Friday 18 September 2009

:: Perbicaraan dilengahkan ?

Siapa yang sebenarnya melengahkan perbicaraan Anwar?

Usaha pihak pendakwaan (DPP) melengah-lengahkan kes pendakwaan fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan tindakan yang zalim. Sewaktu Anwar dituduh di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Puan Komathy, pihak pembelaan dan Mahkamah telah siap bersedia untuk perbicaraan. Namun pihak pendakwa mengemukakan sijil di bawah S. 418A, bagi memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi atas alasan yang remeh.

Pihak DPP memberi dalih bodoh, kononnya Anwar adalah seorang yang berprofil tinggi, atas tujuan menjaga keselamatan awam (sedangkan kedua-dua Mahkamah terletak di Kompleks Mahkamah Jalan Duta) serta kes ini melibatkan isu-isu teknikal seperti DNA. Meskipun, yang hendak dijaga hanyalah keselamatan kerajaan Barisan Nasional dan undang-undang tidak pernah memberikan layanan yang berbeza atas dasar profil individu. Tambahan pula, Mahkamah Sesyen lebih berpengalaman dalam mengendalikan hal-hal teknikal. Misalnya sebahagian besar kes-kes melibatkan jenayah seksual didengar di Mahkamah Sesyen dan bukan di Mahkamah Tinggi.

Keputusan DPP untuk memindahkan kes ini datang dari Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail, orang yang terlibat dalam konspirasi kes pendakwaan terdahulu. Malah Gani Patail juga berdepan dengan tuduhan jenayah memalsukan keterangan. Hal ini diperakui oleh bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim merangkap pegawai penyiasat dalam kes mata lebam Anwar 1998. Gani Patail telah memalsukan keterangan untuk menutup insiden mata lebam Anwar. Cukup jelas tujuan perpindahan mahkamah ini berniat jahat.

Sudah tentu Anwar akan mengarahkan peguam-peguam beliau untuk mendapat satu perbicaraan yang lebih adil dan membuat permohonan membatalkan sijil S.418A.

Hakim Mahkamah Sesyen, Puan Komathy telah bersetuju dengan hujahan pembelaan ini. Beliau telah membuat perintah mahkamah menolak keabsahan Sijil S.418A . Ini kerana ia ditandatangani oleh Tan Sri Gani Patail, orang yang tidak harus terlibat dalam pendakwaan ini.

Tindakan pihak pendakwaan merayu kepada Mahkamah tinggi menunjukkan pihak mereka cuba melengah-lengahkan kes ini.

Kemudiannya, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi atas alasan hanya Peguam Negara yang berkuasa menandatangani sijil S.418A . Anwar dan pasukan peguam beliau terpaksa menerima keputusan dan hadir ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Tinggi telah menetapkan tarikh bicara dan sekali lagi kedua-dua pihak telah bersetuju dengan tarikh-tarikh tersebut.

Walaubagaimanapun pihak DPP telah dengan sengaja melengah-lengahkan penyerahan dokumen-dokumen kepada pihak pembelaan.

Penyerahan dokumen menjadi wajib dibawah prosedur Kanun Keseksaan. Tetapi pihak DPP hanya menghantar sebahagian dokumen saja. Malah pihak pembelaan telah menulis beberapa kali kepada pihak Pendakwaan untuk menyerahkan kesemua dokumen yang perlu. Namun mereka enggan berbuat demikian.

Motif tindakan tidak profesional pihak pendakwaan ini cukup diragui. Anwar tidak harus duduk diam tanpa jaminan hak beliau untuk mendapatkan satu perbicaraan yang adil dicabar.

Justeru menjadi amat wajar, bilamana para peguam Anwar terpaksa memohon kepada Mahkamah untuk tidak menyerahkan kesemua dokumen yang perlu bagi penyediaan pembelaan. Ini adalah tindakan yang waras dilakukan oleh mana-mana tertuduh untuk menjamin keadilannya.

Apabila permohonan penyerahan dokumen ditetapkan untuk pendengaran, Peguam Kanan Tuan Haji Sulaiman yang mengetuai pasukan peguam Anwar menarik diri kerana beliau telah jatuh sakit. Beliau dimasukkan ke hospital. Tetapi Hakim tidak membenarkan Anwar menangguhkan kes untuk mendapatkan Peguam Kanan yang baru. Ketua Pendakwaan, Datuk Yusof Zainal Abiden sendiri telah mengesahkan dengan Hospital Kuala Lumpur bahawa Tuan Hj Sulaiman memang sakit.

Menuduh Tuan Hj Sulaiman dengan sengaja menarik diri merupakan suatu fitnah yang kejam dan zalim kerana beliau telah dirawat diwad hospital selama 2 minggu!
Para peguam dalam pasuan pembelaan tanpa melengahkan masa terpaksa meneruskan permohonan tersebut.

Menjadi kebiasaan, selalunya Mahkamah akan membenarkan penangguhan kepada pembelaan atas sebab yang munasabah seperti Peguam sakit. Anehnya, Anwar mendapat layanan yang berbeza.

Hakim Mahkamah Tinggi pula bersetuju dengan hujahan pihak pembelaan dan memerintahkan pihak pendakwa untuk menyerahkan dokumen yang dipohon. Tetapi pihak Pendakwa enggan berbuat demikian. Malah pihak DPP membuat rayuan memohon untuk menggantung keputusan Mahkamah sehingga selesai keputusan di Mahkamah Rayuan. Kini Rayuan bakal didengar pada 23 Oktober 2009. Bahawasanya, pihak pendakwaanlah yang menangguhkan perbicaraan.

