Tuesday 15 June 2010

:: RMK10: Ambilkira pandangan penduduk Sarawak

Agensi Persekutuan Diminta Ambilkira Pandangan Penduduk Sarawak

KUCHING, 15 Jun (Bernama) -- Semua projek yang dilaksanakan agensi persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) harus dirancang dengan pihak berkuasa negeri dengan mengambilkira pandangan rakyat setempat, kata Setiausaha Persekutuan Sarawak Md Yahaya Basimin.

Beliau berkata pendekatan berkenaan akan memenuhi kehendak kepada penduduk tempatan secara langsung bagi mengelak rungutan daripada masyarakat setempat bahawa projek lambat dilaksanakan atau tidak memberi manfaat kepada golongan sasaran.

"Kita harus mengambil iktibar dari segala kesilapan dan kekurangan yang wujud dalam melaksanakan setiap projek dan program dalam RMK9, yang kini hanya tinggal beberapa bulan sahaja," katanya pada majlis perhimpunan bulanan jabatan dan agensi Persekutuan di Sarawak di sini pada Selasa.

Ketika membentangkan RMK10 di Dewan Rakyat pada Khamis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembinaan jalan raya sepanjang 2,800 km akan dilaksanakan di Sarawak manakala kemudahan bekalan air di luar bandar dan elektrik turut diperluas meliputi 87,400 buah rumah serta 76,000 rumah masing-masing.

Di samping itu, katanya pelaksanaan projek tersebut harus dilihat dari sudut keperluan berasaskan kepada nilai untuk wang serta boleh memberi impak ekonomi yang berterusan dan mengurangkan ketirisan peruntukan kerajaan.

Beliau turut berharap semua agensi persekutuan yang diberi tanggungjawab dapat membuatnya dengan segera tanpa menunggu sehingga ke penghujung rancangan lima tahun tersebut dari tahun hadapan hingga 2015.

"Bagi projek yang bernilai tinggi proses penilaian projek dan tender perlulah dipercepatkan supaya peruntukan yang sediakan dapat dibelanjakan mengikut perancangan yang telah ditetapkan," katanya sambil merujuk pada peruntukan sejumlah RM290 bilion untuk pembangunan fizikal dan bukan fizikal.

Kandungan RMK10 juga memperincikan kaedah untuk meningkatkan produktiviti dan kepakaran, khususnya dalam menggalakkan inovasi dan kreativiti, katanya.

Beliau turut meminta penjawat awam, yang berperanan sebagai penasihat kepada pemimpin dan anggota pentadbiran, agar peka terhadap semua dasar yang diputuskan kerajaan dan melaksanakannya dengan cepat dan tepat.

No comments:

Post a Comment