Monday, 7 June 2010

:: Gerigat-Sarikei: Nikmatnya air hujan

600 penduduk di Gerigat hadapi masalah air bersih



SARIKEI: Hampir 600 penduduk di kawasan Gerigat yang mempunyai 170 rumah kini turut menghadapi masalah kekurangan bekalan air bersih sejak hampir sebulan lalu.

GUNA AIR HUJAN: Seorang suri rumah menggunakan kesempatan hari hujan dengan mencuci pakaian dan menyimpan air dengan menggunakan bekas yang ada di hadapan rumahnya. Sementara gambar kecil menunjukkan beberapa orang kanak-kanak mandi semasa hari hujan dengan menadah air di bawah corong atap rumah.

GUNA AIR HUJAN: Seorang suri rumah menggunakan kesempatan hari hujan dengan mencuci pakaian dan menyimpan air dengan menggunakan bekas yang ada di hadapan rumahnya. Sementara gambar kecil menunjukkan beberapa orang kanak-kanak mandi semasa hari hujan dengan menadah air di bawah corong atap rumah.


Gerigat terletak lebih kurang 40 kilometer dari bandar Sarikei dan hampir 80 peratus daripada penduduknya bekerja sebagai nelayan.

Menurut Ketua Kampung Majidi Jahiri, tekanan air yang rendah menyebabkan bekalan air yang keluar dari pili air sangat sedikit hingga untuk mengisi bekas tempat menyimpan air yang dapat memuatkan 18 liter air pun memakan masa lebih kurang 45 minit.

“Adakalanya pada masa tertentu langsung tiada setitik air pun yang mengalir.

“Untuk menyimpan air bagi kegunaan harian, kami terpaksa bangun awal sekitar 2 hingga 4 pagi kerana pada waktu itu air yang keluar dari pili air agak kuat sedikit kerana mungkin pada waktu itu tahap penggunaan kurang,” ujarnya.

Majidi memberitahu bahawa penduduk di kampungnya ada memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berwajib tetapi belum ada tindakan susulan yang dilakukan.

Sewaktu ditanya oleh pemberita sama ada beliau dan penduduk kampung ada meminta bantuan bekalan air tambahan daripada pihak berwajib, Majidi memberitahu pihaknya belum ada meminta bantuan.

Seorang lagi penduduk bernama Jemali, berkata lebih para jemaah yang hendak bersembahyang di masid terpaksa membawa air sendiri dari rumah untuk berwuduk.

“Pada waktu sembahyang Jumaat yang lepas kami terpaksa menyediakan pengangkutan untuk mengangkut air bagi memudahkan para jemaah menunaikan kewajipan.

“Namun kami bersyukur kerana kebelakangan ini hujan ada turun dan kami dapat menyimpan air hujan itu untuk kegunaan harian dan sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang dihadapi,” tambah Jemali lagi.

Penduduk kampung berharap agar masalah mereka dapat diselesaikan secepat mungkin kerana di kawasan tersebut begitu sukar untuk mendapatkan sumber air bersih dan hanya bergantung kepada air hujan sahaja.







1 comment:

  1. Visit Sarikei website at http://sarikei-time-capsule.blogspot.com/

    Join Sarikeian Facebook at http://groups.to/sarikeians/

    Please forward to all Sarikei friends

    ReplyDelete