Keengganan pihak pendakwa menyerahkan dokumen-dokumen kepada pembelaan menunjukkan ada sesuatu perkara yang ditakuti dan ingin disembunyikan.

Pihak pendakwaan tidak menyerahkan senarai saksi kepada pihak pembelaan. Walhal, menjadi suatu amalan biasa di dalam mana-mana kes perbicaraan jenayah yang lain. Anwar Ibrahim tidak harus duduk diam dan menunggu sehingga satu lagi sabitan dibuat terhadap beliau. Pertuduhan ini hanyalah ulang tayang peristiwa dan konspirasi paling jahat ke atas beliau.

Di sini mari kita perhatikan individu-individu yang jelas mempunyai motif politik dalam membuat fitnah yang kononnya Anwar melengah-lengah kes ini :-

- Peguam Hasnal Rezua Marican sebenarnya telah memberi pandangan tidak profesional kepada Utusan dengan hasad prasangka keji terhadap Anwar. Hasnal, bekas ketua pemuda Umno Selayang, merupakan seorang ahli UMNO yang setia aktif. Hasnal sendiri pernah meminta penangguhan bagi pihak anakguam-anakguam beliau bagi kes-kes yang diwakili beliau. Beliau juga merupakan peguam bagi Ezam yang telah beberapa kali memohon penangguhan bagi kes-kes perhimpunan haram Ezam dari Mahkamah. Kes-kes tersebut ditangguh selama 10 tahun!

- Tan Sri Abu Zahar Ujang, Presiden Persatuan Peguam Muslim, merangkap Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) – kedua-dua Persatuan yang pro-UMNO dan anti-Anwar ini tidak memberi pandangan secara waras tapi penuh dengan syak wasangka dan tidak adil. Peliknya Presiden persatuan-persatuan ini tidak pula mempersoalkan kelewatan pertuduhan Qazaf terhadap Saiful di Mahkamah Syariah. Sehingga ke hari ini, ia langsung tidak dipedulikan. Mereka tidak mempercayai proses perundangan Syariah di Malaysia yang membenarkan Anwar membuat aduan fitnah di Mahkamah Syarie. Tan Sri Abu Zahar Ujang juga adalah ahli Lembaga Disiplin UMNO dan merupakan bekas calon UMNO.

- Lokman Noor Adam dan Roslan Kassim, bekas ahli PKR yang membelot daripada perjuangan reformasi. Kedua mereka menghadapi pertuduhan menyertai perhimpunan haram di Mahkamah Majistret. Mereka paling kerap tidak hadir ke Mahkamah tanpa alasan yang munasabah. Malah mereka selalu meminta penangguhan. Mereka tergolong dalam kelompok orang yang pernah keluar UMNO lantas merangkak balik kepada UMNO dan menyalak kerana duit!

- Chandra Muzaffar, seorang yang menyamar menjadi kononnya intelektual, bermuka-muka dan bersifat lalang. Komen-komen beliau hanya menjurus kepada satu tujuan khusus untuk menyerang Anwar, dengan mendapat imbuhan lumayan, seperti kurniaan jawatan pengerusi penaung Yayasan 1 Malaysia.

Akhirnya ulasan Profesor Salleh Buang, seorang pakar perundangan dibuat sembarangan tanpa hati-hati meneliti fakta. Beliau ikut menuduh Anwar membuat helah melengah-lengahkan kes dengan membuat permohonan ala peguam-peguam di Amerika. Undang-undang di Malaysia sendiri membenarkan mana-mana tertuduh membuat pelbagai permohonan untuk menjamin hak beliau. Tidak perlulah merujuk kepada Amerika bagi tujuan ini. Misalan, permohonan mendapatkan dokumen sangat jelas dan termaktub di dalam Kanun Prosedur Jenayah, iaitu Seksyen 5, 51, 51A. Perlembagaan Persekutuan menjamin seseorang tertuduh itu berhak mendapat perbicaraan yang adil.

Biarpun tidak ada bukti jolokan (penetrasi) langsung ke dalam dubur Saiful, (dan ini berdasarkan sekurang-kurangnya laporan 4 doktor termasuk 3 dari HKL!) – suatu elemen wajib yang harus wujud untuk mendakwa kesalahan, pihak DPP tetap meneruskan kes ini. Sepatutnya kes ini wajib dibuang saja. Pihak yang dituduh wajib menikmati hak untuk mendapatkan kesemua dokumen bagi penyediaan pembelaan.

Akhbar Utusan sebagai lidah UMNO tambah mengapi-apikan fitnah kononnya Anwar sengaja melengahkan kes pertuduhan. Hakikatnya pertuduhan ini adalah suatu konspirasi jahat untuk memastikan Anwar merengkok semula ke dalam penjara Sungai Buloh. Malah Utusan dalam laporan bertarikh 8 September 2009 memanipulasikan kenyataan Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof. Dr. Shad Saleem Faruqi dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Shaik Daud Md. Ismail. Kedua-dua mereka hanya memberi pandangan umum berkenaan proses Mahkamah yang adil sebagaimana termakutub dalam Perlembagaan Persekutuan serta Mahkamah tidak akan menangguh tanpa alasan. Mereka langsung tidak menyentuh kes Anwar dan tidak memberi apa-apa komen terhadap kes beliau.

Kita sedang menyaksikan, sekali lagi peristiwa konspirasi jahat untuk menjatuhkan Anwar yang menjadi ancaman terhadap kerakusan kuasa kerajaan Barisan Nasional!

17 September 2009

Tagged as: , ,

1 comment:

  1. ingat dan sedarlah bahawa siksa Allah adalah amat pedih......

    ReplyDelete