AHLI perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah, menjawab soalan media selepas selesai memberi sampel DNA kepada pihak polis untuk membantu siasatan kes video seks yang didakwa mirip pemimpin pembangkang di Bukit Aman, hari ini. - Foto Fariz Iswadi
Apr 27, 2011 3:58 pm
Kenyataan rasmi trio 'Datuk T' yang dibacakan Datuk Shazryl Eskay Abdullah pada sidang media semalam
2011/04/29
SEJAK pendedahan kami tentang pelakuan seks haram Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terkandung dalam rakaman sebuah video kepada sekumpulan editor kanan di Hotel Seri Carcosa tempoh hari, telah timbul polemik dalam kalangan masyarakat.
Pelbagai persepsi, spekulasi malah tuduhan dilemparkan kepada kami.
• Menuduh kami berkonspirasi dengan melakukan fitnah seks untuk memburukkan kredibiliti beliau sebagai ketua pembangkang.
• Menuduh klip video seks yang kami tayangkan adalah usaha jahat musuh politiknya dengan menggunakan teknik alatan digital serta menafikan pelaku dalam video berkenaan adalah beliau.
Saya ingin menjelaskan bahawa sebagai warga negara Malaysia yang amat cintakan negara dan bangsa, saya sanggup mengambil segala risiko untuk mendedahkan siapa sebenarnya seorang pemimpin yang saya kenali sejak 1996. Beliau dikenali umum sebagai seorang bermoral, jujur dan ikhlas dalam perjuangan politiknya selama ini, tetapi pada hakikatnya adalah sebaliknya.
Beliau cukup licik berpura-pura menjadi orang yang begitu alim, warak dan mempunyai peribadi mulia, tetapi sebaliknya melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak pernah terjangkau oleh pemikiran yang waras dan nilai-nilai agama Islam.
Kami bertekad tidak akan membenarkan orang bernama Anwar Bin Ibrahim yang juga pelaku dalam video tidak bermoral itu daripada menjadi pemimpin yang akan memimpin negara Islam tercinta ini.
Ingin dijelaskan bahawa hasrat kami menayangkan video tersebut kepada beberapa orang wartawan kanan bukanlah untuk menunjukkan bahan lucah, tetapi untuk menjadi sebagai bahan dokumentasi bagi menegakkan kebenaran, agar rakyat negara ini boleh menilai sendiri siapakah Anwar Ibrahim sebenarnya. Tujuan kami memilih wartawan untuk menonton video itu kerana kami merasakan mereka lebih mengenali susuk fizikal Anwar Ibrahim dari dekat.
Saya sangat mengenali Anwar Ibrahim secara peribadi, maka saya percaya beliau tidak akan berubah, malah tidak akan menyesal dan insaf terhadap perbuatan terkutuk yang beliau lakukan mengikut nafsu dan kerakusannya. Walaupun menghadapi pelbagai tuduhan, beliau tidak pernah bertaubat, malah beliau tidak sedikitpun merasa serik atau merasa bersalah untuk mengulangi perbuatan terkutuk yang bertentangan dengan syariat Islam.
Saya menadah tangan ke hadrat Ilahi supaya membuka hati Anwar Ibrahim agar dapat bertaubat, insaf dan kembali ke pangkal jalan.
Kami, Datuk Trio bertanggungjawab sepenuhnya atas pendedahan ini. Demi Allah Yang Maha Mengetahui, tindakan yang kami ambil ini adalah semata-mata bertujuan untuk menzahirkan kebenaran dan bukan sekali-kali memfitnah atau bagi memenuhi kepentingan pihak-pihak tertentu atau kepentingan peribadi kami sendiri.
Ini bukan lagi soal keuntungan peribadi tapi lebih kepada soal maruah agama, bangsa dan negara. Kita tidak mahu anak-anak cucu kita, mempersalahkan kita kelak kerana membiarkan orang yang tidak bermoral itu memerintah dan menerajui kepimpinan negara tercinta ini. Menjadi kewajipan kami, tanggungjawab kami untuk menghentikan perbuatan terkutuk pemimpin ini. Kami akan merasa berdosa sekiranya kebenaran ini tidak didedahkan.
Justeru, kami tampil ke hadapan dan mengambil risiko dengan menayangkan video berkenaan. Kami sedar apakah balasannya di akhirat sekiranya kami melakukan fitnah. Kami percaya berada pada pihak yang benar dan yang penting, rakyat negara ini perlu tahu siapa sebenarnya Anwar Ibrahim kerana beliau tidak layak menjadi pemimpin di negara ini.
Mengenai identiti sebenar pelaku dalam video tersebut, saya berani bersumpah bahawa pelaku tersebut adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana saya sendiri berada di lokasi itu dan dalam paparan video berkenaan.
Sekiranya Anwar Ibrahim masih menafikan bahawa beliau bukan orang dalam video terbabit, saya mengundang beliau agar sama-sama dapat melafazkan sumpah laknat selepas solat Jumaat esok di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul.
Saya juga ingin mempelawa semua pihak yang meragui kebenaran ini untuk turut hadir menyaksikan upacara tersebut.
Sesungguhnya segala tindakan kami berasaskan kebenaran dan memenuhi kepentingan rakyat. Akhir sekali, dengan nama Allah, Rasulullah, rakyat dan anak-anak cucu kita, saya dan rakan-rakan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pendedahan tersebut.
Semoga Allah bersama-sama orang yang benar dan ikhlas.