Saturday, 9 April 2011

:: Burung kenyalang disembelih ?




Sembelih burung enggang, 4 anggota tentera disiasat


Bagan Datoh: Empat anggota tentera yang menyembelih seekor burung enggang di Hutan Royal Belum seperti tersebar luas dalam lawan web sosial facebook dan blog akhir bulan lalu, disiasat dan didakwa mengikut Akta Tentera dan Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.

Perkara itu disahkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memaklumkan semua anggota berkenaan disiasat berhubung kejadian itu.

Kelmarin, beberapa akhbar dan laman portal berita tempatan memaparkan satu foto menunjukkan beberapa anggota tentera memegang seekor burung enggang disembelih.

Perkara ini bukan saja mendapat bantahan orang ramai dan Persatuan Pencinta Alam, sebaliknya kerajaan negeri turut memandang serius perkara itu.

Katanya, siasatan mendapati, seorang anggota berpangkat pegawai dan tiga anggota lain-lain pangkat dikatakan menemui spesies burung terancam itu dalam keadaan separuh mati dipercayai cedera selepas menjadi buruan pemburu lain.

“Mereka (anggota tentera) kemudian menyembelih burung itu dan merakam gambar bersama bangkai haiwan itu sebelum menyebarkan di laman web sosial.

“Perbuatan itu sangat dikesali dan kita tidak akan melindungi mana-mana anggota tentera yang didapati terbabit dalam kegiatan sedemikan,” katanya selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perkasa, Hutan Melintang, di sini, semalam.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan, Usahawan, Pelancongan, Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan negeri, Datuk Hamidah Osman kesal dengan perbuatan itu dan mahu perkara itu disiasat. -HM