Wednesday 18 May 2011

:: Rakyat baiki sendiri kerosakan jalan Pegalungan-Saliku di Nabawan ?



Penduduk kampung bergotong-royong memperbaiki sendiri jalan yang rosak akibat hujan bagi melancarkan perjalanan di Jalan Pegalungan-Saliku yang sekian lama tidak diperbaiki. - utusan/Sapurah Liyunan


NABAWAN 18 Mei - Lebih 5,000 penduduk di Daerah Kecil Pegalungan merayu supaya diperbaiki Jalan Pegalungan - Saliku sejauh lebih kurang 15 kilometer dan Jalan Pegalungan - Simatuoh sejauh 48 kilometer yang sudah rosak teruk.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Dalam Bandar (JKDB) Pegalungan, Junaidy Banaran berkata, jalan-jalan berkenaan merupakan laluan utama penduduk di Daerah Kecil Pegalungan ke daerah-daerah lain di kawasan pedalaman dan ke Kota Kinabalu.

Beliau berkata, akibat kerosakan teruk jalan-jalan berkenaan menyebabkan penduduk di kawasan berkenaan menghadapi kesukaran terutama apabila keluar berurusan ke pekan kerana kenderaan biasa amat sukar untuk melaluinya.

"Selain penduduk di kawasan itu, guru-guru yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Logongon, SK Saliku, SK Sasandukon turut menghadapi masalah sama," katanya kepadaUtusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Junaidy memberitahu, pada masa ini pengguna jalan berkenaan terpaksa mengambil risiko untuk melaluinya walaupun mengetahui ia amat berbahaya.

"Pengguna terpaksa bertungkus-lumus dan bergotong-royong membuat laluan alternatif seperti membina jambatan dan menimbus laluan yang terputus," jelasnya.

Katanya, kadang kala pengguna jalan itu terpaksa bermalam di tengah jalan kerana keadaannya terlalu licin pada musim hujan.

Justeru, katanya, kerajaan perlu bertindak segera mengatasi masalah itu kerana ia bukan sahaja sukar dilalui tetapi dikhuatiri boleh meragut nyawa sekiranya keadaan itu dibiarkan berterusan tanpa pembaikan yang sewajarnya.

Junaidy berkata, jalan raya pembalakan yang dibina berpuluh tahun lalu itu sebenarnya telah dilawati oleh Menteri Kerja Raya beberapa tahun lalu dan dikatakan akan dinaik taraf tetapi sehingga kini masih belum wujud sebarang tanda ia akan diperbaiki.

"Desas-desus mengatakan peruntukan untuk menyelenggara jalan itu sudah ada tetapi kita tidak tahu sama ada ia betul atau sebaliknya. Jika ia betul kita minta kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan segera bagi mengatasi masalah berkenaan," katanya.