Friday 25 June 2010

:: Halatuju SNAP selepas ini.. arah mana ?

SNAP tidak dijamin kemasukan automatik dalam BN

June 25, 2010, Friday

KUCHING: Tindakan mahkamah yang menolak keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bagi membatalkan pendaftaran Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) tidak menjamin kemasukan automatik parti itu sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN).

UNTUK KENANGAN: Chia (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Taib sebagai tanda penghargaan merasmikan Konvensyen Antarabangsa Napoleon Hill, semalam.

UNTUK KENANGAN: Chia (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Taib sebagai tanda penghargaan merasmikan Konvensyen Antarabangsa Napoleon Hill, semalam.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, soal penerimaan semula SNAP ke dalam BN adalah bergantung kepada hasil perbincangan antara parti-parti komponen.

“Banyak perkara sudah berlaku sejak sekian lama. Saya perlu berbincang dengan parti komponen lain kerana SNAP tidak keluar begitu sahaja,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa Napoleon Hill di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Taib yang juga pengerusi BN Negeri berkata, terdapat parti-parti lain diterima sebagai parti komponen sekali gus berjaya membuktikan diri sebagai parti yang berwibawa dalam pilihan raya.

“Kami tidak menyingkirkan mereka begitu sahaja dan menggantikan mereka dengan orang lain,” katanya.

Sementara itu, SNAP yang berjaya meyakinkan Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan pembatalan pendaftaran parti itu oleh ROS lapan tahun lalu, akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dalam jangka masa dua minggu lagi bagi membincangkan hala tuju parti.

Setiausaha Agungnya Edmund Stanley Jugol berkata, walaupun mereka ingin mengadakan mesyuarat itu secepat mungkin, mereka tidak dapat melakukan demikian kerana perlu mematuhi perlembagaan parti.

“Kami tidak dapat mengadakan mesyuarat CEC lebih awal daripada itu kerana berdasarkan perlembagaan parti, semua ahli CEC perlu dimaklumkan sekurang-kurangnya dua minggu lebih awal,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat CEC yang pertama selepas memenangi rayuan terhadap pembatalan pendaftaran parti, akan menentukan tindakan parti seterusnya termasuk kemungkinan untuk mengadakan mesyuarat agung.

Menurutnya, ia juga berkemungkinan membincangkan status timbalan presiden Ting Ling Kiew yang disingkirkan daripada parti kerana membantu BN dalam pilihan raya kecil Batang Ai.

No comments:

Post a Comment