Thursday 24 June 2010

:: Pilihanraya Sarawak 2010/2011...bakal meriah

Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10: Penyertaan Menyesakkan Hingga Tidak Selesa?

SIBU, 24 Jun (Bernama) -- Jika laporan harian akhbar boleh dijadikan panduan, rakyat Sarawak mungkin terdorong untuk memikirkan bahawa pilihan raya negeri akan datang bakal menyaksikan penyertaan calon-calon yang terlalu ramai.

Parti-parti pembangkang, khususnya, mula mendedahkan hasrat masing-masing untuk bertanding, dan jumlah kerusi yang mereka sasarkan.

Ada 71 kerusi dipertaruhkan. Barisan Nasional (BN) ketika ini menguasai 62.

Di kalangan pembangkang, DAP mempunyai bahagian terbanyak dengan enam kerusi bandar, kerusi majoriti Cina, dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), masing-masing satu.

Adun Ngemah Gabriel Adit Demong adalah satu-satunya bebas di negeri ini.

Pilihan raya negeri ke-10 akan datang mungkin menyaksikan dua parti politik turut menyertai rebutan, iaitu Parti Cinta Malaysia (PCM) dan SNAP yang baru dipulihkan semula.

Pada 2 Jan tahun ini, Adit selepas bergabung dengan PKR buat seketika, meninggalkannya dan menyertai PCM dan dilantik pengerusi negerinya.

Di satu perhimpunan di Kanowit minggu lepas, Adit mengumumkan ia mensasarkan 10 hingga 15 kerusi kebanyakan di luar bandar. Sejumlah besar kerusi milik komponen BN negeri, Parti Rakyat Sarawak (PRS), dan perkongsian saksama kepada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Beliau sendiri, "dalam apa jua keadaan", akan mempertahankan kubu kuatnya yang telah beliau wakili selama empat penggal.

Buat SNAP, sebaik saja tersebar berita mengenai pemulihannya setelah pendaftarannya yang dibatalkan sekian lama, menerusi keputusan Mahkamah Rayuan, presidennya Edwin Dundang menyatakan akan bertanding di sekurang-kurangnya 10 kawasan.

Dalam pada itu, pegawai perhubungan PKR negeri Baru Bian berkata partinya akan bertanding di 42 kerusi. Beliau akan berbincang dengan rakannya, DAP, tentang kemungkinan bertanding di beberapa kerusi majoriti Cina.

Berdasarkan senario ini, pilihan raya ini bukan saja merupakan kes "lebih ramai lebih meriah", tetapi lebih menarik. Drama ini mungkin dapat disamakan dengan pertandingan Piala Dunia sekarang.

Tidak boleh diketepikan kemungkinan beberapa orang tertentu dan orang suruhan mahu mencuba nasib sebagai calon bebas.

Hasrat PCM untuk merebut kerusi PRS disifatkan sebagai "membuang masa" oleh presiden PRS Datuk Seri Dr James Jemut Masing.

"Berasaskan prinsip kebebasan demokrasi untuk bertanding, Adit dan PCM mempunyai segala hak untuk bertanding. Tetapi saya percaya mereka hanya membuang masa," kata beliau.

Persoalan yang memerlukan jawapan ialah samada PCM, DAP, PKR atau SNAP boleh mendatangkan impak terhadap kerusi luar bandar?.

Kerusi tunggal PKR di Padungan adalah di kawasan bandar di mana pengundi tidak kisahkan soal perumahan, air bersih dan bekalan tenaga atau skim pembangunan tanah bagi menjana pendapatan dan pekerjaan. Demikian juga enam kerusi DAP yang begitu berharga.

Pertama sekali, ia memerlukan seorang pemimpin yang mempunyai banyak wang bagi memenuhi segala perbelanjaan untuk pengundi di kira-kira 5,000 rumah panjang dan perkampungan di seluruh negeri ini.

Stail kepimpinan baru dan lebih dinamik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi penghalang kukuh di laluan pembangkang kali ini.

Sebagai contoh, konsep 1Malaysia beliau tersebar hingga ke rumah-rumah panjang yang paling terpencil.

Adit bagaimanapun optimistik PCM akan meraih sekurang-kurangnya 10 kerusi.

Beliau khusus mensasari kerusi PRS, kerana mendakwa beberapa pemimpin tertentunya telah menyebabkan terkuburnya bekas partinya, Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).

Dalam hal SNAP, yang terpaksa bermula dari tapak yang kosong mungkin cukup menyulitkannya. Calonnya dalam pilihan raya lepas Dr Johnical Rayong telah memutuskan hubungannya dengan parti itu.

Adun Engkilili kini mesra BN dan menunggu untuk diterima masuk ke dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), sebuah lagi komponen BN negeri.

Ketua BN Sarawak yang juga Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah menyatakan dengan jelas dan tegas pada satu majlis di sini dua minggu lepas bahawa BN sudah bersiap sedia untuk memerintah Sarawak lagi selepas pilihan raya ini kerana ia boleh mengharapkan pengundi Bumiputera untuk meletakkannya kembali berkuasa.

Partinya, Pesaka Bumiputera Bersatu, mempunyai 35 dari 71 kerusi sementara PRS dan SPDP dengan kerusi mereka kebanyakannya di kawasan Bumiputera masing-masing mempunyai sembilan (campur Ngemah) dan lapan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment