Friday, 13 May 2011

:: Dadah di dalam simen untuk Plaza Low Yat...?






Dari Pakistan ke Bukit Bintang


Oleh Zailani Ahmad
am@hmetro.com.my


PELABUHAN KLANG: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor berjaya mematahkan cubaan sindiket dadah antarabangsa berpangkalan di Islamabad, Pakistan yang cuba membawa masuk heroin mentah seberat 214.5 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM37.8 juta di Pelabuhan Klang, pada 28 April lalu.

Taktik sindiket menyorokkan dadah terbabit di dalam bungkusan simen di satu daripada lima kontena simen gagal apabila kastam yang curiga dengan dokumen kargo itu mencatatkan alamat pembeli di Plaza Low Yat, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur sedangkan kawasan berkenaan hanya berurus niaga produk berkaitan teknologi maklumat (IT) seperti telefon dan komputer.

Pengarah KDRM negeri, Datuk Azis Yacub berkata, susulan itu kastam menahan lima unit kontena di Pelabuhan Utara pada 18 April lalu.


sebelum
  • Foto

    TAKTIK...bungkusan heroin dalam serbuk simen.

“Semua kontena didapati tiba ke negara ini dari Islamabad, Pakistan melalui Pelabuhan Karachi dan semakan borang pengimport mendapati setiap unit kontena diikrar membawa sebanyak 560 beg simen.

“Pada jam 3 petang, 28 April lalu unit penguat kuasa KDRM dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor yang menjalankan pemeriksaan rapi ke atas lima kontena simen menemui 278 bungkusan serbuk dipercayai heroin mentah seberat 214.5kg disorokkan dalam beg simen pada kontena pertama,”katanya dalam sidang akhbar di KDRM Pelabuhan Utara, semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Nordin Kadir.

Azis berkata, polis yang turut melakukan pemeriksaan mendapati heroin mentah itu dibungkus kemas dalam beg plastik serta disembunyikan di tengah beg simen.

Berikutan itu, kastam dengan kerjasama polis menahan dua warga Pakistan berusia 21 dan 27 tahun di sebuah kondominium di Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur kerana dipercayai mendalangi kegiatan penyeludupan dadah pada 5 Mei lalu.

Azis berkata, kedua-dua suspek terbabit kini direman di Balai Polis Dang Wangi sehingga Selasa depan dan dijangka didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan sindiket antarabangsa itu bekerjasama dengan pengedar dadah tempatan untuk memproses dadah mentah bagi keperluan tempatan dan juga dieksport semula ke negara jiran.

“Harga dadah yang sudah diproses meningkat tiga kali ganda mengikut gred ketelitian memproses. Ini bererti dadah mentah seberat 214.5kg yang dirampas boleh dijual dengan harga pasaran melebihi RM100 juta,” katanya.