Tuesday, 19 April 2011

:: Juwanto Jairot...meraung kesakitan 3 jam


Drebar meraung tiga jam tersepit



Drebar meraung tiga jam tersepit


IPOH: Seorang pemandu bas meraung kesakitan kira-kira tiga jam akibat tersepit selepas bas ekspres dipandunya merempuh sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 266, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), menghala utara, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa, Juwanto Jairot, 42, yang berasal dari Kampung Pertama, Permatang Pauh, Pulau Pinang, tersepit di tempat duduk pemandu apabila bas Ekspres Plusliner yang dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah treler bermuatan besi buruk.

Difahamkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh yang bergegas ke tempat kejadian gagal mengeluarkan mangsa berikutan kaki dan bahagian sebelah kiri tubuhnya tersepit.

Mangsa yang ketika itu masih sedarkan diri meraung kesakitan meminta tolong sambil anggota bomba bertungkus-lumus memotong komponen hadapan bas yang remuk itu.

Keadaan mangsa yang parah menyebabkan Unit Paramedik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dipanggil ke tempat kejadian kira-kira satu kilometer dari Hentian Tol Jelapang, di sini.

Mangsa cuba ditenangkan dan diberi suntikan penahan sakit mengelak dia meronta sehingga boleh menyebabkan kecederaan lebih buruk.

Bagaimanapun, mangsa yang yang kehilangan darah dan hampir pengsan berjaya dikeluarkan kira-kira jam 1.05 pagi semalam sebelum dikejarkan ke HRPB untuk rawatan kecemasan.


Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rejab, berkata kemalangan dipercayai ketika bas yang membawa 15 penumpang kebanyakannya pelajar dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.


“Sebaik sampai di tempat kejadian, pemandu gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh bahagian belakang treler itu,” katanya.