Saturday 14 November 2009

:: Pendidikan negara nak diperkasa?

Memperkasakan sistem pembelajaran kebangsaan

Oleh Zainul Arifin


SEKOLAH kebangsaan perlu diperkasakan menjadi lebih baik daripada yang ada sekarang.

Sekolah Melayu kena tingkat prestasi galak kemasukan semua kaum

MENURUT kata mereka yang tahu, pendidikan di sekolah Cina berbeza daripada sekolah kebangsaan bukan saja dari segi bahasa pengantar, tetapi juga penekanan yang diberikan.

Kehendak dan kemahuan masyarakat Cina menentukan arah tuju sekolah jenis kebangsaan Cina, dan selalunya mereka lebih intensif daripada sekolah jenis lain. masyarakat Cina selalunya agresif mengenai isu pendidikan.

Sekolah Cina juga paling senang memenuhi kehendak masyarakat yang mahukan satu sistem pendidikan yang berasaskan keputusan. Ramai daripada kita beranggapan jika banyak 'A' yang diperoleh, maka anak-anak kita mestilah dididik baik.

Walaupun keberkesanannya sebagai satu sistem pendidikan yang holistik boleh dipertikaikan, sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) kini menjadi pilihan sebahagian besar rakyat Malaysia. Sekolah Cina dikatakan memberikan pendidikan yang lebih baik.

Contohnya, pada hampir semua sekolah Cina ada kelas tambahan yang seakan-akan wajib. Kelas tambahan yang perlu dibayar itu diselenggara oleh pentadbiran sekolah dan menjadi sebahagian daripada perkhidmatan mereka.

Kelas tambahan bertujuan memenuhi kehendak ibu bapa yang mahukan anak-anak menerima pendidikan sebanyak yang mungkin. Kadang-kadang waktu sekolah murid sekolah Cina seperti waktu kerja pejabat, masuk pagi, balik petang.

Kelas tambahan bertumpu kepada mata pelajaran utama, seperti Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Yang menariknya, walaupun kumpulan bukan kerajaan ataupun ahli politik Cina akan menyingsing lengan memperjuangkan bahasa Cina sebagai pengantar pendidikan untuk semua mata pelajaran, mereka dengan rela, malah menggalakkan, bahasa Inggeris digunakan secara intensif ketika kelas tambahan.

Ini termasuk pembelajaran Sains dan Matematik yang orang Cina mahu diajar di dalam bahasa Mandarin. Di kelas tambahan, mata pelajaran itu dipelajari dalam tiga bahasa - Mandarin, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris - manakala murid-murid di sekolah kebangsaan hanya dalam satu bahasa.

Kanak-kanak yang menyertai kelas tambahan bukan saja belajar Matematik dan Sains di dalam bahasa Inggeris, malah mereka menggunakan rangka pengajaran dan buku dari Singapura, Australia atau England. Pergilah ke kedai buku dan lihat betapa banyaknya buku mata pelajaran berkenaan dari luar negara dijual.

Kelas tambahan sekolah Cina juga memperkuat dan menambah pembelajaran Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

Jelas dari ini anak-anak Melayu, yang kini adalah pelanggan utama sekolah kebangsaan, amat tertinggal dari segi penguasaan bahasa Inggeris, serta mungkin juga pengetahuan ilmu Sains dan Matematik yang kebanyakannya di dalam bahasa Inggeris.

Tidak hairanlah jika lebih 90 peratus kanak-kanak berbangsa Cina dihantar ke SJKC. Juga tidak hairanlah jika sekolah kebangsaan, terutama sekolah rendah, semakin hilang daripada pertimbangan orang Cina apabila menentukan ke mana hendak menyekolahkan anak-anak mereka.

Mungkin ada isu lain juga mereka menolak sekolah kebangsaan, tetapi sudah tentu pencapaian dan penekanan menjadi perkara penting juga.

Tidak pelik juga jika saban hari lebih ramai anak Melayu dihantar ke sekolah Cina kerana ibu bapa mereka berpendapat sekolah ini lebih baik dan lebih memenuhi kehendak masa depan anak-anak mereka.

Bukan saja dapat bahasa Cina, bahasa Inggeris dan Melayu pun bagus.

Kadang-kadang pelik juga bagaimana keupayaan anak-anak luar bandar menguasai bahasa Inggeris digunakan oleh orang politik dan pejuang bahasa sebagai sebab menolak penggunaannya untuk pendidikan Matematik dan Sains, tetapi mereka tidak pula mempersoalkan keupayaan anak-anak Melayu di sekolah Cina menggunakan Mandarin untuk belajar mata pelajaran berkenaan.

Rasanya untuk anak-anak Melayu, bahasa Inggeris lebih mudah daripada bahasa Mandarin. Tetapi mungkin saya salah.

Di dalam perkembangan lain, jika keadaan ini berterusan, yang mana sekolah Cina semakin popular dan menjadi pilihan ramai, termasuk orang Melayu, maka mereka akan jadi seperti sekolah Inggeris dulu di mana anak pelbagai bangsa berkumpul.

Sekolah kebangsaan pula akan menjadi sekolah Melayu dulu yang mana mereka dipenuhi kanak-kanak Melayu saja. Malah ketika ini pun di kalangan bukan Melayu sekolah kebangsaan juga dikenali sebagai sekolah Melayu.

Mungkin ada orang yang senang dengan keadaan sekarang, tetapi sebagai negara yang bermasyarakat majmuk perkara ini sudah tentunya bukan sesuatu yang kita mahu. Sekolah-sekolah kita sepatutnya menjadi tempat anak-anak kita mengenali satu sama lain.

Jika kita selalu bercakap mengenai polarisasi kaum ataupun sifat perkauman kenapa kita tidak mahu merapatkan anak-anak kita yang berbilang bangsa di dalam satu sekolah. Isu perkauman akan mengganggu kestabilan negara dan mungkin akan menimbulkan masalah pada masa depan.

Kita semua akur bahawa Perlembagaan Persekutuan membenarkan sekolah vernakular, swasta, agama, antarabangsa dan sebagainya. Jadi kita tidaklah boleh berkempen untuk menghapuskan sekolah di atas untuk diganti sistem pendidikan satu aliran.

Rasanya apa yang kita perlu lakukan ialah jadikan sekolah kebangsaan lebih baik. Bukan saja lebih baik daripada sekarang, tetapi lebih baik daripada sekolah Cina atau Tamil, sekolah swasta atau sekolah antarabangsa.

Bagaimana hendak dilakukan? Apakah perkara yang ada di sekolah jenis lain perlu disediakan di sekolah kebangsaan?

Contohnya, jika di sekolah Cina ada kelas agama Islam, kenapa sekolah kebangsaan tiada kelas bahasa Mandarin dan Tamil untuk menarik murid selain murid Melayu.

Kenapa tidak beri penekanan yang jelas dan kuat untuk bahasa Inggeris. Ketika berkempen untuk menghapuskan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains, pejuang bahasa berjanji akan tolong ajar anak-anak kita bahasa Inggeris. Baguslah, kita tunggu sumbangan mereka.

Apa yang jelas ialah jika sekolah kebangsaan tidak diperkasakan, seperti yang sentiasa dijanjikan setiap hari, bukan saja ia tidak akan berjaya menarik ibu bapa bukan Melayu menghantar anak-anak mereka ke situ, malah anak-anak Melayu yang menjadi pelanggan utama mungkin akan terus kerugian.

No comments:

Post a Comment