-etnik, setiap satunya dengan bahasa, budaya dan gaya hidup tersendiri.

Tidak hairanlah apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak berkata pada Jumaat lepas beliau akan mengadakan perbincangan 'hati ke hati' dengan Taib berhubung masa depan kepimpinan negeri.

Ini dapat difahami memandangkan PBB merupakan tonggak kekuatan BN di Sarawak dan adalah adil untuk berbincang terlebih dahulu sebelum apa jua keputusan dibuat.

Di peringkat negeri, sudah pun ada gesaan supaya beliau kekal sebagai Ketua Menteri, dengan yang pertama, seperti yang dijangka, dibuat oleh oleh sayap Pemuda PBB, disusuli oleh dua parti komponen BN, Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Hanya SUPP masih belum menyatakan pendirian secara terbuka berhubung kenyataan mutakhir Taib itu. Presiden SPDP
Datuk Seri William Mawan Ikom berkata Sarawak masih memerlukan Taib kerana "beliau adalah pemimpin, beliau seorang yang pintar dan mana boleh siapa pun bercakap tentang pengunduran beliau?"

"Ada kalanya beliau agak letih, beliau seharusnya berehat sedikit, tetapi beliau adalah pemimpin (bagi negeri ini). Apa yang kami hadapi (dan) apa yang negeri ini ceburi, kami benar-benar memerlukan beliau kerana beliau adalah penggerak utama dan beliau meletakkan kita semua di peta dunia.

Tidak, beliau tidak akan meletak jawatan dan saya sendiri akan memastikan beliau terus memimpin," kata Mawan, seperti yang dipetik dalam laporan akhbar tempatan.

Presiden PRS
Datuk Seri Dr James Jemut Masing juga berkata parti itu akan menyokong Taib selagi beliau mahu memimpin negeri ini.

"Dalam permukiman BN di Mulu baru-baru ini, setiap daripada kami (parti komponen BN negeri) menyatakan pendirian berhubung KM (Taib) untuk mengetuai BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Dan PRS tidak mengubah pendiriannya, selagi KM mahu memimpin, kami akan berdiri teguh di belakangnya," kata Masing, yang juga Menteri Pembangunan Tanah Sarawak.

Bagaimanapun, seorang penganalisis politik di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas)
Dr Jeniri Amir berkata menjadi kelaziman bagi pemimpin lain di negeri ini untuk mengisytiharkan secara terbuka bahawa mereka memerlukan beliau memandangkan "semua orang tahu Taib sangat berkuasa dalam politik dan tiada siapa pun yang berani meminta beliau berundur kerana masa depan politik mereka bergantung kepada beliau."

Dr Jeniri berpendapat perbincangan
"hati ke hati" Najib dengan Taib perlu digunakan sebagai wadah untuk memberitahu Ketua Menteri mengenai situasi politik di peringkat akar umbi dan Taib juga mendengar "suara hati" dari Sarawak.

Beliau berkata kenyataan Taib mengenai keinginannya untuk berundur pada kali ini adalah ikhlas memandangkan beliau sedar tentang perubahan dalam landskap politik.

"Tanggungjawab ini terletak di bahu beliau, bukan Perdana Menteri atau partinya," katanya.

-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment